Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

2 March 2014

MANUSIA DAN KEHIDUPAN - Pembubaran Perkahwinan Menurut Islam






TALAQ, FASAKH, KHULUQ, TA'LIQ, LI'AN, ILA' & ZIHAR

Terdapat beberapa cara untuk membubarkan perkahwinan :
1.     Talaq
2.     Fasakh
3.     Khuluq [Tebus Talaq]
4.     Takliq
5.     Lian
6.     Ila’
7.     Zihar

Meskipun pembubaran perkahwinan dibenarkan, termasuk peruntukan khulu’, fasakh dan ta’liq yang diberikan kepada wanita namun usaha-usaha hendaklah dibuat untuk menyelamatkan sesuatu perkahwinan itu sebagaimana yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “... dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (hakam) iaitu Seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua-duanya itu berpakat baik.” (an-Nisa’: 35)

Sesungguhnya di antara lelaki dan wanita itu
terdapat perbezaan dalam membuat sesuatu keputusan di mana kebiasaannya wanita itu lebih mudah tunduk pada perasaan, apalagi jika sedang berada di saat-saat genting di mana persoalan perceraian sebenarnya memerlukan kepada pemikiran yang rasional.

Sabda rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta cerai dari suaminya tanpa alasan maka haram kepadanya bau syurga.” (Ahmad dan at-Tirmizi)

Manakala pihak lelaki pula tidak boleh terburu-buru menggunakan kuasa yang ada (untuk menceraikan) dan mesti berfikiran tenang terutama dalam mempertimbangkan kewajiban dan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Firman Allah SWT yang maksudnya: ‘...dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (an-Nisaa’: 19).


TALAQ 

Pengertian Talaq
Talaq dari segi bahasa berertimelepaskan ikatan. Dari segi syara‘ ialahmelepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

Talaq : Perceraian yang dilakukan oleh suami dengan lafaz talak satu, dua atau tiga sama ada secara nyata atau kiasan.

Maka sesudah berlaku talak tiga, rujuk atau kahwin semula tidak boleh dilakukan lagi antara suami isteri tersebut. Perkahwinan semula antara keduanya hanya dibenarkan jika isteri yang diceraikan itu telah berkahwin dengan lelaki lain dan telah melakukan persetubuhan dengan suaminya yang kedua dan selepas suami yang kedua itu dengan kerelaan sendiri menceraikan isterinya itu.

Ini merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu jika ia diceraikan (oleh Suami yang baru dan habis ‘iddahnya) maka mereka berdua (bekas suami dan bekas isteri) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula) jika mereka benar-benar yakin dapat menegakkan aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (al-Baqarah: 230).

Dalil Harus Talaq
Firman Allah subhanahu wata‘ala, Maksudnya: “Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud: 
“Rasulullah SAW telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.” (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Rukun dan Syarat Talaq
1.    Suami. Syarat-syarat suami ialah:
1.1    Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui
          perkahwinan yang sah, tidak jatuh talaq jika belum berkahwin
          atau setelah bercerai dan habis ‘iddah.
1.2    Hendaklah dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika
          sekiranya gila,  pengsan, mengigau dan pitam kecuali mabuk
          yang disebabkan meminum minuman keras dengan sengaja.
1.3    Baligh.
1.4    Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika
          diugut menceraikan isteri.


2.    Isteri. Syarat-syarat isteri:
2.1    Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah
          semasa diceraikan.
2.2    Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang
          di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.


3.    Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:
3.1    Lafaz sarih (terang), iaitu yang diucapkan dengan terang dan
          jelas. Lafaz sarih ini terbahagikepada tiga ucapan seperti
          berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”,  “Aku lepaskan kau”
          dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini
          akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.
3.2    Lafaz kinayah (lafaz kiasan), iaitu cerai yang dilafazkan
          menggunakan bahasa sindiran sepertiberkata: “Engkau
          haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak
          kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat
          menceraikan isterinya.

4.    Qasad (niat).


Hukum Talaq

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya
diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:
1.    Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan
       hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.
2.    Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau
       ketika suci tetapi baru disetubuhi.
3.    Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.
4.    Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab
        yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun,
isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khuluq(tebus talaq).


Pembahagian Talaq

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1.    Talaq Raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad
        nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci
        daripada haidh).
2.    Talaq Ba’in, ia terbahagi kepada dua:
 
        2.2   Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami
                 kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada
                 melalui fasakh, khulu‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

        2.2   Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan
                 cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

                
  Setelah selesai ‘iddah si isteri.
                
  Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.
                
  Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku
                      perceraian.
                
  Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.


FASAKH

Pengertian Fasakh

Fasakh ialah membatalkan atau pembubaran akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.


