Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

4 July 2014

MALAYSIA - Mangsa serangan seksual diplomat Malaysia marah cara New Zealand kendali kes






The Malaysian Insider





Mangsa serangan seksual diplomat Malaysia, Muhammed Rizalman Ismail (gambar), memarahi pihak berkuasa New Zealand kerana melupakan kesukarannya dan pesalah berkenaan harus dihukum.
Wanita berusia 21 tahun itu dilaporkan The New Zealand Herald berkata kepada Ahli Parlimen Jan Logie, beliau berang berkenaan fokus kes berkenaan, dan merujuknya hanya sebagai mangsa.
"Isu yang dilihatnya sekarang adalah sistem tidak mendengar kata-katanya, dan menafikan keadilan bagi pihaknya," kata Logie.
Wanita itu turut dilaporkan berkata khuatir bukti diserahkan kepada Malaysia jika tertuduh, Rizalman tidak diekstradisi ke New Zealand.
Rizalman yang bekerja sebagai pembantu kakitangan (pertahanan) di Kedutaan Malaysia di Wellington meninggalkan negara itu menggunakan imuniti diplomatik selepas dituduh melakukan serangan tersebut pada 9 Mei lalu.
Pegawai tertinggi Kementerian Luar New Zealand, John Allen menawarkan peletakan jawatan berikutan kesilapan pengurusan kes serangan seksual melibatkan diplomat Malaysia di Wellington, New Zealand.
Menteri Luar, Murray McCully bagaimanapun menolak tindakannya, sebaliknya berkata beliau marah dengan insiden itu yang turut memalukan Perdana Menteri John Key.
McCully, kata Herald, beliau mempunyai keyakinan dengan ketua pegawai eksekutifnya itu dan memohon maaf kepada perdana menteri termasuk mangsa berusia 21 tahun itu.
Semalam dilaporkan Allen tidak mengetahui dakwaan terhadap Rizalman, yang merupakan Pegawai Waran 2 dalan pasukan pertahanan, sehingga Jumaat, tujuh minggu selepas suspek ditahan polis New Zealand.
Laporan mengatakan pegawai Malaysia diberikan maklumat pelbagai oleh kementerian yang mana New Zealand bersetuju untuk beliau kembali ke Malaysia.
Kementerian itu bagaimanapun menjelaskan, pegawai Malaysia, ketika pertemuan rasmi pegawai dari dua negara berkehendakkan imuniti diplomat Rizalman ditarik balik bagi membolehkan dia didakwa.
Kekeliruan kemudiannya menjadikan Malaysia merumuskan New Zealand bersetuju diplomat itu kembali ke Malaysia berbanding didakwa di New Zealand.
Putrajaya, bagaimanapun memutuskan untuk mengekstradisi Rizalman.
Keputusan Putrajaya itu disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kepada rakan sejawatnya, McCully.
Dalam satu kenyataan hari ini, McCully berkata beliau mengalu-alukan jaminan Rizalman mendapat perbicaraan yang adil atas dakwaan jenayah.
"Tiada niat oleh mana-mana kerajaan untuk melepaskan kes ini, sama ada berlaku di Malaysia atau New Zealand, kita mahu melihat komitmen terhadap keadilan," katanya.
Rizalman ditahan pada 9 Mei atas cubaan samun dan serangan seksual.
Beliau mengikuti wanita itu ke kediamannya di Brooklyn ketika dakwaan itu berlaku.
Rizalman ditahan pihak berkuasa New Zealand, namun pulang ke Malaysia dengan menggunakan imuniti diplomatiknya. – 3 Julai, 2014.

No comments: