12 September 2014

RAWAT HATI - Nota Dari Kelas Agama: Perpindahan Roh Manusia Kepada 5 Alam





Nota Dari Kelas Agama

Ilmu fardu 'ain adalah asas agama Islam. Hidupkan hati yang mati dengan ilmu.




Perpindahan Roh Manusia Kepada 5 Alam

27 ZULKEDAH 1433 

Manusia dicipta dengan 2 unsur iaitu tanah (untuk jasad) dan roh. Al-Quran menceritakan tentang sejarah cipataan manusia seperti berikut:-

Dalam surah Ali-Imran ayat 56, ALLAH berfirman yang bermaksud; "Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi ALLAH adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. ALLAH telah menjadikan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya : 'Jadilah engkau!', maka jadilah ia."

Dalam surah al-Hijr ayat 29, ALLAH berfirman yang bermaksud; "Kemudian apabila AKU sempurnakan kejadiannya (Adam), serta AKU tiupkan padanya roh dari (ciptaan)KU. Maka hendaklah kamu (Iblis) sujud kepadanya."

Jasad manusia akan hancur dan musnah apabila manusia itu mati tetapi rohnya akan terus hidup di alam yang lain.

Setiap roh manusia yang ditakdirkan lahir ke dunia pasti akan melalui perpindahan kepada  5 alam.


  1.  Alam Roh.

  2.  Alam Dunia

  3.  Alam Kubur.

  4.  Alam Masyar.

  5.  Alam Syurga / Neraka.

Alam roh, alam kubur, alam masyar dan alam syurga / neraka adalah alam ghaib yang tidak dapat dibayangkan atau digambarkan dengan akal yang sihat. Apa yang dapat diterangkan tentang alam-alam ghaib ini adalah berdasarkan firman-firman ALLAH swt dalam kitab suci al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi Muhammad saw. Berita-berita tentang alam ghaib adalah sebahagian dari berita sami'yat (berita dari langit) yang wajib dipercayai oleh orang yang beriman kepada ALLAH dan Rusul-NYA. Mereka yang tidak percaya akan berita sami'yat akan rosak imannya.

Iman diisi dengan 3 perkara ini :-


  1. Mengetahui sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi ALLAH.

  2. Mengetahui sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Nabi ALLAH.

  3. Mengetahui berita-berita sami'yat.
Jika salah satu dari perkara ini ditinggalkan maka iman itu menjadi tidak sempurna. Iman yang tidak sempurna tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Iman yang gagal berfungsi dengan baik tidak akan dapat jadi pendinding kepada perkara-perkara maksiat.

Alam Roh 

Apakah itu roh?

Firman ALLAH dalam surah al-Isra' ayat 85, yang bermaksud, "Dan mereka pun bertanya kepada engkau dari hal roh. Katakanlah : Roh itu adalah termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah diberikan kepada kamu daripada ilmu kecuali sedikit."

Setiap manusia yang dilahirkan ke alam dunia mempunyai roh. Roh adalah ciptaan ALLAH swt yang tidak dapat dihuraikan oleh manusia. Setiap manusia yang dilahirkan di alam dunia, pasti sudah tersedia rohnya di alam roh (azali). Setiap roh manusia yang dicipta ALLAH telah melafazkan taat setia kepada Yang Maha Esa sebagai Tuhan yang mencipta mereka. Namun apakah sebenarnya hakikat roh itu kita tidak akan dapat menghuraikan. Begitu dengan keadaan alam roh itu. Tidak dapat dihuraikan hakikatnya kerana manusia tidak diberi ilmu mengenainya. Cukuplah kita mempercayai kewujudannya.

Ada pendapat yang mengatakan selagi masih ada lagi roh manusia di alam roh ini, Hari Kiamat tidak akan terjadi. Ertinya manusia masih lagi ditakdirkan lahir ke dunia. Apabila tiada lagi roh manusia di alam roh itu barulah Hari Kiamat akan terjadi. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.


Alam Dunia 

Alam dunia bagi manusia bermula apabila roh ditiup ke dalam janin semasa di rahim ibunya. Maka jika janin mati di dalam rahim atau semasa lahirnya, ianya wajib diuruskan seperti urusan mayat manusia lainnya.



Surah al-Hajj ayat 5, ALLAH berfirman, yang bermaksud; "Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak tentang kebangitan makhluk, maka sesungguhnya KAMI telah menciptakan kamu dari tanah. Kemudian dari setitik air mani, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan (cacat). Kerana KAMI hendak menerangkan kepada kamu dan KAMI pula menetapkan (janin) dalam kandungan rahim apa yang KAMI rancangkan hingga ke satu masa yang tentukan lahirnya. Kemudian KAMI keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian hingga sampai ke peringkat umur dewasa. Dan ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil) dan ada yang pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua bangka sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang ia telah ketahui dahulu (nyanyuk)... "

Begitulah hakikat kehidupan manusia di alam dunia ini. Dari setitik benih ia membentuk menjadi janin yang kemudian dilahirkan sebagai bayi yang lemah. Kemudian ia membesar menjadi kuat dan pintar lalu kembali lemah kembali apabila usianya mencapai tua renta. Hakikat hidup di alam dunia ini ialah ruang dan masa adalah sangat terhad kepada manusia. Erti terhad ruang ialah manusia itu tidaklah boleh hidup melainkan di daratan sahaja. Manusia tidak boleh hidup di dalam lautan seperti hidupan laut yang lain dan tidak mungkin dapat terbang di udara seperti burung dan unggas. Sementara terhad masa ialah manusia itu telah tentukan umur masing-masing untuk hidup di alam dunia ini. Terhadnya ruang dan masa bagi manusia menandakan betapa lemahnya diri makhluk yang dinamakan manusia itu.

Apakah tujuan manusia di hidupkan di alam dunia? Jawapannya ada di dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: "DIA-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan DIA Maha Kuasa lagi Maha Pengampun."

Tujuan hidup di alam dunia ialah untuk mencari bekal untuk dibawa ke alam seterusnya. Bekal itu adalah berupa amalan baik yang disukai ALLAH. Sama ada bekal itu cukup atau tidak terpulanglah kepada usaha masing-masing. Setiap manusia diberi akal dan nafsu bagi menghadapi segala ujian dan dugaan yang telah ditentukan ALLAH baginya. Bagi mereka yang menggunakan akal untuk menundukkan nafsunya, merekalah orang yang beruntung kerana berjaya mengenal Tuhan yang menciptannya dan melawan nafsu yang membawa keburukan. Bagi mereka yang menggunakan nafsu untuk menundukkan akalnya, merekalah orang-orang yang rugi kerana orang yang mengikut hawa nafsu adalah orang yang mengutamakan hidup dunia dan lupa akan hidupnya di alam yang selepas dunia ini serta melupakan Tuhan yang telah menciptanya..

Firman ALLAH di dalam surah al-An'am ayat 2, yang bermaksud; "DIA-lah yang telah mencipta kamu dari tanah, kemudian DIA tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-NYA; dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang kebangitan)."

Manusia dilahirkan ke alam dunia dengan ajal (umur) yang telah ditentukan. Alam yang sedang kita semua lalui ini adalah tempat singgahan sementara. Isikan hidup di alam dunia ini untuk mencari bekalan bagi perjalanan roh kita ke alam yang seterusnya. Alam dunia adalah alam yang kedua bagi roh kita. Ada lagi 3 alam yang akan roh kita tempuhi. Maka buatlah bekalan yang banyak semasa kita hidup di alam ini iaitu sebelum datangnya ajal yang telah dijanjikan kepada kita.

Alam Kubur 

Setelah sampai ajal seorang manusia, maka akan matilah ia. Akan terpisah roh manusia dari jasad yang telah lama menjadi tempat kediamannya itu. Jasad manusia akan kembali kepada unsur asalnya itu tanah (alam). Sementara roh manusia itu akan memasuki alam yang baru iaitu alam kubur atau alam barzakh. Alam kubur atau alam barzakh adalah alam ghaib. Ia adalah tempat pemisahan antara alam dunia dan alam akhirat. Tempoh roh manusia berada di alam kubur ialah di saat selepas kematiannya sehingga terjadinya Hari Kiamat. Manusia yang telah mati dari zaman Nabi Adam as sekarang ini masih lagi menunggu di alam kubur.

Walau bagaimana keadaan jasad manusia yang mati itu diuruskan, sama ada ditanam ke dalam tanah, dibakar menjadi abu, dimakan binatang buas atau hilang di lautan luas, roh manusia berkenaan tetap akan memasuki alam kubur
.
P1000844
Liang lahad untuk jasad manusia adalah sebagai tempat persemadian bagi
jasad itu sahaja. Ia bukanlah alam kubur bagi roh manusia itu. Alam kubur
adalah alam ghaib yang tidak diketahui dimana tempatnya.

Roh yang memasuki alam kubur akan menghadapi berbagai cubaan juga. Antaranya ialah:-

  • Soalan kubur.

  • Himpitan kubur.

  • Siksa kubur.

Bergantung kepada jenis amalan yang telah dilakukan semasa di alam dunia, roh manusia itu akan mendapati alam kuburnya itu adalah seperti taman syurga yang indah dan menenangkan atau menjadi seperti jurang neraka api yang panas dan sangat azab sekali. Roh-roh itu akan menunggu di alam kubur sehinggalah terjadinya Hari Kebangitan.

Alam Masyar 

Alam keempat yang akan dilalui oleh roh manusia ialah alam masyar. Ia terjadi apabila terjadinya Hari Kiamat kubra (kiamat besar di mana hancurnya alam ini). Ia juga dikenali sebagai Hari Kebangkitan. Inilah hari di mana semua roh manusia yang telah mati akan dikembalikan kepada jasadnya semula.

Dari surah Maryam ayat 66 - 67, ALLAH berfirman, yang bermaksud; "Dan manusia berkata; 'Apakah apabila aku mati aku akan dibangkitkan semula?' Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa KAMI telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apa pun."

Dari surah al-Waaqiah ayat 57, ALLAH berfirman, yang bermaksud; "KAMI-lah yang telah ciptaankan kamu dari tiada menjadi ada, maka baiklah kamu percaya hari kebangitan (kamu hidup semula pada Hari Kiamat)."

Banyak lagi ayat-ayat al-Qur'an yang menerangkan tentang kebenaran hari kebangitan ini di mana manusia akan dihidup kembali dan dan dikumpulkan di satu tempat yang dipanggil Padang Masyar. Padang Masyar adalah satu tempat yang amat luas bagi menempatkan kesemua manusia yang telah ditakdirkan hidup di alam dunia dari sejak Nabi Adam as sehingga ke manusia terakhir yang lahir sebelum terjadinya kiamat.

Di sinilah tempat manusia menunggu untuk dibicarakan dan diadili seadil-adilnya bagi amalan baik buruk yang telah dilakukan semasa hidup di alam dunia dulu. Maka alam masyar juga dikenali sebagi Hari Pengadilan. Di hari ini amalan kita akan ditimbang dengan adil dan saksama. Semua manusia akan mendapat pengadilan yang sempurna.

scale_animation_32tx

Di hari ini juga manusia akan mengenali apakah itu;-

  • mizan

  • haud

  • kitab catatan

  • hisab

  • rahmat

  • syafa'at

  • syirat
Suasana di alam masyar ini sangatlah dasyat dan hebat sekali tidak dapat digambar dengan akal manusia pada saat kita masih hidup di alam dunia ini. Berapa lamakah masa menunggu di alam masyar ini?

Dari hadith Nabi saw yang bermaksud; "Manusia akan menunggu di Hasyar (masyar) selama 40."

Nabi saw tidak menerangkan 40 apakah itu sama ada 40 jam atau 40 hari atau 40 bulan atau 40 tahun. Maka bersiap sedia wahai manusia bagi hari itu kerana ianya pasti akan kita lalui.

Kehidupan di Alam Masyar adalah untuk masa yang sangat lama. Alam Masyar terbagi kepada beberapa peringkat :-


  • peringkat kebangkitan

  • peringkat perhimpunan

  • peringkat pembahagian kitab amal manusia

  • peringkat pengadilan

  • peringkat pembalasan
Setiap peringkat kejadian ini akan berlangsung untuk masa yang tidak dapat bayangkan lamanya. Jadi keseluruhan hidup di Alam Masyar itu memang sangat lama, panjang dan sukar sekali.

Alam Syurga / Neraka 

Destinasi terakhir bagi roh manusia ialah dimasukkan ke alam syurga atau ke alam neraka bergantung kepada pengadilan ALLAH terhadap amalan-amalan kita. Mereka yang berjaya pasti akan dimasukkan ke syurga yang tiada bandingan indahnya. Bagi mereka yang gagal maka balasan yang janjikan ALLAH ialah tempat azab yang pedih.

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 82, yang bermaksud; "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya."


Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 88, yang bermaksud; "Mereka (orang yang engkar) kekal di dalamnya (neraka), tidak diringankan azab siksa daripada mereka dan mereka tidak diberi tempoh atau perhatian (dibiarkan)." 

Bagaimanakah keadaan syurga dan neraka itu? Banyak ayat-ayat al-Qur'an yang menerangkan bayangan syurga dan nereka. Syurga adalah tempat kediaman yang penuh nikmat dan indah permai. Neraka pula tempat azab yang bersangatan pedihnya. Bayangan-banyangan ini hanyalah sekadar dapat difahami oleh akal manusia yang terbatas. Hakikat sebenarnya syurga dan neraka itu tidak dapat dibayang dengan mata dan tidak dapat difikir dengan akal.
Sumber: http://kalam-insani.livejournal.com/45061.html

No comments:

Post a Comment