20 July 2014

RAWAT HATI - Percaya Kepada Pawang dan Bomoh Meruntuhkan Akidah





Oleh FAUDZIL HARUN


Hasil dari kepercayaan ghaib yang tidak ada asas dalam Islam, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah. Secara mudahnya virus ini terbentuk dari amalan dan kepercayaan terhadapnya.

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (An-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau saya dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya saya dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan saya tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain saya hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (Al-A'raf: 188)

Oleh karena itu.., barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib yang sebenarnya, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini?

Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti dimana boleh dijumpakan orang hilang, siapa yang melakukan kejahatan kepada individu tertentu dan pelbagai lagi.

Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia mempercayai apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. (Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. (Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali 'Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791)



Kenapa orang takut pergi ke tanah perkuburan di waktu malam? 
Adakah kerana orang ini percaya terdapat hantu di tanah perkuburan? Adakah orang yang takut gelap itu pernah melihat hantu berkeliaran di tanah perkuburan diwaktu malam?

Adakah terdapat bukti bahawa hantu akan berkumpul di tanah perkuburan di waktu malam?


No comments:

Post a Comment