Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

24 September 2014

BUAYA - Perhilitan Kenal Pasti 10 Sungai Ada Buaya Di Johor






MUAR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihati orang ramai supaya berhati-hati sewaktu berada di kawasan sungai yang dikenal pasti wujud kehadiran buaya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Pengarah Jabatan Perhilitan Johor, Hasnan Yusop berkata, pihaknya akan turut memasang papan tanda amaran di sungai-sungai di Johor yang dikenal pasti terdapat habitat haiwan itu dalam masa terdekat.
“Sifat sebenar buaya tidak akan menyerang sekiranya tidak rasa terancam, namun sekiranya habitat diganggu dan akan menganggap manusia sebagai mangsa sekiranya berada di dalam sungai.
“Buaya juga akan menjadi lebih agresif pada musim mengawan dan bertelur sekitar Disember hingga Mei,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media dua hari lalu tentang kebimbangan 12 buah kampung sekitar Parit Bugis, Sungai Balang di Muar mengenai penemuan seekor buaya di Sungai Sarang Buaya bulan lalu.
Hasnan berkata, Perhilitan Johor mengenal pasti sebanyak 10 sungai di negeri ini didiami buaya tetapi menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti memancing.
Antaranya Sungai Sarang Buaya dan Sungai Muar 
di Muar,
Kampung Air Papan, Kuala Sungai Jemaluang,

Sungai Tenglu, Sungai Mersing
dan Kuala Sungai

Sekakap
di Mersing, Sungai Danga di Johor Bahru,

Sungai Rengit
di Penggerang dan Sungai Batu Pahat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhati-hati dan mengawasi anak-anak mereka supaya berada dalam jarak yang selamat daripada pemukaan sungai.
Orang ramai juga disaran menjalankan pemerhatian disekeliling kawasan sungai kerana dibimbangi terdapat sarang buaya bertelur.
“Jarak yang selamat berada di kawasan tebing sungai sekitar dua hingga lima meter,” katanya.
Mengulas penemuan buaya di Sungai Sarang Buaya, Hasnan berkata, pihaknya mengambil berat aduan itu dan mengharapkan kerjasama semua untuk menangani perkara itu.
“Buaya merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” jelasnya.
Sumber: http://www.dobot.com.my/

No comments: