27 August 2014

DALAM NEGARA - 800 pekerja asing merusuh bakar kilang kerana tidak puas hati layanan majikan, kata PAS






The Malaysian Insider 

PAS mendakwa tindakan 800 pekerja asing yang membakar sebuah kilang tempat mereka bekerja di Kulai semalam adalah kerana tidak puashati mereka dengan gaji yang diberikan.
"Pihak pengurusan kilang dikatakan sesuka hati memotong gaji pekerja, memaki hamun dan memukul pekerja.
"Selain dari faktor gaji, tindakan lewat pihak pengurusan kilang menghantar seorang rakan pekerja ke hospital sehingga meninggal dunia juga turut mengundang kemarahan pekerja asing tersebut," kata Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat selepas melawat tapak kilang itu pagi ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak suatu jawatankuasa khas membabitkan Kementerian Sumber Manusia, kesatuan sekerja, majikan dan wakil pekerja ditubuhkan segera bagi mewujudkan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang mengenainya.
Semalam, 800 pekerja asing dipercayai Myanmar merusuh di Kilang JCY HDD Technology Sdn Bhd, Desa Perindustrian Kulai 2, Kulai.
Ekoran itu, kata Mazlan, PAS melahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan merusuh pekerja asing yang memusnahkan harta benda seperti premis bangunan dan kenderaan.
Kejadian sekitar jam 8-10 pagi semalam, bermula apabila pekerja tersebut melontar batu sehingga tingkap bangunan pecah dan membakar sebuah kereta.
Ia disusuli lebih agresif, apabila ada pekerja membakar aset kilang di sebelah belakang bangunan di sebelah malam.
PAS, katanya, mengucapkan setinggi penghargaan dengan tindakan pantas polis termasuk pasukan FRU serta bomba yang berjaya mengawal suasana dan memadam kebakaran.
Tindakan penahanan yang dilakukan terhadap 13 orang pekerja asing yang dipercayai dalang rusuhan amat wajar, katanya.
"Rusuhan membabitkan pekerja yang menimbulkan mudharat terhadap keselamatan orang awam dan kemusnahan harta benda tidak harus dijadikan budaya di negara ini," kata beliau.
Namun begitu, katanya, isu kebajikan pekerja lama berkumandang.
Masalah gaji yang tertunggak dan rendah, kediaman yang daif dan berbagai isu yang berkaitan selalunya menjadi ribut yang akhirnya tidak terkawal.
"Golongan pekerja selalunya menjadi mangsa ketidakadilan majikan. Kadangkala menjadi sentimen perkauman apabila majikan dengan pekerja berlainan agama dan bangsa," katanya.
Kes pekerja tidak dibenarkan solat Jumaat, skim gaji yang berbeza dan proses kenaikan pangkat menjadi isu yang turut menimbulkan suasana tidak harmoni, katanya.
Selain sektor industri, perladangan dan pembinaan yang di dominasi pekerja asing kerap menimbulkan kontroversi.

Insiden terbaru ini, katanya, bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan majikan yang tentu sahaja menjejaskan produktiviti, nama baik Malaysia di mata dunia juga dipersoalkan. – 27 Ogos, 2014.

Sumber: https://my.news.yahoo.com


No comments:

Post a Comment