17 May 2013

P SUMBER MANUSIA - Pengenalan Kepada Sumber Manusia

Oleh Faudzil Harun 















Apa itu Pengurusan Sumber Manusia?

Pengurusan Sumber Manusia adalah suatu fungsi yang memberi tumpuan kepada pengurusan orang yang bekerja dalam sebuah organisasi. Ia juga berfungsi mengurus sistem yang berkaitan pekerja dan pekerjaan. Pengurusan sumber manusia berfungsi menerusi pendekatan strategik dan komprehensif terhadap budaya kerja dan suasana tempat kerja.



Apa itu Jabatan Sumber Manusia?

Jabatan Sumber Manusia adalah suatu organisasi yang berfungsi sebagai pusat pengurusan pekerjaan dalam sebuah organisasi. Objektif utama jabatan ini adalah menjana dan membina warga kerja yang terbaik untuk mencapai kejayaan organisasi secara keseluruhan.

Jabatan ini mengurus segala urusan berkaitan pembangunan pekerja menerusi sistem dan kaedah yang mendorong pekerja. 

Jabatan ini juga berfungsi sebagai pusat perkhidmatan pelanggan bagi semua warga kerja. Selain itu, jabatan ini juga bertanggungjawab membina dan mengekalkan suasana harmoni dikalangan warga kerja.


Peranan Utama Pengamal Sumber Manusia

Peranan utama pengamal sumber manusia adalah bertindak sebagai perunding yang mengimbangi perkhidmatan kepada majikan dan pekerja secara professional dan adil.

Selain itu, pengamal sumber manusia berfungsi sebagai fasilitator dalam hubungan majikan-pekerja.


Reformasi Pemimpin Sumber Manusia

Tugas Tradisi Sumber Manusia

Pemikiran yang terbina secara tradisi mempercayai bahawa seorang pengamal sumber manusia perlu terdiri dari seorang yang mempunyai pengetahuan teknikal dalam bidang sumber manusia serta undang-undang pekerjaan dan berfungsi dengan kecenderungan kepada menguatkuasakan “apa yang boleh dan tidak boleh” dilakukan berdasarkan polisi dan prosedur.

Selalunya fungsi tradisi lebih tertumpu kepada pengambilan pekerja, mengisi kekosongan, mengarahkan pekerja mematuhi segala peraturan pekerjaan dan mengharapkan pekerja melaksanakan tugas pada standard yang ditetapkan.

Secara tradisi juga peranan sumber manusia perlu respon kepada setiap pengisian jawatan menurut permintaan pengurus atau penyelia. Ada kalanya pengamal atau jabatan sumber manusia hanya berfungsi sebagai pihak yang menguruskan pengiklanan, menerima permohonan, menghantar permohonan kepada pengurus, menetapkan sesi temuduga, menyediakan dokumen pengambilan yang syarat-syaratnya ditentukan setiap pengurus itu sendiri.

Tradisi sumber manusia bertindak sebagai perunding kepada pekerja yang respon secara pasif kepada pekerja yang mengutamakan isu teknikal dan peraturan. Ia berinteraksi dengan pihak pengurusan yang cenderung kepada kestabilan dan konsistensi mengikut interpritasi atau tafsiran setiap pengurus. Dalam suasana ini, terlalu banyak masa dihabiskan untuk mendengar aduan pengurus dan penyelia serta menanggani permasalahan pekerja. 

Pengamal sumber manusia yang berada dalam situasi ini akan menghabiskan banyak masa berinteraksi dengan pekerja dan bertindak sebagai “orang tengah” untuk menyelesaikan permasalahan dan menjadi tertekan kerana setiap pengurus dan penyelia mengharapkan penyelesaian akan cenderung kepada kemahuan mereka. 

Tradisi sumber manusia bertindak kepada perubahan, berbanding sumber manusia yang moden menjana orang kepada perubahan. Secara umumnya tradisi sumber manusia berkata “pekerja sebagai asset” tetapi melihat pekerja sebagai kos dalam perniagaan.

Perubahan Peranan Sumber Manusia

"Wall Street Journal" melapurkan bahawa dianggarkan satu per tiga (1/3) dari eksekutif baru sumber manusia terdiri dari orang yang datang dari luar jurusan tersebut. Ia memberi gambaran bahawa organisasi sekarang mahukan individu yang memahami isu bisnes dan kewangan. Transformasi dari persepsi tradisi kepada persepsi moden telah berlaku. Pengamal sumber manusia yang berjaya hari ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada tradisi pengetahuan teknikal berkaitan tugas dan fungsi sahaja. Saingan perniagaan yang kompetitif telah mendesak pengamal sumber manusia berfungsi sebagai rakan bisnes, rakan pengurusan yang pro-aktif, perunding kepada perancangan pembangunan dan agen perubahan. Pengurusan sumber manusia hari ini diharapkan menambah nilai kepada penggunaan pekerja menerusi program yang memberi impak kepada perniagaan dan dapat diukur.

Peranan Moden Sumber Manusia

Pendekatan moden pengurusan sumber manusia memberi tumpuan kepada pembangunan organisasi secara strategik. Pengetahuan teknikal perlu digabungkan dengan budaya moden secara komprehensif.

Pengamal sumber manusia harus menjadi model sebagai rakan pengurusan yang mempamerkan keupayaan menilai keperluan operasi dan merancang pembangunan modal insan yang berpaksikan nilai setiap individu. Ia melibatkan pengurusan bakat, keperluan pembelajaran berterusan, pelan pembangunan individu, pelan pembangunan pasukan dan penilaian prestasi yang spesifik menerusi rundingan, dorongan, servis, penyatuan idea, skim upah dan faedah yang kompetitif.

Pengurusan sumber manusia yang moden tidak lagi berfungsi hanya untuk merekodkan dan melapurkan statistik, menjadi agen penyelesaian masalah tetapi harus mempamerkan penampilan professional sebagai pemimpin yang memandu arah pasukan, agen perubahan pemikiran, budaya, kepercayaan dan tindakan. Pengamal sumber manusia harus melihat semua individu dalam organisasi sebagai pelanggan dan bertindak sebagai pemberi perkhidmatan mereka. 

Pengamal sumber manusia moden haruslah menjadi seorang yang “people orientated” dan mendahulukan suasana pekerjaan yang ceria, harmoni dan peka kepada keperluan asas kemanusiaan. Pengamal sumber manusia moden harus menjadi mentor kepada seluruh warga kerja.