23 June 2014

PEMBUNUHAN ALTANTUYA - Perbicaraan saman balu PI Bala ke atas Najib, 8 yang lain bermula hari ini




The Malaysian Insider – 5 hours ago


Perbicaraan pengurusan kes saman yang difailkan oleh balu mendiang penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (gambar) ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan lapan yang lain bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Dalam perbicaraan kes ini, Najib diwakili firma guaman Hafarizam, Wan dan Aisha Mubarak bagi berdepan kes saman tersebut.
Setakat ini, hanya seorang individu belum membalas surat arahan mahkamah tersebut, kata peguam plaintif Americk Singh Sidhu.
"Kami tidak menerima maklum balas daripada Deepak Jaikishan. Kami hantar surat ke alamat rumahnya. Jadi kami masih menanti," kata Americk, peguam yang mewakili balu Bala, A. Santamil Selvi dan anak mereka.
Walaupun hanya seorang lagi individu belum membalasnya, Americk berkata pengurusan kes tersebut berjalan dengan lancar.
Beliau berkata defendan kedua, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka akan diwakili oleh firma sama yang mewakili suaminya, Najib.
Lain-lain defendan yang dinamakan dalam saman tersebut adalah adik Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam senior Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan peguam M. Arunapalam.
"Saya diberitahu mereka masih menunggu arahan seterusnya dalam perkara itu," kata Americk.
Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 10 Julai depan.
Selvi dan anaknya memfailkan saman tersebut bagi menuntut ganti rugi semasa melarikan diri antara Julan 2008 dan awal tahun lepas.
Balasubramaniam bagaimanapun meninggal dunia pada 15 Mac 2013 akibat serangan jantung selepas pulang dari India.
Dalam saman tersebut, keluarga Bala menuduh defendan menyebabkan mendiang membuat draf akuan bersumpah (SD) "tanpa diarahkan dan menyebabkan mendiang terpaksa menandatanganinya dengan ancaman dan paksaan."
Bala menjadi terkenal selepas bekerja untuk penganalisis politik terkemuka, Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya.
Beliau menarik kembali SD pertamanya mengenai perkara itu pada 4 Julai 2008.
Dalam SD keduanya, Bala mendedahkan beliau mahu “menarik kembali keseluruhan kandangan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, 2008.”
"Saya dipaksa mengeluarkan akuan bersumpah tersebut dalam keadaan terpaksa,” katanya.
SD kedua itu juga menyatakan semua kenyataan dibuat sebelumnya tidak tepat dan tidak benar.
Semasa sidang media mengumumkan SD kedua itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Bala mendiamkan diri manakala peguam barunya, Arulampalam, yang menjawab soalan wartawan.
Mereka meninggalkan sidang media selepas mengedarkan SD kedua. Arulampalam mengatakan anak guamnya sedang tertekan dan sedih.
Sehari sebelum itu, pada 3 Julai, 2008 Bala memberitahu sidang media dipenuhi wartawan anjuran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kandungan SD pertama tentang penglibatan Najib dan beberapa yang lain dalam pembunuhan Altantuya pada 2006.
Americk merupakan peguam Bala. Abraham berdepan dengan tindakan Majlis Peguam kerana beliau mendraf SD kedua penyiasat persendirian itu.
Majlis Peguam mengemukakan aduan terhadap Abraham kepada jabatan disiplin tahun lalu dan pengerusinya, Christopher Leong hadir pada Mac di depan jawatankuasa itu memberi keterangan dalam sesi tertutup.
Deepak sebelum itu mengaku membantu Bala untuk menarik SD pertama dan mencarikan peguam untuk mendraf SD kedua.
Americk mendedahkan mengenai perbalahan SD apabila beliau membaca kenyataan disediakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 Majlis Peguam Malaysia tahun lalu, di mana beliau berkata, "Tan Sri Cecil Abraham mengakui kepada saya dia adalah orang yang menggubal akuan bersumpah kedua".
Americk kemudian memberitahu pemberita di luar AGM arahan kepada Abraham datang daripada Najib, ketika itu timbalan perdana menteri.
Dalam kes pembunuhan Altantuya, dua bekas komando polis, Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri yang dituduh membunuh Altantuya didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sabitan mereka bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lalu, dan keputusan itu dirayu Putrajaya. Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dengan mereka, dilepaskan pada 2008. – 23 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment