18 July 2014

MH17: Catatan di lokasi oleh wartawan The New York Times






The Malaysian Insider

Terhoyong hayang dari 30,000 kaki di atas, kebanyakan mangsa yang bertaburan jatuh dari bangkai pesawat MH17 yang membara di kampung Grabovo, Ukraine itu masih dalam keadaan elok. 
Seorang wanita memakai baju sejuk hitam terbaring, darah mengalir dari wajahnya, tangan kirinya diangkat seolah ingin memperkatakan sesuatu.
Seorang lagi mangsa, tanpa pakaian kecuali coli, terbaring di padang, rambut putihnya berselirat bersama rumput hijau, sebelah kakinya patah dan tubuhnya terkoyak.
Bercakap mengenai mangsa yang jatuh dari langit, penduduk tempatan berkata ia kelihatan seperti kain buruk atau ketulan abu, sebelum pesawat itu menjunam di ladang gandum yang luas dihiasi kuntuman ungu dan bunga Queen Anne's.
“Teruk sungguh keadaannya," kata seorang pemberontak pemisah yang menganggotai pasukan penyelamat yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Sergei. “Kami terkejut.”
Jalan menuju ke tempat kejadian di timur Ukraine itu, tidak jauh dari sempadan Rusia dibarisi jentera bomba dan kenderaan kecemasan.
Puak pemisah yang begitu ramai di daerah dikuasai pemberontak ini, menggesa wartawan mengambil gambar.
Tiada rumah berdekatan. Hanya kelihatan sebuah ladang ternakan dengan barisan reban ayam putih dari jauh.
Pasukan penyelamat mengikat kain putih kecil di dahan pokok sepanjang kawasan jatuhnya bangkai pesawat dan mayat bagi menanda lokasi kejadian.
Apabila keadaan semakin gelap, mereka berkumpul beramai-ramai dekat deretan ambulan dan kereta penyelamat. Dari jauh anjing menyalak, dan udara berbau pahit.
Cebisan pesawat bertaburan di jalan dan ladang, belakang kerusi dengan televisyen yang retak, ekor pesawat dengan lambang MAS tertera di atasnya dan bahagian tepi pesawat yang pecah, juga panduan pelancong ke Bali yang seperti tidak diusik.
Jika diteliti, terdapat satu lubang pada cebisan yang kelihatan seperti sayap pesawat, bagaikan dicucuk kuat dengan besi.
Bagi mata manusia biasa, tidak dapat dipastikan apa yang menyebabkan kerosakan itu.
Kebanyakan penumpang masih memakai tali pinggang keledar yang melekat pada cebisan pesawat.
Seorang lelaki, bersarung kaki tetapi tanpa seluar, terbaring di tanah, tangan kanannya di atas perut seperti sedang berehat.
Seorang lelaki muda berseluar pendek biru dan berkasut merah, tetapi tanpa seluar, terbaring dengan tangan dan kakinya terdepang dan sebuah iPhone di sisinya.
Barang Belanda bersepah di atas rumput: buku kanak-kanak berwarna merah jambu, tiket parkir milik seorang bernama Hans van den Hende dan buku stiker. Terdapat juga kad mainan anak-anak berhampiran jalan.
Barang kegunaan harian menyelaputi rumput. Barang dandanan diri terkeluar dari begnya. Krim Nivea. Pisau pencukur. Selipar putih. Sebotol cologne. Selimut biru lembut terkeluar dari beg merah, tersangkut di tiang yang tajam.
Kelihatan juga bulu ayam bertaburan, burung kakak tua dan merak.
Penempatan yang terdekat ialah Grabovo, sebuah pekan lombong arang yang kecil di mana penduduknya merupakan yang pertama menyaksikan pesawat itu terhempas.
Seorang pelombong, Oleg Georgievich, 40, berkata mendengar bunyi bising sekitar pukul 4 petang dan menyangka pekan itu dibom. Pesawat memang selalu berlegar di ruang udara itu setiap hari dan beberapa kali juga mengebom kawasan berhampiran.
Katanya dia dengar bunyi seakan wisel, lalu berjalan ke balkoni rumahnya di tingkat 5 dan ternampak sesuatu jatuh dari langit. Kemudian baru dia tahu ia sebahagian dari rangka badan (fuselage) pesawat itu.
Kemudian dia nampak benda yang seperti cebisan kain turun dengan laju mencecah bumi. Rupanya benda itu mayat mangsa dengan pakaian yang koyak rabak. – 18 Julai, 2014.

No comments:

Post a Comment