21 April 2014

TRAGEDI - Anak Tergamak Tikam Bapa






NORHASPIDA YATIM - 21 April 2014


  • Anak tergamak tikam bapaSuspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini semalam setelah ditahan reman selama tujuh hari.
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur bertindak nekad menikam bapanya yang cuba meleraikan pertengkaran antara dia dan tunangnya di hadapan kediaman di Lembah Harapan, Seberang Takir, di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, akibat tikaman yang agak kuat itu, bapanya yang berusia 55 tahun itu mengalami luka pada bahagian belakang, paru-paru, patah satu tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, mangsa yang merupakan pesara tentera dan kini bekerja sebagai kakitangan kerajaan mengalami kecederaan yang agak parah, namun, kini telah stabil setelah dirawat di hospital.

“Siasatan terhadap kejadian itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai perubatan HSNZ jam 10 malam, Sabtu lalu.

“Pegawai perubatan itu menerima mangsa yang ingin mendapatkan rawatan kira-kira jam 9.30 malam. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tenat dan cedera parah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, siasatan awal polis mendapati punca pergelutan antara suspek dan bapanya itu berlaku selepas mangsa cuba meleraikan pertengkaran antara suspek dan tunang di hadapan kediamannya.

“Suspek yang mungkin berang dengan tindakan mangsa yang mencampuri urusannya itu bertindak ganas dengan menikam belakang mangsa selepas tercetus pertengkaran antara mereka berdua.

“Setelah terdengar bunyi bising akibat pergelutan itu, adik beradik suspek yang lain berkejar ke lokasi kejadian bagi meleraikan pergelutan dan mendapati mangsa berlumuran darah. Mereka kemudiannya membawa mangsa ke hospital," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan sebilah pisau untuk mencederakan mangsa, namun  senjata itu masih belum ditemui dan polis masih menyoal siasat suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Suspek berusia 22 tahun ditahan jam 1.30 pagi, semalam apabila dia turut ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan setelah tercedera ketika adik beradiknya yang lain cuba meleraikan pergelutan antara dia dan bapanya itu.

“Hasil ujian ke atas air kencing suspek mendapati dia positif morfin. Suspek ditahan dan dibawa ke mahkamah pagi ini (semalam), dan dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment