11 August 2014

RAWAT HATI - Hukum Tidak Bertegur Sapa Melebihi 3 Hari






HUKUM TAK BERTEGUR SAPA MELEBIHI 3 HARI

Asal hukum tidak bertegur sapa adalah haram. Kecuali ada masaalah yang menuntut kepada perbuatan tidak bertegur sapa. Contoh maslahah seperti dengan sebab tidak bertegur sapa maka mereka akan meninggalkan maksiat. Imam al-Nawawi dalam riyad al-salihin membuat satu bab khusus berkenaan hal ini :

Maksudnya : “Bab pengharaman tidak bertegur sapa antara orang Islam lebih daripada tiga hari kecuali kerana sebab bid’ah yang ada pada orang yang tidak ditegur tersebut atau sebab menzahirkan fasiq olehnya atau sebagainya”.

Maka tidak bertegur sapa kerana sebab pergaduhan adalah haram. Apabila disebut pergaduhan biasanya ia adalah berpunca daripada perkara dunia. Seseorang itu haram tidak bertegur sapa rakannya yang seislam lebih daripada tiga hari.

Ada dalil pengharaman tersebut. Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya ; “Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. (Muslim no 6697).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. menyebut balasan perbuatan ini :

Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. (Abu Dawud : No 4914).

Riwayat lain ada menyebut : Maksudnya :

“Barangsiapa yang tidak menegur sapa saudaranya selama setahun, maka ia seumpama menumpahkan darahnya”. Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih. (Riyad al-Salihin 2/216)

Ini menunjukkan perbuatan tidak bertegur sapa adalah dosa.

Wallahualam.

Nauzubillah.


No comments:

Post a Comment