11 August 2014

PANDUAN SUAMI ISTERI - Suami tak tegur isteri lebih 3 hari






Fikrah Dr Salam


Suami tak tegur isteri lebih 3 hari


SAYA mempunyai suami yang tidak pernah tinggal solat dan baik orangnya. Masalahnya, jika berlaku perselisihan faham kecil, suami selalu ‘tarik muka’ dan tidak bertegur lebih daripada tiga hari.
Apa hukumnya walaupun saya cuba berbaik dengannya dan dia masih tidak menegur saya? 
HASNAH, 
Kuala Lumpur 

SEORANG isteri mesti mencuba sedaya upaya supaya menjaga diri supaya tidak berlaku pergaduhan dan perselisihan dengan suami. Seorang isteri hendaklah menjaga lidah dan perbuatan dalam hubungan seharian dengan suami. 

Islam meletakkan tanggungjawab kepada isteri. Berusahalah sedaya usaha melaksanakan tang­gungjawab sebagai isteri yang solehah. Kedudukan wanita menjadi istimewa apabila mempunyai suami dan keluarga. 

Ditambah lagi apabila mendapat suami yang baik dan beragama seperti di atas. 
Kita tidak nafikan, kadang-kadang berlaku perselisihan antara suami isteri. 

Pepatah Melayu ada me­nyatakan ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula 
suami isteri.’ Sebagai seorang isteri yang tinggal bersama suami, puan tentu sudah memahami perasaan suami yang mudah tersentuh itu. 

Dengan itu, carilah jalan supaya ia tidak berlaku perselisihan. Apabila berlaku pergeseran, puan terus meminta maaf kepada suami seterusnya apabila hubu­ngan menjadi baik dan mesra, luah kepada suami perasaan puan. 

Mungkin boleh dibuat perjanjian supaya anda berdua saling bermaaf-maafan. 
Kemudian apabila suami merajuk, isteri memujuk dengan penuh kasih sayang. 

Begitulah sebaliknya. Mengenai hukum suami masih merajuk melebihi tiga hari sehingga tidak bertegur sapa, tiada hukum khusus. Ini kerana hukumnya berdasarkan keadaan sama ada ia boleh atau sebagainya. 

Kadang kala suami berbuat demikian kerana ingin mengajar isteri supaya tidak berbalah dalam perkara kecil. Puan hendaklah menerima suami seadanya dan cuba bertolak ansur dengan suami. 

Kita tidak mahu persoalan kecil membawa kehancuran rumah tangga. Al-Quran membentangkan bagaimana maklum balas isteri terhadap suami sekiranya menghadapi permasalahan itu dalam ayat berikut, maksudnya: “Dan jika seorang perem­puan bimbang akan timbul daripada suaminya ‘nusyuz’ (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian di antara mereka berdua, kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai); sedang sifat bakhil (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa’ (4): 128).
Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/28
Sumber: http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment