Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

3 March 2014

MALAYSIA - Sampai bila masalah air akan berlarutan?






March 2, 2014
Source: http://www.themalaymailonline.com






MAC 2 ― Tempoh selama tiga minggu yang lalu merupakan tempoh yang paling sukar dan menyeksakan dalam kehidupan kebanyakan penduduk di Lembah Klang dan Selangor.
Masakan tidak, musim kemarau yang bermula semenjak pertengahan Januari lalu bukan sahaja tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, kini pula penduduk dibebani pula dengan masalah bekalan air.
Masalah cuaca kering yang melampau ditambah pula dengan kualiti udara yang makin merosot menjadikan peduduk setempat semakin rimas, tidak bermaya dan mudah marah.
Keadaan cuaca kering kali ini boleh dianggap yang paling ekstrem dalam sejarah negara. Ini kerana terdapat banyak tempat di seluruh negara yang sudah tidak menerima hujan sejak dua bulan lalu termasuk di tempat tinggal penulis di Balakong.
Justeru, apabila masalah bekalan air pula tercetus selepas bermulanya musim kemarau, persoalan utama yang bermain dalam kebanyakan penduduk ialah mengapakah pihak berwajib seperti Syarikat Bekalan Air Selangor atau Syabas dan kerajaan negeri Selangor tidak mempelajari episod hitam yang melanda negara pada 1997?
Ketika itu, negara dilanda musim kemarau yang teruk dan masalah catuan air terpaksa dilakukan selama enam bulan. Persoalan tersebut juga membawa kepada beberapa khabar angin dalam kalangan rakyat dan laman blog yang mendakwa masalah bekalan air ini berkemungkinan satu konspirasi politik gara-gara sengketa antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Syabas.
Bagaimanapun, kesahihan dakwaan itu masih tidak dapat dipastikan dan bukanlah tujuan utama penulisan artikel pada minggu ini. Apa yang ingin diketahui oleh semua pihak termasuk penulis sendiri ialah bagaimana pihak kerajaan negeri dan Syabas tidak melihat masalah bekalan air ini akan berulang kembali?
Apakah mereka begitu yakin bahawa fenomena El-Nino yang melanda pada 1997 tidak akan berlaku lagi? Mengapakah pelan bertindak jangka panjang tidak diberikan penekanan secara menyeluruh? Salah satu kelemahan paling ketara dalam isu ini ialah reaksi balas yang bersifat ad-hoc dari pihak berwajib.
Tindakan hanya diambil selepas berlakunya sesuatu masalah walhal perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Tidak dinafikan tindakan Syabas menghantar bekalan air ke kawasan-kawasan yang dilanda masalah bekalan air ketika ini sesuatu yang murni dan wajar dipuji.
Namun penghantaran bekalan air itu tidak mengatasi masalah bekalan air dalam jangka panjang sebaliknya hanya memberi kelegaan untuk jangka pendek. Bukankah lebih baik jika punca utama yang menyebabkan masalah bekalan air ditangani hingga ke lubang cacing daripada terus melarat?
Apabila masalah bekalan air tercetus lebih tiga minggu lalu di Balakong, Cheras dan Hulu Langat, apa yang cukup dikesali ialah tindakan Syabas dan kerajaan negeri Selangor menuding jari antara satu sama lain.

IN THE GALLERY


  • Residents carry pails of water at Taman Setia Balokong, outside Kuala Lumpur, February 25, 2014. — Reuters pic

  • Residents scoop water at Taman Setia Balokong, outside Kuala Lumpur, February 25, 2014. — Reuters pic
Di pihak Syabas, mereka mendakwa Mentri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim cuba mengelirukan rakyat dengan pengumuman catuan air yang berlaku di seluruh negeri Selangor. Di pihak kerajaan negeri pula, mereka mendakwa pelan catuan air terpaksa dilaksanakan disebabkan Syabas tidak menyediakan Pelan Pengagihan Air Berkala. Lebih memalukan, perang mulut itu dilakukan menggunakan media.
Sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk mengurus dan membekalkan air, adalah tidak kena dan tidak perlu untuk Syabas bertikam lidah dengan kerajaan negeri mengenai perkara ini. Apa yang sebenarnya ingin didengar oleh rakyat ialah bagaimana masalah air boleh diatasi dan sejauhmanakah masalah ini tidak akan berulang.
Rakyat perlukan jaminan tuntas daripada pihak berwajib mengenai masalah terbabit dan bukannya janji-janji kosong semata-mata. Rakyat juga tidak berminat dengan politiking dan perang mulut yang sedang berlaku antara mereka berdua.
Sebagai pengguna air dan orang yang membayar bil air saban bulan, pastinya kita mengharapkan kualiti perkhidmatan air yang lebih baik daripada Syabas. Kualiti perkhidmatan air yang dimaksudkan itu bukan sahaja merujuk kepada kualiti air yang bersih bahkan juga kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Pastinya juga, kita mengharapkan masalah-masalah seperti paip bocor atau tumpahan ammonia dalam tangki air seperti yang dilaporkan baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku. Jika ia terus berlaku, maka pihak Syabas dan kerajaan negeri kena mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pihak yang terlibat dalam mendalangi masalah berkenaan dikenakan hukuman sewajarnya.
Amat mustahak buat mereka untuk memastikan kemalaratan yang menimpa penduduk tidak sampai ke paras kronik. Jika tidak, semakin ramai rakyat akan hilang keyakinan terhadap kemampuan pihak berwajib untuk membekalkan air sekaligus mencetuskan persepsi yang negatif.
Masalah bekalan air yang berlaku ketika ini, dijangka berterusan untuk suatu tempoh yang tidak dapat ditentukan lagi. Maka kerana itu, adalah mustahak untuk pihak Syabas dan kerajaan negeri tampil dengan satu formula terbaik bagi memastikan rakyat tidak terus menjadi mangsa kepada ketidakcekapan pengurusan air.
Sehubungan itu, persetujuan oleh Putrajaya dan kerajaan negeri Selangor untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pertengahan minggu lalu untuk membenarkan kerajaan Persekutuan membina Langat 2 adalah satu titik permulaan yang positif.
Sekurang-kurangnya dengan termeterainya MoU itu, rakyat kini boleh mengharapkan bahawa masalah bekalan air yang sering menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, dapat dikurangkan. Tindakan catuan air hanyalah langkah pencegahan sementara sahaja.
Penulis bersama-sama dengan ribuan penduduk di kawasan yang menghadapi bekalan air yang kronik seperti di Balakong, Cheras dan Hulu Langat amat berharap agar pihak Syabas dan kerajaan negeri mendengar keluhan kami semua.
Gunakan segala kepakaran yang ada pada anda untuk mengatasi masalah air dengan segera. Ketepikan juga sentimen politik atau politik kepartian dalam isu air ini kerana mereka yang menderita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
Bertindaklah dari sekarang!
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/opinion/bartholomew-chan/article/sampai-bila-masalah-air-akan-berlarutan#sthash.bC0pyE1h.dpuf

No comments: