26 June 2014

MACAM-MACAM ADA - Lubuk 'emas' pendatang






Harian Metro – 11 hours ago



Klang: Dengan menyasarkan tapak pembinaan sebagai lubuk rezeki, warga asing didapati mampu meraih keuntungan ribuan ringgit sebulan apabila bertindak membuka gerai yang menyediakan makanan dan minuman kepada pekerja di tapak pembinaan. Seorang pengusaha gerai makanan yang juga warga asing yang dikenali sebagai Suri, 40, berkata, pada mulanya dia hanya mengikut suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan, tetapi diminta menyediakan makanan secara kecil-kecilan.
Katanya, selepas beberapa kali diminta berbuat demikan, beliau menyedari potensi untuk memperoleh sumber pendapatan lumayan dengan berniaga di tapak pembinaan sehingga mencecah RM5,000 sebulan sejak dua tahun lalu.
Setiap hari saya hanya perlu menyediakan makanan untuk 20 hingga 30 orang sahaja dan setiap orang saya kenakan bayaran antara RM10 hingga RM12, kerja saya senang kerana mereka (pekerja asing) tidak banyak ragam serta makan apa yang kita sediakan.
Apabila pembinaan siap saya akan mencari tapak pembinaan lain memandangkan saya kenal ramai orang dan mudah mencari tapak baru,” katanya yang turut ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Menurutnya yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia, walaupun kebanyakan buruh membeli secara hutang dan hanya akan bayar sekali sebulan, tetapi itu tidak jadi masalah kerana dia juga perlu bersaing dengan beberapa rakan yang turut menjual makanan.
Katanya, beliau dan suami sudah lapan tahun tinggal di negara ini dan memberikan alasan ditipu RM3,200 oleh seorang ejen yang menguruskan dokumen perjalanannya yang sudah tamat tempoh.
Dalam serbuan yang dijalankan semalam di Bandar Putera 2, Jalan Kebun, di sini, seramai 50 warga asing termasuk 23 perempuan dan empat kanak-kanak ditahan.
Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, operasi yang dijalankan selama empat jam yang berakhir jam 1.30 tengah hari itu, hasil daripada aduan orang awam dan intipan yang dilakukan anggotanya selama seminggu.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama anggota RELA (Pasukan Sukarelawan Malaysia) berjaya menahan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.
Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Nepal serta Pakistan yang mana ketika serbuan dilakukan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Othman berkata, memandangkan lokasi serbuan adalah tapak pembinaan segelintir pandatang tanpa izin berjaya melarikan diri masuk ke dalam semak berhampiran.

Menurutnya, mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1963 dan semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk tindakan selanjutnya.


No comments:

Post a Comment