25 July 2014

KEKEJAMAN ISRAEL - Dr Mahathir serang Israel, gelar mereka lebih teruk daripada Nazi






The Malaysian Insider

Orang Yahudi lebih teruk daripada Nazi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, berhujah mengenai konflik terbaru Israel-Palestin dalam entri terbaru di blognya.
Dalam satu “serangan” panjang yang pedas terhadap bangsa Yahudi, bekas perdana menteri itu mengatakan orang Yahudi tidak belajar daripada kesilapan lalu.
"Bila orang Yahudi dianiayai oleh Nazi di Jerman, mereka memohon simpati dan sokongan dunia. Tetapi penderitaan mereka tidak mengajar mereka apa-apa, tidak membuat mereka lebih memahami erti penderitaan.
"Sebaliknya, sekarang mereka bertindak lebih teruk daripada Nazi, langsung tidak pedulikan kesengsaraan orang lain dan kematian yang mereka akibatkan," katanya dalam blognya chedet.cc.
Katanya, orang Yahudi sepatutnya marah kepada orang Jerman dan Eropah lain atas kekejaman yang dilakukan terhadap mereka masa lalu, sebaliknya mereka membunuh orang Arab sebab "ia lebih senang dan menyeronokkan."
Sebagai penyokong tegar Palestin, Dr Mahathir sering melepaskan kemarahannya terhadap Israel.
Negara Yahudi itu pada waktu ini sedang menyerang semenanjung sempit Gaza untuk menghentikan serangan roket Hamas berikutan penculikan dan pembunuhan tiga remaja Yahudi di Tebing Barat, dan penculikan dan pembunuhan seorang remaja Paletin dalam serangan balas.
Lebih 690 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban ketika serangan di Gaza masuk hari ke-16 hari ini.
Dalam menyenaraikan pelbagai pelanggaran dilakukan Israel dalam serangan mereka, Dr Mahathir berkata ia seakan menghantar isyarat yang negara Yahudi itu dan penduduknya adalah suci dan mereka menentang mereka mesti membayar harga yang mahal.
"Semua yang dilakukan Israel ini adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, moral dan hak asasi manusia. Mereka adalah penjenayah di sisi setiap undang-undang dunia bertamadun.
"Tetapi, Yahudi Israel sewenang-wenangnya melakukan semua ini. Mereka ada Amerika dan Eropah di belakang mereka. Mereka insan yang dipilih Tuhan, mereka tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kod etika, atau nilai kemanusiaan," kata Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu kemudiannya menyalahkan Eropah dan Amerika kerana mencipta “raksasa” ini dan menuduh mereka memejam sebelah mata terhadap kekejaman dilakukan Israel.
"Mereka akan terus menyokong Israel walaupun kalau Israel lakukan pembunuhan beramai-ramai atau bunuh semua orang Arab. Ini cara mereka menebus semua layanan mereka terhadap Yahudi masa lalu," katanya. – 24 Julai, 2014.
Source: https://my.news.yahoo.com

No comments:

Post a Comment