Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

17 July 2014

DALAM NEGARA - Khalid Samad tawar ‘permohonan maaf bersyarat’ kepada Sultan Selangor






The Malaysian Insider


Pemimpin PAS Khalid Samad berkata beliau membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor "jika" melakukan tindakan yang membuatkan pemerintah negeri itu merasakan baginda dicabar.
"Saya membuat permohonan maaf jika ada tindakan saya yang mengakibatkan Sultan percaya itu niat saya (untuk mencabar kuasa baginda)," kata Khalid pada sidang media di ibu pejabatnya di Shah Alam hari ini.
Apabila ditanya jika niatnya adalah menawarkan permohonan maaf bersyarat, Khalid berkata, ini kerana beliau tidak mengetahui kesalahannya.
"Sebab saya tidak tahu di mana saya cabar kuasa baginda," kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
"Jadi ia menjadi seperti permohonan maaf bersyarat. Jika saya dapat bertemu baginda menjelaskan apa yang saya lakukan, dan terbukti, saya akan minta maaf lah."
Khalid bagaimanapun menegaskan pendiriannya kerajaan negeri Selangor perlu menyemak kembali kuasa eksekutif yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Beliau menjelaskan niatnya bukan untuk mencabar Sultan namun melindungi institusi beraja daripada kritikan sekiranya Mais melakukan kesilapan semasa menjalankan tugas.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Khalid dalam ucapannya pada Selasa kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kuasa eksekutif pihak berkuasa agama itu ditarik balik.
Baginda pada titah ucapan semasa merasmikan Masjid Pekan Sepang, di Selangor baru-baru ini berkata, meskipun bukan anak jati Selangor, Khalid yang diberi peluang menjadi wakil rakyat di negeri itu seharusnya mengambil peluang mendalami sejarah negeri Selangor dan undang-undang yang terpakai terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
"Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais," kata baginda dalam ucapannya.
"Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu."
Baginda berkata, kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor.
"Tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa beta sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang.
Khalid hari ni berkata, cadangan yang dikeluarkannya itu tidak menjejaskan sultan mahupun Mais sebagai badan penguatkuasa agama Islam di Selangor.
Beliau berkata, Mais pula sebaliknya akan kekal sebagai pembuat dasar berhubung isu melibatkan Islam di Selangor.
"Perubahan yang dicadangkan hanyalah pengecualian polisi diberikan kepada kerajaan negeri di bawah jawatankuasa eksekutif agama.
‎Khalid berkata, meskipun polisi Mais cukup baik, pelaksanaannya masih ada kekurangan disebabkan pegawainya yang tidak berpengalaman.
"Isu Bible, serbuan ke kuil Hindu, tuduhan khalwat beberapa individu yang hanya nak pindah rumah...
‎‎"Banyak rungutan diperingkat akar umbi, dan tidak hanya terhad kepada Jais dan Mais, tetapi juga Sultan," katanya.
Khalid berkata, beliau juga menulis surat kepada Sultan meminta orang ramai mengesahkan beliau disyaki disalahfahami.
'Saya yakim kemarahan tuanku kepada saya disebabkan salah faham," katanya.
‎Polis juga katanya merekodkan kenyataan beliau beberapa minggu lalu bagi membantu siasatan hasutan terhadapnya. – 17 Julai, 2014.
Sumber: https://my.news.yahoo.com

No comments: