Oleh Faudzil Harun
PENDAFTARAN
MAJIKAN
Majikan hendaklah melaporkan ke Jabatan Tenaga
Kerja berhampiran dalam tempoh 30 hari apabila memulakan sesuatu perniagaan.
FAKTOR
HUBUNGAN PEKERJAAN
PERUNDANGAN
Hubungan di antara majikan dan pekerja dikawal oleh peruntukan undang-undang,
perjanjian yang dipersetujui menerusi kontrak perjanjian secara lisan atau bertulis dan samada secara tersurat
atau tersirat.
Undang-undang pekerjaan merupakan garis panduan perlindungan bagi majikan dan
pekerja. Ia dibentuk untuk mengimbangi keperluan obligasi kedua-dua pihak dan
juga menjadi manual kepada penyelesaian masalah yang berkaitan hubungan
pekerjaan.
Undang-undang pekerjaan meliputi :
● Undang-undang berkanun (Akta)
● Peraturan-peraturan kerajaan Malaysia
dan kerajaan tempatan
● Keputusan Mahkamah
POLISI DAN PROSEDUR
Pada kebiasaannya dokumen yang menerangkan tanggungjawab, obligasi dan faedah
pekerjaan dinamakan Buku Panduan Pekerja (“Employee Hand Book”).
Terdapat juga organisasi yang menggariskan setiap peraturan pekerjaan dan
kaedah
perlaksanaan peraturan tersebut yang dikenali sebagai polisi dan prosedur.
Dalam pertikaian perundangan, mahkamah boleh mengambil kira buku panduan
pekerja sebagai obligasi kontrak yang mesti dipatuhi oleh majikan dan pekerja.
Peruntukan “Common Law”
“Common Law” atau Tugas-tugas Undang-undang Biasa adalah tugas-tugas asas yang
tidak ditetapkan oleh kontrak pekerjaan tetapi harus dituruti berdasarkan
penggunaan, adat dan keputusan-keputusan mahkamah selama ini.
AKTA BERKAITAN HUBUNGAN MAJIKAN –
PEKERJA
● Akta Kerja 1955, Akta 265
Merupakan Akta teras kepada perundangan
pekerjaan di Semenanjung Malaysia.
Ia merupakan undang-undang yang
menyeluruh dan meliputi semua aspek berkaitan
pekerjaan, kontrak pekerjaan,
penamatan kontrak, pemecatan, upah, cuti dan
sebagainya. Ia mengandiungi terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan minima
kepada pekerja yang dilindungi oleh
Akta.
● Akta Cuti Mingguan 1950, Akta 220
● Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta 273
● Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta 262
● Akta (Penggajian) Kanak-kanak dan Orang Muda
1966, Akta 350
● Akta Pekerjaan (Sekatan) 1968, Akta 353
● Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta 177
● Ordinan Buruh Sabah 1950, Akta A1238
● Ordinan Buruh Sarawak 1952, Akta A123
● Akta Umur Persaraan Minimum 2012, Akta
753
● Perintah Gaji Minimum 2012
Peraturan-peraturan Di Bawah Akta Kerja 1955 :
● Peraturan-peraturan Kerja 1957
● Peraturan-peraturan Kerja
(Prosedur-Peruntukan-peruntukan Bersaling) 1957
● Peraturan-peraturan Kerja (Mengambil
Bekerja Wanita) (Konduktor Wanita) 1958
● Peraturan-peraturan Kerja (Mengambil
Bekerja Wanita) (Pekerja-pekerja Syif) 1970
● Peraturan-peraturan Kerja (Kadar
Minimum Elaun Bersalin) 1976
● Peraturan-peraturan Kerja
(Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980
● Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja
Lebih Masa) 1980
● Perintah Wilayah Persekutuan Labuan
(Peluasan dan Pengubahsuaian Akta Kerja) 2000
● Peraturan-peraturan Kerja (Pekerja
Separa Masa) 2010
Akta Berkaitan Perlindungan Sosial Pekerja
● Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta 4
● Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
1991, Akta 452
Akta Berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
● Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta 139
● Akta Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 1994, Akta 514
dan lain-lain Akta bergantung kepada
jenis dan risiko pekerjaan.
Akta-Akta Lain Yang Berkaitan
● Akta Kontrak 1950, Akta 136
● Akta Pembanguan Sumber Manusia 1992,
Akta 491
● Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta 53
dan lain-lain Akta bergantung kepada
jenis pekerjaan.
__________________________________________________
AKTA
265 – (AKTA KERJA 1955)
APA
ITU KONTRAK PEKERJAAN?
S 2 Akta Kerja 1955
Kontrak
perkhidmatan ertinya mana-mana perjanjian, sama ada lisan atau bertulis dan
sama ada nyata atau tersirat, di mana seorang bersetuju untuk mengambil bekerja
seorang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk berkhidmat
dengan majikannya sebagai pekerja dan termasuklah kontrak perantisan.
S 3 Akta Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 1994
Kontrak perkhidmatan ertinya apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau
bertulis dan sama ada secara nyata atau tersirat, yang menurutnya seseorang
bersetuju untuk menggaji seseorang yang lain sebagai pekerja dan orang yang
lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja dan
termasuklah suatu kontrak perantisan.
S 2 Akta Perhubungan Perusahaan
1967
Kontrak pekerjaan ertinya mana-mana perjanjian sama ada lisan atau bertulis
dan sama ada nyata atau tersirat, di mana seorang bersetuju untuk mengambil
kerja seorang yang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk
berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja.
Keperluan Kontrak Didokumenkan
Peraturan Kerja 1957 di bawah Akta Kerja 1955 menghendaki majikan
memberikan kepada setiap pekerja yang dilindungi Akta Kerja 1955 perkara
berikut :
● Peraturan 8
Terma dan syarat pekerjaan bertulis.
● Peraturan 9
Penyata berkaitan upah, elaun dan bayaran
lain pada setiap tempoh upah.
TERMA YANG TERSIRAT
Suatu kontrak tidak mungkin dapat merangkumi segala terma dan syarat secara
nyata. Terma yang tersirat haruslah diberikan perhatian dalam perlaksanaan
hubungan majikan-pekerja. Contoh keterangan berkaitan terma yang tersirat
adalah seperti berikut :
Akta Kontrak, 1950
S 9 – Janji, tersurat dan
tersirat
Setakat yang mana cadangan atau penerimaan apa-apa janji dibuat
dalam kata-kata, janji dikatakan ekspres. Setakat yang cadangan atau penerimaan
dibuat selain daripada kata-kata, janji dikatakan tersirat.
PEMECATAN PEKERJA PERCUBAAN
Definisi
atau tafsiran “workman” di bawah Seksyen 2 Akta Perhubungan Perusahaan 1967
tidak membezakan diantara pekerja tetap dan pekerja percubaan. Pekerja
percubaan memiliki hak yang sama dengan pekerja tetap boleh memfailkan tuntutan
untuk “reinstatement” di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Pekerja percubaan tidak harus dipecat tanpa keadilan dan alasan yang munasabah.
Penamatan
Secara Paksaan (“Forced
Resignation”)
Penamatan secara paksaan adalah bersamaan dengan pemecatan tidak langsung.
CUTI SAKIT
S 60F (1) Seseorang pekerja hendaklah,
selepas pemeriksaan atas perbelanjaan
majikan;
(a) oleh seorang pengamal perubatan yang
dilantik oleh majikan; atau
(b) jika tiada pengamal perubatan
dilantik, oleh pengamal perubatan berdaftar yang lain
atau oleh seorang pegawai
perubatan, berhak mendapat cuti sakit berbayar :
HARI KELEPASAN AM
Pekerja berhak mendapat tidak kurang dari 11 hari kelepasan am
(S60D (1) Akta Kerja 1955)
Hari Kelepasan Am Yang Di Gazetkan
(S 60D (1) (a) Akta Kerja 1955)
Terdapat 5 hari kelepasan am yang di gazetkan seperti berikut :
1. Hari Kebangsaan
2. Hari Keputeraan DYMM di-Pertuan Agong
3. Hari Keputeraan Raja atau Yang
di-Pertua Negeri
4. Hari Pekerja
5. Hari Malaysia
Majikan berhak memilih baki 6 hari kelepasan am dan mesti mengumumkan kepada
pekerja pada setiap awal tahun calendar.
Pertindihan Hari Kelepasan Am
(S 60D (1) (b) Akta Kerja 1955)
Hari kelepasan am yang jatuh pada hari cuti rehat atau hari kelepasan am yang
lain mesti digantikan dengan hari berikutnya.
Hari kelepasan am yang jatuh pada hari pekerja sedang cuti sakit atau cuti
tahunan mesti digantikan dengan hari lain sebagai hari kelepasan am berbayar.
Ketidakhadiran
Sebelum dan Selepas Hari Kelepasan Am
(S 60D (2) Akta Kerja 1955)
Pekerja yang tidak hadir bekerja sebelum atau selepas hari kelepasan am atau
dua atau lebih hari-hari kelepasan am tidak
layak mendapat upah untuk hari kelepasan atau hari-hari kelepasan am
tersebut.
Pekerja tidak berhak keatas hari kelepasan am (khas) yang diumumkan kerajaan
dari masa kesemasa.
TAFSIRAN UPAH DAN TEMPUH UPAH
Upah
(S 2 Akta Kerja 1955)
Menurut Seksyen 2, upah bermaksud upah pokok dan semua pembayaran lain dengan
wang tunai kepada seorang pekerja bagi kerja yang dilakukan tetapi tidak
termasuk :
(a) Nilai mana-mana rumah tempat tinggal
atau berkaitan apa-apa makanan, minyak,
lampu atau air atau rawatan
perubatan atau mana-mana kemudahan atau
perkhidmatan yang diluluskan;
(b) Apa-apa caruman yang dibayar oleh
majikan kepada mana-mana kumpulan wang
pencen, kumpulan wang simpanan,
skim pemberhentian kerja, skim pengurangan
pekerja, faedah penamatan atau
rentikerja sentara atau persaraan atau skim jimat-
cermat atau mana-mana kumpulan wang
lain atau skim yang ditubuhkan untuk faedah
dan kebajikan pekerja;
(c) Apa-apa elaun perjalanan atau nilai
apa-apa konsesi perjalanan;
(d) Apa-apa jumlah yang kena dibayar
kepada pekerja untuk menanggung perbelanjaan
khas yang diperlukan olehnya kerana
jenis pekerjaannya;
(e) Apa-apa ganjaran yang kena dibayar
atas pemberhentian atau persaraan; atau
(f) Apa-apa bonus tahunan atau mana-mana
bahagian dari apa-apa bonus tahunan.
Tempoh Upah (S 18 Akta Kerja 1955)
Tempuh upah merupakan suatu tempuh dimana hari mula hingga akhir upah
dibuat kiraan dan tidak melebihi satu bulan.
WAKTU BAYARAN UPAH
Upah Kerja Normal (S 19 (1) Akta Kerja 1955)
Majikan mestilah membayar upah kepada semua pekerjanya tidak lewat dari
hari ke tujuh dari hari akhir tempuh upah.
Upah Bekerja pada Hari Cuti Rehat, Hari Kelepasan Am dan Kerja Lebih Masa
(S 19 (2) Akta Kerja 1955)
Upah bagi kerja yang dilakukan pada hari cuti rehat dan hari kelepasan am yang
digazetkan di bawah Seksyen 60D (1) (a) and (b) dan bayaran kerja lebih masa yang dirujuk dalam Seksyen 60A
hendaklah dibayar tidak lewat dari hari terakhir dalam tempuh upah bulan
berikutnya.
Upah bagi Penamatan Biasa Kontrak Pekerjaan (S 20 Akta Kerja 1955)
Upah bagi penamatan kontrak penggal tetap (“Fixed Term Contract”) hendaklah
dibayar kepada pekerja tidak lewat dari hari terakhir kontrak perkhidmatan.
Upah bagi Penamatan Tanpa Notis Oleh Majikan
(S 21 (1) Akta Kerja 1955)
Majikan yang menamatkan kontrak pekerjaan tanpa notis atas alasan :
● Majikan telah membayar amaun
menggantikan tempuh notis penamatan kontrak
olehnya;
● Pelanggaran kontrak oleh pekerja; atau
● Pemecatan pekerja atas alasan
salahlaku.
hendaklah membayar pekerja tidak
lewat dari hari dimana kontrak itu ditamatkan.
Upah bagi Penamatan Kontrak Tanpa Notis Oleh Pekerja
(S 21 (2) Akta Kerja 1955)
Pekerja yang menamatkan kontrak pekerjaan tanpa notis atas alasan :
● Telah membayar amaun menggantikan
tempuh notis penamatan kontrak olehnya;
● Pelanggaran kontrak oleh majikan; atau
● Dia atau orang yang di bawah
tanggungnya diancam serta-merta oleh bahaya secara
keganasan atau penyakit.
hendaklah dibayar upahnya tidak lewat
dari hari ke tiga setelah kontrak itu ditamatkan.
________________________________________________________________________
AKTA
452 – (AKTA KUMPULAN
WANG SIMPANAN PEKERJA 1991)
Seksyen 41 – Tugas majikan untuk mendaftar dengan Lembaga
41. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, melainkan jika dia
sudahpun didaftarkan dengan Lembaga, sebelum berakhirnya minggu pertama di
dalam bulan pertama yang di dalamnya dia membayar upah yang berkenaan
dengannya dia adalah dikehendaki untuk membayar caruman di bawah Akta ini,
mendaftar dengan Lembaga mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga.
(2) Mana-mana majikan yang melanggar
peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan,
apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak
melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau
kedua-duanya.
(3) Jika mana-mana orang terhenti daripada menjadi
seorang majikan, mengikut pengertian Akta ini, dia hendaklah dalam tempoh
sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, memberitahu Lembaga mengenainya
mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga.
(4) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan-peruntukan
subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan.
|
|
Seksyen
42 – Tugas majikan untuk menyediakan dan memberikan penyata upah
42.
(1) Tiap-tiap majikan hendaklah menyediakan dan memberikan penyata upah kepada
setiap dan tiap-tiap orang pekerja dan penyata upah tersebut hendaklah
mengandungi apa-apa maklumat sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah.
(2)
Tiap-tiap majikan hendaklah menyediakan dan menyimpan satu atau lebih daftar
yang mengandungi apa-apa maklumat sebagaimana yang ditetapkan oleh
kaedah-kaedah dan daftar tersebut hendaklah disimpan bagi sesuatu tempoh supaya
tiap-tiap butir yang direkodkan di dalamnya boleh didapati bagi pemeriksaan
untuk tidak kurang daripada enam tahun selepas ia direkodkan.
Seksyen 45 – Pembayaran Caruman
45. (1) Kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta
ini, majikan hendaklah, pada mulanya, bertanggungan untuk membayar keduadua
caruman yang kena dibayar oleh dirinya serta juga, bagi pihak dan dengan
tidak termasuk pekerja, caruman yang kena dibayar oleh pekerja tersebut;
dan bagi maksud-maksud Akta ini caruman yang dibayar oleh majikan bagi
pihak pekerja hendaklah disifatkan caruman oleh pekerja.
(2) Caruman yang kena dibayar oleh majikan bagi dirinya
dan bagi pihak pekerja di bawah subseksyen (1) hendaklah dibayar berkenaan
dengan upah bulan pertama dan berikutnya.
(3) Walau apa pun seksyen 49, jika majikan gagal
membayar apa-apa caruman yang kena dibayar dalam apa-apa tempoh sebagaimana
yang ditetapkan oleh Menteri, majikan itu hendaklah sebagai tambahan kepada
caruman itu bertanggungan untuk membayar dividen yang terakru atas caruman
itu jika caruman itu telah dibayar oleh majikan itu dalam tempoh yang
ditetapkan itu pada kadar yang diisytiharkan di bawah seksyen 27 mengikut
apa-apa cara dan pengiraan yang ditentukan oleh Lembaga:
Dengan syarat bahawa jika kadar dividen bagi sesuatu tahun tertentu belum
lagi diisytiharkan oleh Lembaga, kadar dividen terakhir yang diisytiharkan
itu hendaklah terpakai bagi maksud pengiraan dividen bagi tahun itu.
(4) Mana-mana majikan yang melanggar peruntukan
subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan,
boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau
didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
|
|
Seksyen 46 – Tanggungan
bersama dan berasingan bagi pengarah-pengarah, dsb.
46. (1) Jika apa-apa caruman masih tak dibayar oleh
sesuatu syarikat, sesuatu firma atau sesuatu persatuan orang-orang, maka,
walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan dalam Akta ini atau mana-mana
undang-undang bertulis yang lain, pengarah-pengarah syarikat itu
termasuklah mana-mana orang yang pernah menjadi pengarah syarikat itu dalam
masa tempoh yang di dalamnya caruman itu bertanggungan dibayar, atau
pekongsi-pekongsi firma itu, termasuklah mana-mana orang yang pernah
menjadi pekongsi firma itu dalam masa tempoh yang di dalamnya caruman itu
bertanggungan dibayar, atau pemegang-pemegang jawatan dalam persatuan
orang-orang itu, termasuklah mana-mana orang yang pernah menjadi pemegang
jawatan dalam persatuan itu dalam masa tempoh yang di dalamnya caruman itu
bertanggungan dibayar, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah bersama
dengan syarikat, firma atau persatuan orang-orang yang bertanggungan untuk
membayar caruman tersebut, bersama-sama dan berasingan bertanggungan bagi
caruman yang genap masa untuk dibayar dan kena dibayar kepada Kumpulan
Wang.
(2) Dalam seksyen ini perkataan "caruman"
hendaklah disifatkan sebagai termasuk apa-apa dividen dan faedah yang kena
dibayar ke atas mana-mana caruman.
|
|
________________________________________________________________________
AKTA
4 – (AKTA KESELAMATAN SOSIAL PEKERJA
1969)
Pendaftaran perusahaan
4. Tiap-tiap
perusahaan yang terhadapnya Akta ini terpakai hendaklah didaftarkan dengan
Pertubuhan dalam masa dan mengikut cara yang dinyatakan dalam
peraturan-peraturan.
Semua
pekerja hendaklah diinsuranskan
5. Tertakluk
kepada Akta ini, semua pekerja dalam perusahaan yang terhadapnya Akta ini
terpakai hendaklah diinsuranskan mengikut cara yang diperuntukkan oleh Akta
ini.
Caruman
6. (1)
Caruman yang kena dibayar di bawah Akta ini bagi seseorang pekerja adalah
terdiri daripada caruman yang kena dibayar oleh majikan (kemudian daripada ini
dirujuk sebagai
caruman majikan) dan caruman yang kena
dibayar oleh pekerja (kemudian daripada ini dirujuk sebagai caruman pekerja)
dan hendaklah dibayar kepada Pertubuhan.
(2) Caruman itu hendaklah dibahagi kepada dua jenis yang berikut, iaitu:
(a) caruman jenis pertama, yang
merupakan caruman yang kena dibayar oleh atau bagi pihak pekerja yang diinsuranskan
terhadap kontingensi keilatan dan bencana kerja; dan
(b) caruman jenis kedua, yang
merupakan caruman yang kena dibayar oleh atau bagi pihak pekerja yang diinsuranskan
hanya terhadap kontingensi bencana kerja.
(3) Tiap-tiap jenis caruman itu hendaklah dibayar mengikut kadar yang
dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
(4) Caruman jenis pertama hendaklah dibayar
oleh majikan dan pekerja mengikut bahagiannya masing-masing sebagaimana yang
dinyatakan dalam Bahagian I dalam Jadual Ketiga.
(5) Caruman jenis kedua hendaklah dibayar
semuanya oleh majikan.
(6) Menteri, selepas berunding dengan Menteri
Kewangan boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, meminda, menambah,
mengubah atau mengkaji semula kadar caruman yang
dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
(7) Sebulan ialah kiraan tempoh yang baginya
semua caruman kena dibayar di bawah Akta ini.
(8) Caruman yang kena dibayar bagi tiap-tiap
satu bulan hendaklah biasanya kena dibayar pada hari akhir bulan itu, dan jika
pekerja diambil kerja dengan majikan bagi sebahagian
sesuatu bulan, caruman bulan itu hendaklah
kena dibayar pada hari akhir dia bekerja dengan majikan itu dalam bulan
tersebut.
(9) Jika dua caruman atau lebih dibayar
berkenaan dengan orang berinsurans yang sama bagi bulan yang sama,
carumancaruman itu hendaklah dikira sebagai satu caruman bulanan
tunggal.
(10) Pada menghitung purata gaji anggapan
bagi maksud mengira kadar pencen atau faedah yang kena dibayar di bawah Akta
ini, dua caruman bulanan atau lebih yang dibayar berkenaan dengan orang
berinsurans yang sama bagi bulan yang sama hendaklah dikira sebagai satu
caruman bulanan tunggal yang bersamaan dengan agregat gaji bulanan anggapan
yang berlainan yang dimaksudkan oleh caruman itu:
Dengan syarat bahawa jika agregat gaji
bulanan anggapan yang berlainan yang bersamaan dengan caruman yang berlainan melebihi
gaji bulanan anggapan yang maksimum, maka gaji
bulanan anggapan hendaklah gaji bulanan yang
maksimum itu.
Majikan
utama hendaklah mendahulukan pembayaran caruman
7. (1)
Majikan utama hendaklah membayar caruman majikan dan caruman pekerja
kedua-duanya bagi tiap-tiap seorang pekerja sama ada yang diambil kerja terus
olehnya atau melalui seorang majikan langsung.
(2) Walau apa pun peruntukan yang terkandung
dalam manamana undang-undang bertulis yang lain tetapi tertakluk kepada Akta
ini dan peraturan-peraturan, jika ada, majikan utama adalah, mengenai seseorang
pekerja yang diambil kerja terus olehnya, berhak mendapatkan daripada pekerja
itu caruman pekerja dengan memotong daripada gajinya tetapi tidak dengan cara
lain:
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa potongan sedemikian boleh dibuat daripada
mana-mana gaji kecuali gaji yang bersabit dengan tempoh atau bahagian tempoh
yang mengenainya caruman kena dibayar, atau yang lebih daripada caruman pekerja
bagi tempoh itu.
(3) Walau apa pun yang terkandung dalam
apa-apa kontrak yang berlawanan, majikan utama atau majikan langsung tidak berhak
memotong caruman majikan daripada mana-mana gaji yang kena dibayar kepada
seseorang pekerja atau mendapatkan caruman itu daripadanya dengan apa-apa cara
lain.
(4) Apa-apa jumlah wang yang dipotong oleh
majikan utama daripada gaji di bawah Akta ini hendaklah disifatkan sebagai telah
diamanahkan kepadanya oleh pekerja bagi maksud
membayar caruman yang kerananya wang itu
telah dipotong.
Mendapatkan balik caruman daripada majikan
langsung
8. (1)
Seseorang majikan utama, yang telah membayar caruman bagi seseorang pekerja
yang diambil kerja olehnya atau melalui seorang majikan langsung, adalah berhak
mendapatkan balik wang caruman yang telah dibayar itu (iaitu caruman majikan
serta jua caruman pekerja, jika ada) daripada majikan langsung, sama ada dengan
memotong wang itu daripada apa-apa wang yang kena dibayar kepadanya oleh
majikan utama di bawah apa-apa kontrak, atau sebagai suatu hutang yang kena
dibayar oleh majikan langsung itu.
(2) Dalam hal yang dirujuk dalam subseksyen
(1), majikan langsung adalah berhak mendapatkan balik caruman pekerja daripada
pekerja yang diambil kerja olehnya atau melaluinya dengan memotong daripada
gaji dan tidak dengan apa-apa cara lain, tertakluk kepada subseksyen 7(2).
Peruntukan
am tentang pembayaran caruman
9. (1)
Caruman (iaitu caruman majikan dan caruman pekerja) hendaklah dibayar oleh
majikan utama bagi tiap-tiap bulan yang bagi keseluruhan atau sebahagiannya
gaji kena dibayar kepada pekerja dan tidak bagi mana-mana bulan atau bahagian
bulan yang lain.
(2) (Dipotong oleh Akta A675).
Caruman
jika perusahaan atau pekerja tidak diinsuranskan atau didaftarkan
9A. Caruman
hendaklah kena dibayar berkenaan dengan pekerja mulai dari bulan mereka
memasuki pekerjaan dan caruman itu kena dibayar walaupun perusahaan yang
baginya Akta ini terpakai atau pekerja atau kedua-duanya tidak diinsuranskan
atau didaftarkan
dengan Pertubuhan:
Dengan syarat bahawa majikan yang telah
membayar tunggakan caruman berkenaan dengan seseorang pekerja akan hanya berhak
mendapat balik daripada gaji yang kena dibayar walau apa pun proviso kepada
subseksyen 7(2) bahagian caruman pekerja yang kena dibayar dalam masa enam
bulan terdahulu yang akhir sebelum tarikh pembayaran.
Pengesahan caruman yang dipungut
9B. Apa-apa
caruman yang dipungut oleh Pertubuhan bagi seseorang pekerja yang tidak
didaftarkan bagi maksud insurans di bawah Akta ini bagi apa-apa tempoh sebelum
1 Julai 1987 adalah dengan ini disahkan dan diisytiharkan sebagai telah
dipungut secara sah di sisi undang-undang.
Cara
membayar caruman
10. Tertakluk
kepada Akta ini, Menteri boleh membuat peraturan-peraturan bagi apa-apa perkara
yang berkaitan atau bersampingan dengan pembayaran dan pemungutan caruman yang kena
dibayar di bawah Akta ini dan dengan tidak menyentuh keluasan kuasa yang
tersebut di atas peraturan-peraturan itu boleh membuat peruntukan tentang—
(a) cara dan masa pembayaran
caruman;
(b) pembayaran
caruman sama ada dengan wang tunai atau cek atau apa-apa cara pembayaran yang
lain;
(c) tarikh
sehingga bila keterangan mengenai caruman yang telah dibayar akan diterima oleh
Pertubuhan;
(d) catatan
dengan cara yang diluluskan butiran dalam atau pada buku, borang mengenai
caruman yang dibayar dan faedah yang dibahagikan mengenai orang berinsurans
yang berkaitan dengan buku atau borang itu; dan
(e) pengeluaran, penjualan,
penyimpanan, pengemukaan, pemeriksaan dan penyerahan bahan, buku, atau borang atau
penggantian bahan, buku atau borang yang telah hilang, binasa atau cacat.
Majikan
hendaklah memberikan penyata dan menyenggarakan daftar dalam hal tertentu
11. (1)
Setiap majikan utama dan majikan langsung hendaklah menyampaikan kepada Pertubuhan
atau kepada mana-mana pegawai Pertubuhan sebagaimana yang diarahkan oleh Pertubuhan
apa-apa penyata mengikut apa-apa bentuk dan mengandungi apa-apa butir
sebagaimana yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan yang dibuat bagi maksud
ini berkenaan dengan orang yang diambil kerja olehnya atau berkenaan dengan mana-mana
perusahaan yang mengenainya dia adalah majikan utama atau majikan langsungnya.
(2) Jika, mengenai sesuatu perusahaan,
Pertubuhan ada sebab untuk mempercayai bahawa sesuatu penyata sepatutnya telah disampaikan
menurut subseksyen (1) tetapi tidak disampaikan, Pertubuhan boleh menghendaki
sesiapa yang mengetuai perusahaan itu memberikan apa-apa butir yang pada
pendapatnya adalah perlu bagi maksud membolehkan Pertubuhan memutuskan sama ada
perusahaan itu adalah suatu perusahaan yang
mengenainya Akta ini terpakai.
(3) Tiap-tiap majikan utama dan majikan
langsung hendaklah menyenggarakan daftar atau rekod mengenai perusahaannya sebagaimana
yang dikehendaki oleh peraturan-peraturan yang dibuat bagi maksud ini.
BAHAGIAN
VI
PENALTI
Hukuman bagi maklumat palsu
93. Jika
mana-mana orang, bagi maksud menyebabkan apa-apa tambahan pembayaran atau
faedah di bawah Akta ini, atau bagi maksud menyebabkan apa-apa pembayaran atau
faedah dibuat jika pembayaran atau faedah itu tidak dibenarkan oleh atau di bawah
Akta ini, atau bagi maksud mengelakkan apa-apa pembayaran daripada dibuat
olehnya sendiri di bawah Akta ini, atau membolehkan mana-mana orang lain
mengelakkan apa-apa
pembayaran sedemikian—
(a) membuat
atau menyebabkan dibuat apa-apa pernyataan palsu atau representasi palsu; atau
(b) membuat
secara bertulis atau menandatangani apa-apa akuan, borang, laporan, perakuan
atau dokumen lain yang dikehendaki oleh Akta ini atau mana-mana peraturan yang
dibuat di bawah Akta yang tidak benar atau tidak betul dalam apa-apa butir
material, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua
tahun, atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau kedua-duanya.
Hukuman
bagi kemungkiran membayar caruman, dsb.
94. Jika
sesiapa—
(a) mungkir
membayar apa-apa caruman atau mana-mana bahagiannya yang kena dibayar olehnya
di bawah Akta ini atau tidak membayar dalam masa yang ditetapkan melalui
peraturan-peraturan apa-apa bunga yang kena dibayar di bawah seksyen 14A;
(b) memotong atau cuba memotong
kesemua atau sebahagian caruman majikan daripada gaji seseorang pekerja;
(c) dengan
menyalahi seksyen 52 mengurangkan gaji atau apa-apa keistimewaan atau faedah
yang dibenarkan bagi seseorang pekerja;
(d) dengan
menyalahi seksyen 53 atau mana-mana peraturan, membuang kerja, memberhentikan,
mengurangkan ataupun menghukum seseorang pekerja;
(e) mungkir
atau enggan menyampaikan apa-apa penyata atau laporan kemalangan yang
dikehendaki oleh peraturan-peraturan atau membuat sesuatu penyata atau laporan
palsu;
(f) menghalang
seseorang Pemeriksa atau pegawai lain Pertubuhan pada menunaikan kewajipannya;
atau
(g) melakukan
kesalahan melanggar Akta ini atau tidak mematuhi apa-apa kehendak Akta ini atau
kaedahkaedah atau peraturan-peraturan yang tidak ada penalty khas diperuntukkan
baginya, ia hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh
sampai dua tahun, atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau
kedua-duanya.
Perintah Mahkamah berkenaan dengan caruman
yang genap masa dan kena dibayar kepada Pertubuhan
94A. (1) Apabila seseorang didapati bersalah kerana melakukan apa-apa
kesalahan di bawah perenggan 94(a), Mahkamah yang mendapati orang itu
bersalah hendaklah memerintahkan orang itu membayar kepada Pertubuhan amaun
apa-apa caruman, bersama
dengan bunga yang dikreditkan kepadanya, yang
genap masa dan kena dibayar kepada Pertubuhan dan disahkan oleh pegawai berkuasa
Pertubuhan sebagai kena dibayar oleh orang itu sebelum tarikh dia didapati
bersalah itu dan perakuan pegawai berkuasa itu
hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang
amaun yang genap masa dan kena dibayar itu.
(2) Caruman itu hendaklah boleh dituntut balik mengikut cara yang sama
sebagaimana, dan boleh dirayukan seolah-olah ia adalah, suatu perintah bagi
bayaran pampasan di bawah seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593],
kecuali bahawa jika Mahkamah mengarahkan supaya pembayaran jumlah wang itu dibuat
secara ansuran, Mahkamah hendaklah mengarahkan supaya jumlah wang itu dibayar
dengan tidak lebih daripada enam
ansuran.
(3) Apabila seseorang itu didapati bersalah atas mana-mana kesalahan di bawah
perenggan 94(e) berkenaan dengan pengemukaan laporan kemalangan,
Mahkamah yang dihadapannya orang itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan
orang itu mengemukakan laporan kemalangan yang dikehendaki itu dalam masa yang
ditentukan oleh Mahkamah.