6 May 2013

MOTIVASI DIRI - Adab Memberi Nasihat













Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”
- Hadis riwayat al-lmam Muslim.
  
   
Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal  pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga  digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa   Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita. 


 
Pengertian Nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut   Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

  
Adab-adab memberi nasihat

1.  Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang
     berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena
     Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah
     bersih
dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi
     kesan ke atas
nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati
     seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi
     tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

    
2.  Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati
     saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata,
     
“Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua,
     maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati
     saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan
     mencelakan orang yang dinasihati.” 
Islam mengajar umatnya supaya
     mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat
     perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah
     orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara
     nasihat.

    
3.  Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan
     menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita
     sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan
     nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk
     menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah
     mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada
     ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat
     adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

  
4.  Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-
     bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah
     mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana
     dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

  
5.  Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk
     mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan
     masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak,
     ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah
     perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang
     sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di
     atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah
     ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran. 

  
Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? 

Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.