11 August 2014

BILA MENTERI MELATAH - Cadangan haram Facebook tak logik, tak akan selesai salah guna, kata pengkritik






The Malaysian Insider


Cadangan menyekat Facebook bagi menghalang kes penyalahgunaan berdepan dengan kritikan apabila ramai mengatakan ia hanya akan menyebabkan negara berundur ke belakang tanpa menyelesaikan masalah, kerana pengguna boleh beralih ke laman sosial lain.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata wujudnya cadangan mengharamkan Facebook, dan meskipun ia terlalu radikal, kementeriannya tetap akan mengkaji langkah itu.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata menyekat Facebook tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang membawa kepada penyalahgunaan sosial media.
"Saya fikir beliau (Shabery) perlu beri lebih perhatian kepada memperbaiki keseimbangan dalam laporan berita dan menangani isu ucapan menghasut, daripada memikirkan tentang menyekat saluran," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Menyekat saluran tidak akan menyelesaikan isu asas atau punca sesuatu masalah," katanya.
Manakala Ahli Parlimen Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed bersetuju hanya pendidikan mampu menjadi penyelesaian dalam masalah salah guna media sosial.
"Masalah dengan salah guna Internet ialah ia digunakan untuk menyebarkan keganasan dan ekstremis perkauman agama.
"Hanya pelajaran dan pendidikan dapat menyelesaikan masalah salah guna sekiranya rakyat faham dan tidak melanggan perkara demikian," kata ahli Parlimen Pulai itu.
Semalam Ahmad Shabery berkata kementeriannya sedang dalam proses mengumpul maklumat daripada orang ramai berkaitan isu berkenaan.
"Sekiranya ramai berpendapat kita patut mengharamkan Facebook, kita bersedia menghalusinya, tetapi ia pendekatan yang radikal," katanya.
Dia membuat kenyataan susulan laporan mengenai seorang lelaki menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam laman Facebook.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berkerjasama dengan polis menjejaki individu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata langkah berkenaan keterlaluan dan akan menyebabkan Malaysia kembali ke zaman kegelapan.
"Cadangan Barisan Nasional (BN) mengharamkan Facebook keterlaluan. Kembali ke feudalism dan autokrasi zaman gelap. BN rasa mereka boleh menang semula pengundi muda?" tanya beliau dalam Twitter.
Setiausaha agung DAP itu berkata sekiranya kerajaan persekutuan mengharamkan laman sosial popular itu, partinya akan bertindak mengadakan protes.
"DAP akan anjurkan protes seluruh negara jika BN sekat dan tutup Facebook," kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam Twitter, sambil menambah Twitter juga mungkin turut diharamkan nanti.
Bekas pengarang New Straits Times Datuk A Kadir Jasin pula mempersoalkan mekanisme kerajaan mengumpul maklumbalas, sambil menambah siasatan menyeluruh perlu dilakukan sebelum mengambil apa-apa tindakan.
"Saya ingin tahu siapa orang yang dirujuk kementerian dalam isu ini. Sebab, kalau kamu tanya orang yang tiada akaun Facebook, dia tidak akan kisah tentang itu," katanya.
Ahli politik pembangkang berkata motif cadangan mengharamkan Facebook lebih berunsur politik daripada salah guna media sosial.
"Memang tindakan yang logik bagi kerajaan. Mereka akhirnya mengaku media sosial sebahagian sebab mereka hilang sokongan pada pilihan raya lalu," kata Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad.
"Mereka hendak pastikan rakyat hanya disajikan dengan berita arus perdana."
Ahli Parlimen DAP Teresa Kok menyatakan rasa terkejut dengan cadangan berkenaan, kerana ia satu cubaan menghentikan suara yang menentang.
"Ini merupakan cara mendiamkan rakyat dan pengkritik," katanya.
Tetapi, katanya dengan menyekat Facebook tidak menyelesaikan masalah salah guna kerana pengguna akan beralih ke media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.
"Dalam dunia Internet ada laman sosial lain. Contohnya di China, bila Facebook diharamkan, mereka gunakan aplikasi Weibo.
"Bagaimanapun, ahli politik Umno, termasuk perdana menteri menggunakan Facebook untuk berkomunikasi. Saya rasa cadangan Shabary itu hampir tidak waras," katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut ke Twitter membantah cadangan Shabery itu.
Malah, beliau juga memulakan kempen protes online dengan memperkenalkan hashtag '#jangantutupfb' di laman Twitter.
Beliau menyebarkan kempennya itu kepada beberapa pengguna berprofil tinggi Twitter, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (@NajibRazak).
"@saroki19 @PhilipGolingai @NajibRazak i'v started a campaign. Support #jangantutupfb." (Saya mulakan kempen. Sokong #jangantutupfb)
"FB spt tekno lain,ada kekuatn/kelemahn. Guna dgn bijak. Lawan brhujah. Guna undang2 klu perlu. Tapi jgn tutupnya. Jom kempen #jangantutupfb."
Saifuddin juga menulis dalam Twitternya: "Sy tak setuju tutup FB/alat2 ICT. Tutup yg ini,yg baru akn muncul. Didik rakyat, bukannya tutup alat."
Saifuddin juga turut menghantar status Twitternya kepada menteri komunikasi itu. – 10 Ogos, 2014.

No comments:

Post a Comment