27 September 2014

MALAYSIA - Masyarakat Orang Asli






Masyarakat Orang Asli merupakan satu entiti masyarakat Malaysia yang tersebar di seluruh negara di Semenanjung Malaysia, kecuali Perlis dan Pulau Pinang. Negeri – negeri yang banyak ditemui kewujudan dan penempatan mereka ialah Pahang diikuti Perak, Kelantan dan seterusnya.
Dari aspek kepercayaan, masyarakat orang Ali didapati mempunyai adat resam dan kepercayaan animisme. Sistem kepercayaan mereka adalah peranan dewa – dewa, keramat, roh dan sebagainya. Pandangan hidup (world view) mereka banyak dipengaruhi oleh keadaan fizikal alam sekeliling di persekitaran yang di diami. Dengan itu hutan rimba, gunung, bukit, petir, dan sebagainya dianggap sebagai mempunyai makna tersendiri bagi kosmologi masyarakat ini. Ini telah membawa perlakuan – perlakuan ritual dan pantang larang dalam kehidupan seharian berdasarkan kepercayaan mereka.
Dari aspek organisasi dan struktur sosial, masyarakat ini masih mengekalkan dan mementingkan sikap kerjasama dan mewujudkan puak yang dipimpin oleh seorang ketua yang dipanggil “batin” yang bertanggungjawab menjaga dan menjamin ketenteraman puak serta menjdi penghubung kepada masyarakat luar. Beliau juga berkuasa menentukan dan menetapkan peraturan berkaitan puak dan menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan yang dilakuakn oleh ahli – ahli. Di samping itu, komuniti mereka juga berpegang kepada pengantara agama (shaman) atau bomoh yang berperanan dalam menentukan aspek ritual dan penyaluran kepercayaan mereka.
Perubahan yang melanda masyarakat ini ada kaitan dengan kepercayaan mereka terhadap animisme yang semakin berkurangan sejak selepas merdeka pada tahun 1957. Ini kerana gerakan dakwah agama lain termasuk Islam semakin kuat ke atas masyarakat ini. Namun masih banyak lagi mengamalkan unsur – unsur animisme dan proses sinkretisme dengan agama – agama lain.
Lawatan dan Kunjungan
Lawatan biasa lebih disukai sekiranya dibuat di waktu petang, kerana pada siang hari mereka selalunya sibuk dengan kerja masing – masing. Umumnya msyarakat orang Asli bekerja sendiri seperti berladang, mencari dan menjual barang – barang hutan, menangkap ikan, memburu dan sebagainya.
Apabila sampai di rumah irang yang dilawati, seseorang tetamu itu eloklah menunggu di tepi rumah dan berbuat – buat batuk sepaya di dengari oleh tuan rumah. Panggilan lazimnya dibuat dengan memanggil nama anak sulung tuan rumah. Sekiranya anak sulung tuan rumah itu bernama “Aalang” maka panggilan bolehlah dibuat seperti”….. Bapak Si Alang ada di rumahkah?”.
Petang dan malam adalah waktu untuk berehat dan bersuka ria. Di masa ini tidak ada halangan bagi kawan – kawan dan lain – lain kenalan datang ke rumah. Sekiranya seseorang tetamu sampai ketika tuan ruamh sedang makan maka lebih disukai jika tetamu itu turut makan bersama dengan tuan rumah. Adalah dianggap kurang sopan jika tetamu menolak jamuan yang dihidang oleh tuan rumah. Masyarakat Orang Asli sangat suka sekiranya tetamu mereka sudi menikmati jamuan yang dihidangkan.
Lawatan dan kunjungan ini selalunya ialah untuk berbual – bual atau mendengar kisah – kisah lama. Ini akan mengembalikan ingatan – ingatan manis dan peristiwa – peristiwa yang menarik. Kadang kala, masa – masa seperti ini juga digunakan untuk menuntut ilmu jampi serapah.
Kelahiran
Seorang suami pula kebiasaannya akan terus memberitahu jiran tetangga apabila isterinya hendak bersalin. Adalah menjadi kebiasaan bagi kaum wanita mengunjungi si isteri untuk memberikan pertolongan setakat yang mampu.
Orang – orang Asli tidak suka jika pelawat – pelawat yang datang berkunjung memuji – memuji akan kecantikan tubuh badan si anak yang baru lahir. Adalah dipercayai sekiranya seseorang bayi dipuji – puji dengan kata – kata seperti “… amboi, comelnya bayi ini”, maka hantu – hantu yang berdekatan akan mendengar dan mengambil bayi itu. Keadaan ini terbukti apabila bayi itu sakit, demam dan sebagainya.
Beberapa pantang larang juga perlu dipatuhi oleh seorang ibu yang sedang mengandung. Pantang larang ini juga dikenakan kepada si suami. Di antara pantang larang yang dianggap penting ialah si suami misalnya tidak boleh menjala ikan. Suami dan isteri dilarang memakan daging rusa dan kijang.
Perkahwinan
Adat istiadat nikah kahwin berbeza antara satu suku kaum dengan suku kaum yang lain. Bagi suku kaum Orang Asli di kawasan Selangor misalnya, kedua – dua pangantin terpaksa mendengar nasihat – nasihat yang diberikan oleh sesiapa sahaja yang hadir terutamanya yang diberikan golongan tua mengenai tanggungjawab seorang isteri atau suami. Nasihat – nasihat ini kadangkala mangambil masa berjam – jam lamanya.
Masyarakat orang Asli jarang sekali membuat jemputan secara rasmi ke majlis – majlis perkahwinan. Semua orang yang ada di kampung dan kebanyakkannya dari kampung – kampung jiran lazimnya akan hadir tanpa jemputan secara rasmi. Jamuan nasi akan diberikan kepada sesiapa yang datang sehinggalah bekalan habis.
Kematian
Biasanya apabila diketahui ada kematian di sesebuah kampung kerja – kerja seperti berladang, memburu ataupun membuat rumah akan diberhentikan dengan serta merta. Mengikut kepercayaan sesiapa jua yang meneruskan pekerjaannya setelah mengetahui adanya kematian, ia akan ditimpa malapetaka ataupun jatuh sakit.
Ketika ada kematian, semua kanak – kanak dicontengkan telinga mereka dengan kapur yang telah dijampi. Arang disapu di bulu kening, dada dan di tapak kaki. Dengan cara demikian, segala hantu syaitan yang dipercayai telah membunuh si mati tidak akan mengacau kanak – kanak yang telah memakai “pengandang”. Pengandang ini penting terutamanya di waktu malam.
Mayat si mati selalunya akan diringi ke tempat perkuburan oleh sebahagian besar penduduk kampung berkenaan. Setelah selesai mengebumikan mayat, keluarga si mati akan menghantar makanan serta memasang api di tepi kubur itu pada tiap – tiap hari selama 6 hari. Begitu juga dalam tempoh masa yang sama unggun api yang dipasang di bawah rumah si mati. Pasir halus yang telah dijampi ditabur – tabur di sekeliling dinding rumah dengan tujuan supaya terkena mata hantu yang masih ada lagi di kawasan rumah tersebut. Amalan ini juga diteruskan selama 6 hari kerana roh si mati dipercayai masih berada di kawasan rumah dan kubur dalam jangka masa itu.

Source: 
http://www.jkkn.gov.my/ms/masyarakat-orang-asli-0

No comments:

Post a Comment