9 December 2014

FATWA - Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat




Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.
     
  2. Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.
     
  3. Mengenai hukum Qada Zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.
Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Isu ini telah timbul apabila terdapat kecenderungan sesetengah syarikat atau anggota masyarakat mengagih sendiri zakat kepada asnaf zakat tanpa melalui agensi yang telah dilantik oleh kerajaan atau pemerintah. Selain itu, timbul juga persoalan tentang hukum qada’ zakat dan sejauh mana pelaksanaannya di Malaysia. Kekeliruan ini berlaku disebabkan perbezaan antara amalan semasa sesetengah syarikat dan individu dengan akta, fatwa atau peraturan yang dikeluarkan tentang perkara tersebut.
 
Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan zakat di bawah bidang kuasa negeri. Semua negeri di Malaysia telah memperuntuk perkara berkenaan dengan urusan zakat ini sama ada di bawah akta atau enakmen di negeri masing-masing atau diletakkan di bawah enakmen khusus tentang zakat. Akta atau enakmen juga ada memperuntuk kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat yang dilantiknya memungut zakat daripada pemilik harta dan setiap orang yang melanggar akta atau enakmen tersebut boleh dikenakan hukuman.
 
Menurut Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Majlis atau wakilnya untuk memungut zakat. Ini bermaksud, orang yang membayar zakat atau fitrah melalui amil yang tidak dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.
 
Walau bagaimanapun, dari segi amalannya banyak syarikat korporat atau orang perseorangan yang membayar sendiri atau mengeluarkan sebahagian daripada zakat mereka kepada asnaf yang dianggap layak menerima zakat (seolah-olah mereka ialah amil yang dilantik untuk mengagihkan zakat kepada asnaf yang layak). Mereka beranggapan seksyen 16 tersebut tidak mengikat seseorang atau sesebuah syarikat untuk mengagihkan sendiri secara terus kepada asnaf zakat.
 
Penelitian yang dibuat terhadap beberapa himpunan fatwa (yang tidak diwartakan) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri pula menunjukkan tiada tegahan untuk mana-mana orang atau syarikat membayar sendiri zakat kepada asnaf yang layak menerimanya. Keputusan-keputusan fatwa ini secara amnya menguatkan lagi hujah yang membolehkan syarikat atau orang ramai membayar zakat secara terus tanpa melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Negeri.
 
Berhubung dengan qada’ zakat pula, ia bermaksud bayaran zakat yang diterima pada tahun semasa tetapi untuk bayaran zakat yang tidak dibayar pada tahun-tahun yang sebelumnya. Qada’ zakat merupakan salah satu daripada jenis zakat yang dikutip oleh PPZ Negeri, malahan ada negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang yang secara jelas menyenaraikan maklumat mengenai qada’ zakat dalam laman web mereka. Penyenaraiannya dalam jenis-jenis zakat menunjukkan ia termasuk sebagai kategori zakat yang wajib dibayar. Namun demikian tidak dipaksa pembayar membayarnya sekaligus, tetapi dinasihatkan mendahulukan bayaran zakat semasa dan sekiranya mampu maka boleh membayar zakat yang tertunggak itu secara beransur-ansur.
 
HUJAH DAN DALIL
 
1. Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Tanpa Melalui Pemerintah
 
Zakat merupakan satu kewajipan yang jelas dalam Islam. Ia bukanlah suatu kewajipan yang terbeban kepada seorang individu sahaja tetapi merupakan satu sistem dalam masyarakat Islam yang dipantau pelaksanaannya oleh pihak pemerintah dan diurus secara sistematik oleh pihak yang dipertanggungjawabkan sama ada dari segi kutipan mahupun agihan. Para fuqaha bersepakat bahawa pemerintah mempunyai kuasa untuk memungut dan mengagihkan zakat ternakan, tanaman dan buah-buahan (zakat harta zahir). Sekiranya pemerintah meminta zakat-zakat tersebut ditunaikan maka wajib bagi rakyat membayar kepadanya. Saidina Abu Bakar r.a. telah memerangi golongan yang ingkar membayar zakat-zakat tersebut dengan persetujuan sahabat-sahabat yang lain. Perkara tersebut (hak pemerintah untuk memungut zakat harta zahir) kemudiannya menjadi ijmak dalam kalangan orang Islam (kecuali satu pendapat daripada Hanabilah yang mengatakan zakat harta zahir wajib dibayar tetapi tidak wajib membayar kepada pemerintah).
 
Sementara zakat harta batin (seperti mata wang dan barang perniagaan) pula para fuqaha telah berselisih pendapat tentangnya seperti berikut:
 
Hanafiah: Pengurusan zakat harta batin diserahkan kepada pemilik harta tersebut. Zakat ini pada asalnya di bawah kuasa pemerintah, tetapi pada masa Saidina Uthman r.a. pengurusannya diserahkan kepada tuan punya harta kerana maslahah tertentu.
 
Malikiah: Wajib membayar zakat kepada pemerintah yang adil sama ada harta zahir atau batin.
 
Syafieah: Pemilik harta hendaklah mengagihkan sendiri zakat harta batin iaitu emas, perak, barang perniagaan dan zakat fitrah (menurut satu pendapat, sementara satu pendapat lagi mengatakan zakat fitrah termasuk harta zahir).
 
Hanabilah: Tidak wajib menyerahkan zakat kepada pemerintah, tetapi pemerintah boleh menerimanya sama ada harta zahir atau batin.
 
Setelah mengemukakan pandangan fuqaha di atas, Yusuf al-Qaradhawi telah membuat kesimpulan bahawa para fuqaha mazhab berselisih pendapat dalam perkara ini tetapi mereka sependapat dalam dua perkara iaitu:

1. Adalah menjadi hak pemerintah untuk meminta rakyatnya mengeluar- kan zakat pada semua jenis harta sama ada zahir atau batin, lebih-lebih lagi apabila diketahui keadaan rakyat yang mempermudah-mudahkan urusan pembayaran zakat.

2. Apabila pemerintah cuai dalam melaksanakan urusan zakat (tidak memungutnya), maka perintah berzakat tidak gugur atas pemilik- pemilik harta, mereka tetap wajib mengeluarkannya sendiri kepada asnaf yang layak (secara persendirian).

Beliau seterusnya menyatakan, berdasarkan pemerhatiannya terhadap nas-nas dan dalil-dalil syarak yang menetapkan zakat ialah urusan pemerintah atau kerajaan Islam tanpa membezakan antara harta zahir dengan batin, maka dengan itu wajiblah kerajaan menguruskan urusan zakat dari semua segi sama ada kutipan atau agihan. Inilah kaedah yang asal bagi zakat menurut pandangan beliau.
 
Kebanyakan fuqaha semasa berpandangan bahawa pihak pemerintahlah yang sepatutnya mengendalikan urusan zakat. Ia perlu dilengkapi dengan prasarana yang mencukupi sama ada dari segi perundangan, pentadbiran dan sumber kewangan.
 
Kebanyakan mereka juga berpandangan hukum fiqh yang dikaji oleh fuqaha terdahulu yang memutuskan kerajaan tidak boleh mengambil zakat harta batin adalah tidak sesuai lagi dengan suasana pada masa sekarang. Ini kerana harta yang dianggap zahir pada masa dahulu mungkin menjadi harta batin kalau mengikut suasana zaman sekarang, begitu juga sebaliknya. Oleh itu, menurut mereka cara mengatasinya ialah dengan menyerahkan urusan zakat kepada pemerintah. Pemerintah dengan perundangan yang lengkap boleh mengambil semua jenis zakat tanpa berkecuali. Antara fuqaha yang mendokong pendapat ini ialah Syeikh Abdul Wahab Khallaf, Syeikh Abdul Rahman Hassan dan Syeikh Muhammad Abu Zahrah, kemudian diikuti oleh Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa orang lagi yang menulis tentang perkara ini. Gelombang perubahan ini begitu kuat sehingga sukar ditepis lagi dan beberapa negara Islam telah merangka peruntukan undang-undang tentang zakat yang menyokong pandangan ini.
 
Berikut dinyatakan beberapa kebaikan yang diperoleh daripada penyerahan semua urusan zakat (zahir dan batin) kepada pemerintah, iaitu:
 
a. Menjamin zakat dapat dipungut daripada semua orang yang layak menunaikannya.
b. Hasilan zakat akan bertambah dengan banyak yang tentu akan menguntungkan umat Islam seluruh negara.
c. Pembelaan kepada asnaf yang layak menerima zakat akan dapatdilakukan secara teratur dan sistematik.
 
2. Hukum Qada’ Zakat
 
Para fuqaha pernah membincangkan tentang hukum zakat yang tidak sempat dibayar pada tahun semasa sehingga berlalu beberapa tahun tanpa ditunaikan hak tersebut. Adakah gugur kewajipan berzakat dengan sebab berlalunya masa? Jawapannya ialah zakat merupakan hak yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk diagihkan kepada orang fakir, miskin dan asnaf lain yang layak menerimanya. Sehubungan itu, kewajipan berzakat tidak gugur dengan berlalunya masa bahkan ia tetap wajib dan sabit terhadap orang yang mampu untuk menunaikannya.
 
Dalam hal ini Imam al-Nawawi berkata, “Apabila berlalu beberapa tahun sedangkan zakat yang sepatutnya tidak ditunaikan maka wajiblah bagi orang yang berkenaan mengeluarkan zakat kesemuanya, sama ada pada masa itu dia mengetahui kewajipan berzakat atau tidak, atau dia berada di negara Islam atau kafir. Inilah pendapat mazhab kami (Syafie)”.
 
Ibn Munzir pula berkata, “Menurut pendapat Mazhab Syafie, satu pendapat dalam mazhab Maliki dan Abu Thaur, sekiranya sesebuah negeri dikuasai oleh penderhaka dan penduduk negeri tersebut tidak menunaikan zakat selama beberapa tahun, maka apabila negeri tersebut dimenangi balik oleh pemerintah yang sah hendaklah dipungut kembali zakat-zakat yang tertunggaksebelum itu”.
 
Abu Muhammad bin Hazm pula menyatakan di dalam kitabnya al-Muhalla,“Sesiapa yang berkumpul pada hartanya dua jenis zakat atau lebih sedangkan dia masih hidup maka hendaklah ditunaikan kesemuanya pada setiap tahun mengikut bilangan yang wajib baginya, sama ada pengumpulan zakat itu terjadi kerana kejahilannya atau kelambatan amil memungut zakat atau kerana dia melarikan hartanya sebelum itu”.
 
Dalam masalah individu yang tidak membayar zakat (sedangkan beliau mampu menunaikan zakat) sehinggalah dia meninggal dunia. Jumhur fuqaha iaitu Imam Malik, Syafie, Ahmad, Ishak, Abu Thaur, Ibn Munzir, yang diriwayatkan daripada Ata’, al-Hasan, dan Zuhri menyatakan kewajipan berzakat tidak gugur dengan sebab kematian tersebut seperti kewajipan-kewajipan lain (contoh, haji dan kafarah). Sehubungan itu, zakat tetap wajib sama ada individu tersebut mewasiatkannya atau tidak.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/


No comments:

Post a Comment