24 March 2014

MH370 - Penerbangan MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi, umum Najib






MARCH 24, 2014
LATEST UPDATE: MARCH 24, 2014 11:05 PM
Seorang anggota keluarga penumpang MH370 tidak dapat menahan emosi dan terjatuh di sebuah eskalator di Hotel Lido, Beijing, selepas mendengar pengumuman terbaru yang mengatakan pesawat Malaysia Airlines tersebut telah berakhir di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi. - Gambar Reuters, 24 Mac, 2014.Seorang anggota keluarga penumpang MH370 tidak dapat menahan emosi dan terjatuh di sebuah eskalator di Hotel Lido, Beijing, selepas mendengar pengumuman terbaru yang mengatakan pesawatMalaysia Airlines tersebut telah berakhir di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi. - Gambar Reuters, 24 Mac, 2014.
Penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru ini kepada pemberita sebentar tadi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.
Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat, yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan, merumuskan pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia.
"Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan.
"Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung.
Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita pengesahan lokasi terakhir pesawat MH370 di PWTC, malam tadi. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2014.Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita pengesahan lokasi terakhir pesawat MH370 di PWTC, malam tadi. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2014.Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media esok.
Tambahnya, maklumat terbaru ini dikongsi awal kepada umum untuk menunjukkan komitmen pihak berkuasa Malaysia kepada keterbukaan dan atas rasa hormat terhadap anggota keluarga yang terlibat.
Najib juga memaklumkan bahawa anggota keluarga sudah diberitahu mengenai perkembangan tersebut.
"Bagi mereka, beberapa minggu yang lalu amat menyayat hati. Saya faham berita ini lebih sukar diterima. Saya menyeru pihak media menghormati privasi mereka, dan memberi mereka ruang menghadapi saat-saat sukar ini," kata Najib.
Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terlibat telah menghadiri sesi taklimat tergempar malam ini, dan rancangan sedang diatur bagi menerbangkan mereka dengan pesawat khas ke Australia, menurut laporanSky News.
Sumber yang dipetik Sky News berkata ahli keluarga yang terlibat akan dibawa terlebih dahulu ke Beijing sebelum diterbangkan ke Australia, selepas beberapa serpihan dipercayai milik pesawat MH370 dikesan di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Manakala BBC memetik khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh MAS kepada keluarga terlibat, yang memberitahu bahawa tiada penumpang yang terselamat.
"Dengan penuh rasa kesal, Malaysia Airlines percaya bahawa tidak syak lagi MH370 hilang dan tiada yang terselamat,"‎ kata SMS sepertimana dipetik badan penyiaran Britain itu.
Petang tadi, Putrajaya mengesahkan pasukan penyelamat Australia sedang bergegas ke sebuah kawasan terasing di lautan untuk cuba mendapatkan serpihan yang dilihat sebelumnya.
Serpihan yang berbentuk bulatan dan segi empat itu merupakan peninggalan pertama penerbangan MH370 yang ditemui setelah 17 hari usaha mencari dan menyelamat yang paling besar pernah diadakan untuk sebuah pesawat.
Misi pencarian pesawat MH370 merupakan yang paling lama dalam sejarah penerbangan awam moden.
Rekod tempoh pencarian sebelum ini adalah 10 hari iaitu dalam nahas Boeing 737-400 milik PT Adam Skyconnection Airlines, yang hilang di perairan Sulawesi pada 1 Januari, 2007. - 24 Mac, 2014.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com


No comments:

Post a Comment