Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

15 September 2014

RAWAT HATI - Apabila adat atasi hukum







Oleh Hariyati Ariffin


Ditambah pula dengan harga mas kahwin yang meningkat dan hantaran terlalu tinggi, ia seolah-olah menjadikan perkahwinan hanya impian bagi mereka yang tidak berkemampuan. Bagi yang mampu pula perancangan majlis perkahwinan ada kalanya mencetuskan konflik kerana sikap keluarga, sanak-saudara dan pasangan yang inginkan kesempurnaan dalam majlis berkenaan. Sebagai contoh keterujaan ibu bapa untuk mengadakan majlis perkahwinan secara mewah boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dan tanpa disedari menimbulkan perasaan riak dan sikap menunjuk-nunjuk.
Tidak kurang juga sikap sanak-saudara yang ‘lebih sudu daripada kuah’ yang meracuni fikiran ibu bapa dan pasangan yang ingin berkahwin agar membuat majlis secara besar-besaran supaya tidak memalukan keluarga dan perlu mengikut adat dan tradisi nenek moyang.

Selain itu, pasangan yang ingin berkahwin juga ada kalanya terlalu terikut-ikut dengan trend perkahwinan yang glamor masa kini sehingga membuatkan mereka sanggup berbuat apa saja.

Berdasarkan itu, hakikatnya perkahwinan jika mengikut sunnah Nabi adalah urusan yang mudah. Ia suatu yang suci dan perlu direstui pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Ini bertujuan mengelakkan sesuatu tidak baik berlaku antara lelaki dan wanita serta mengelakkan fitnah yang boleh merosakkan kehidupan. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh At Tarmizi: “Apabila datang padamu seorang yang kamu sukai agamanya dan kejujurannya, maka kahwinkanlah dia sebab andainya kamu tidak melakukannya melainkan akan timbul fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” Namun, apa yang terjadi masa kini ialah, ada masyarakat menyukarkan proses perkahwinan dengan menjadikannya sebagai satu prasyarat menjaga jenama dan maruah keluarga.

Ramai yang beranggapan majlis perkahwinan perlu diadakan mengikut adat dan tradisi keluarga. Ia dilakukan sebagai cara menjaga maruah dan air muka keluarga. Ada juga segelintir masyarakat beranggapan, jika majlis perkahwinan diadakan seringkas mungkin, orang lain akan mengata dan berfikiran serong terhadap keluarga mereka. Justeru disebabkan kekangan itu, ada yang tidak membenarkan anak berkahwin dalam jangka waktu singkat semata-mata untuk mengumpul duit bagi mengadakan majlis perkahwinan mengikut kehendak ibu bapa dan keluarga.

Malah, ada juga ibu bapa yang sanggup bergolok bergadai untuk majlis berkenaan dan paling menyedihkan beban itu terpaksa digalas juga oleh pasangan yang ingin berkahwin yang bukan saja disuruh menyimpan wang tetapi juga terpaksa meminjam wang bagi melaksanakan impian keluarga dan sanak saudara.

Majlis perkahwinan yang bermula dengan merisik, bertunang, sehingga ke majlis pernikahan sudah semestinya menelan belanja besar. Tidak dapat dinafikan dalam keadaan ini, pasangan akan terbeban dengan masalah kewangan di peringkat perancangan lagi. Bukan itu saja, hidup mereka juga menjadi tidak ceria. Oleh itu, dalam hal ini, menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perundangan Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Abdul Rahim Salleh, jika di peringkat perancangan lagi perkahwinan itu sudah menyukarkan, amat bertentangan dengan lunas Islam yang melihat perkahwinan sebagai satu urusan mudah. Dalam Islam, katanya, perkahwinan suatu ibadah dan sunnah Rasulullah. Ia pelaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia.

Mereka yang berkahwin akan dapat mengatur kehidupan baik, sempurna dan penuh tanggungjawab. Matlamat perkahwinan melahirkan zuriat yang baik hasil perkahwinan yang sah mengikut syariat Islam. Mengulas mengenai permasalahan perkahwinan masa kini, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan perkahwinan zaman sekarang banyak yang sudah menyimpang daripada sunnah Rasulullah.

Beliau menegaskan bahawa perkahwinan sebenarnya mudah dan perlulah dilakukan dalam keadaan yang sederhana dan mengikut kemampuan.

Apa yang jelasnya masyarakat sekarang tidak mahu mengikut lunas Islam untuk memudahkan perkahwinan sebaliknya lebih cenderung mengikut pandangan adat dan tradisi keluarga berbanding hukum. Kerana terlalu mengikut adat ada kalanya perkahwinan seolah-olah satu pesta keramaian yang menjurus kepada sesuatu tidak baik dan mengikut nafsu semata-mata.

Abdul Rahim juga berkata, inilah antara punca menyebabkan berlakunya banyak konflik selepas berkahwin. Umpamanya akibat terlalu inginkan kesempurnaan dalam majlis perkahwinan, pasangan pengantin terpaksa menanggung beban hutang yang banyak selepas berkahwin.

“Ini secara tidak langsung merosakkan keharmonian rumah tangga di awal perkahwinan apabila mereka (pasangan pengantin) terpaksa membayar balik hutang selepas berkahwin, selain berhadapan dengan masalah lain seperti menyesuaikan diri dalam alam perkahwinan dan memulakan kehidupan berkeluarga,” katanya. Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya lebih berfikiran rasional dalam hal ini dan bijak mengendalikan majlis perkahwinan agar tidak lari daripada sunnah dan ajaran Islam.

“Jika boleh buatlah ikut kemampuan dan bersederhanalah dalam majlis diadakan, buatlah semuanya kerana Allah dan insya-Allah perkahwinan akan mendapat keberkatan” katanya.

Natijahnya sebuah perkahwinan boleh dipermudahkan, jika berlandaskan Islam. Adat dan tradisi keluarga masih boleh diteruskan tetapi perlu bersederhana dalam apa juga dilakukan.

Mungkin ada ibu bapa yang bimbang jika anak kahwin cepat dan belum cukup mengumpul duit, mereka akan hidup susah. Itu mungkin andaian mereka, tetapi rezeki sebenarnya di tangan Allah.

Akhir sekali, perlu diingat bahawa sifat bersederhana dalam apa juga yang dilakukan dapat memupuk rasa keinsafan dalam diri selain dapat melayari bahtera perkahwinan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah dalam kehidupan. Penulis pensyarah UiTM lulusan Sarjana Komunikasi Massa.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/


No comments: