5 May 2013

KEPIMPINAN - Panduan Asas Kaunseling Pekerja

Oleh : FaudzilHarun









Apa Itu Kaunseling Pekerja?   
 
Secara amnya ia boleh diterangkan sebagai memberi bantuan dan sokongan kepada pekerja untuk menghadapi dan melalui kesulitan dalam pekerjaan. 

Kerap kali pekerja menghadapi konflik yang akan menjejaskan prestasi kerja mereka. Kaunseling pekerja merupakan satu aktiviti berkongsi masalah,
memahami punca masalah, memberi pertolongan dan sokongan agar pekerja itu menemui jalan keluar dari belenggu masalah.


Konten Kaunseling Pekerja

Kaunseling pada masa sekarang telah menjadi suatu keperluan bagi Pengurus dan penyelia. Kemahiran kaunseling bukan suatu yang  terbina dengan sendiri mengikut pengalaman. Anda harus mempelajari teknik kaunseling kerana dalam sesi kaunseling, bukan apa yang dikatakan itu penting tetapi bagaimana ia disampaikan akan menentukan keberkesanannya. Secara purata, masalah prestasi pekerja berpunca dari empat punca asas :


Masalah Sikap

Selalunya masalah umum adalah sikap pekerja yang tidak melaksanakan tugas pada ”standard” yang ditetapkan. Sesi kaunseling perlu membantu pekerja untuk mengkaji punca asas kepada masalah sikap kerja mereka. Anda harus mengkaji terlebih dahulu kefahaman pekerja terhadap tahap prestasinya, apa yang diharapkan, bagaimana pengawasan prestasi dilakukan, hubungan kemanusiaan, peranan pekerja dalam pasukan, latihan dan bimbingan yang telah diberikan, tahap kesihatan, persekitaran tempat kerja, gangguan emosi yang dihadapi dan perkara lain yang ada menyumbang kepada masalah sikap pekerja itu.

Masalah Peribadi

Keluarga dan rakan adalah penting bagi manusia. Kerap kali pekerja yang menghadapi masalah peribadi menunjukkan prestasi kerja yang tidak konsisten atau dibawah tahap ”standard” yang ditetapkan. Anda harus mendapatkan persetujuan pekerja untuk berbicara mengenai hal peribadi kerana keselesaan pekerja untuk berbicara mengenai hal peribadi akan mengimbangi sesi kaunseling. Anda perlu banyak mendengar dan bertanya dalam sesi kaunseling berkaitan masalah peribadi. Setelah mendengar, tanyakan kepada pekerja apa yang anda fahami supaya ia tidak tersasar dari maksud sebenar.

Masalah Kesihatan

Manusia yang hidup akan terganggu emosi, merasa takut dan jatuh sakit. Kesihatan yang ”ideal” bukanlah kelihatan sihat secara fizikal sahaja. Kesihatan yang ”ideal” bagi manusia adalah sihat dari aspek fizikal, mental dan sosial. Ramai manusia tertumpu kepada kesihatan fizikal tetapi tidak memberi penumpuan kepada aspek mental dan sosial. Masalah kesihatan secara fizikal secara amnya mudah ditanggani. Sesi kaunseling perlu beri perhatian yang lebih kepada masalah mental dan sosial. Anda harus banyak membaca dan membuat beberapa kajian berkaitan isu mental dan sosial sebelum melibatkan diri dalam memberi sokongan dan cadangan kerana memberikan cadangan yang sangat umum akan membuat sesi kaunseling menjadi bosan.  

Masalah Tabiat

Masalah tabiat selalunya melibatkan tabiat yang negatif seperti berpeleseran, berjudi, ketagihan dan kadangkala melibatkan masalah personaliti berganda (Split personality). Dalam usaha membantu pekerja harus anda harus fokus kepada mencari kekuatan atau kelebihan yang dimiliki pekerja untuk mengatasi masalah tabiat. Mendapatkan khidmat pakar atau orang yang kompeten adalah pilihan yang lebih baik.



Apa Yang Harus Dilakukan?

Kaunseling boleh tersasar dari matlamat jika tidak dikendalikan oleh orang yang kompeten menggunakan kaedah yang betul. Setiap sesi kaunseling adalah berbeza. Berikut adalah panduan asas kepada pengendalian sesi kaunseling pekerja :

Anda Harus ......

1.   Menyediakan ruang dan suasana yang selesa.
2.   Lakukan secara sulit.
3.   Tampil ceria.
4.   Hindari segala gangguan.
5.   Mulakan dengan dengan berbual mengenai perkara am untuk membantu 
      pekerja bersedia.
6.   Tunjukkan kesungguhan anda untuk membantu.
7.   Utamakan mendengar dari bercakap.
8.   Jangan gunakan perkataan yang tidak difahami.
9.   Rekodkan seberapa banyak informasi yang diperolehi.
10. Semak kefahaman anda dari masa kesemasa.
11. Kawal suasana agar sentiasa positif.
12. Sentiasa sokong perlakuan positif atau pengakuan yang jujur.
13. Jangan gunakan paksaan, marah atau pertikaian.
14. Jangan ulangi pertanyaan yang sama.
15. Jangan rakamkan perbualan.
16. Jangan tonjolkan kuasa anda.
17. Jangan mencelah semasa pekerja sedang bercakap.
18. Jangan bercerita mengenai orang lain.
19. Rekodkan cadangan yang diberikan.
20. Jangan kendalikan dalam masa yang terlalu lama.


  
Tip Meningkatkan Kemahiran

1.  Buat persediaan awal (kaji rekod peribadi adalah perlu).
2.  Berlatih menggunakan nada suara yang berbeza.
3.  Pelajari dan tingkatkan keupayaan mendengar secara asertif.
4.  Mulakan dan akhiri tepat pada waktunya.