Sebab Fasakh
Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh yang menghalang perkahwinan tersebut diteruskan seperti

1.   Sebab yang merosakkan akad.
       1.1    Perkahwinan antara muhrim, sama ada sebab keturunan, susuan
                 atau persemendaan.
        1.2    Isteri orang, atau isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami
                  pertamanya. 
        1.3    Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan
                  apabila baligh minta difasakhkan akad itu. 
        1.4    Wali fasiq atau 
        1.5    Saksi fasiq (akad tidak sah sejak diadakan), 
        1.6    Murtad salah seorang daripada keduanya (akad terbatal)

2.   Sebab yang mendatang selepas pernikahan.
        2.1    Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad 
        2.2    Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah
                  seorang memeluk Islam. 
        2.3    Akad Nikah sah tetapi difasakhkan oleh qadhi atas tuntutan
                  isteri sama ada kerana suami berpenyakit (dalam kes ini
                  perkahwinan tidak boleh dibubarkan selagi tidak dibicarakan
                  dan diputuskan oleh qadhi atau hakim Mahkamah Syariah), 
        2.4    Tidak kufu’, 
        2.5    Suami tidak mampu membayar mahar (pemberian wajib
                  daripada suami kepada isteri) atau 
        2.6    Suami tak mampu beri nafkah (mengeluarkan belanja kepada
                  mereka yang berada di dalam tanggungan) atau 
       2.7.    Berlaku kesukaran di pihak isteri kerana suami hilang, suami
                  dipenjara, suami menyakiti isteri secara keterlaluan (penderaan
                  fizikal dan mental) atau sebagainya. 
        2.8    Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan
                  sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua 

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam [Negeri Melaka 2002, Seksyen 53] menambah lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1.      Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama
          tempoh lebih dari setahun.
2.      Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi
          nafkahnya selama tempoh tiga bulan.
3.      Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
4.      Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah
          batin selama tempoh satu tahun.
5.      Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi
          sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa
          suami mati pucuk.
6.      Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap
          penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh
          berjangkit.
7.      Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia
          mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu
          sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum   
          disetubuhi oleh suaminya itu.
8.      Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan
          kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.
9.      Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama
          ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidak sempurnaan akal atau
          lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.
10.    Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

          10.1 Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita
                     
disebabkan  kelakuan aniaya.
          10.2 Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang
                        berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum
                       syara‘.
          10.3    Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.
          10.4  Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau
                       suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-
                      undang terhadap harta itu.
          10.5 Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau
                      menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.
          10.6  Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak
                       melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak
                      hukum syara‘.                    

Hikmah Fasakh
1.    Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya
       mereka teraniaya.
2.    Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki
        secara mutlak oleh suami sahaja.
3.    Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang
        Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.

KHULUQ (Tebus Talaq)

Pengertian Khuluq
Khuluq dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan. Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.

Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

Khuluq : Ia juga dikenali sebagai ‘Tebus Talaq’ yang bermaksud pembubaran perkahwinan yang diperolehi oleh seorang isteri dengan membayar kepada suaminya dengan sesuatu benda yang berharga di mana kadar benda tersebut adalah berdasarkan persetujuan antara suami dan isteri berkenaan atau berdasarkan kepada keputusan qadhi. Ini dikira sebagai ganti rugi-kepada suami berkenaan.

Hal ini adalah berdasarkan pengertian yang diambil dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata “wahai Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam.” Maka sabda Rasulullah SAW “Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin?” Jawabnya: “Ya saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima perintah baginda dan diceraikan isterinya. (Bukhari dan an-Nasa’i)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami dan isteri) takut tidak dapat menegakkan peraturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami tentang bayaran itu). Itulah peraturanperaturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 229)

Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh dijadikan bayaran khulu’. Iaitu setiap barang yang bernilai atau mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu’ tersebut.

Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu’ dari isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.

Di antara kesan khuluq ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya dalam waktu ‘iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Iddah bagi isteri yang dikhuluq adalah sekali haidh dan pembubaran menerusi khulu’ ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci atau waktu isteri sedang haidh.

Maka berdasarkan khuluq ini inisiatif untuk perceraian datang dari pihak isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khuluq daripadanya kerana dalam kes begini ahli feqah berpendapat khuluq adalah batal dan bayaran tebus talaq dipulangkan kepada si isteri semula.

Dalil Pensyari’atan Khuluq
Firman Allah subhanahu wata‘ala, maksudnya: “Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Syarat Sah Khuluq
1.    Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khulu‘ bukan
        dipaksa.
2.    Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.
3.    Lafaz khuluq: Hendaklah disebut dengan terang.
4.    Bayaran khuluq: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.

Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khuluq, tetapi Rasulullah SAW menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)


TA’LIQ

Pengertian Ta’liq
Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 

“Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]

Syarat Ta’liq
1.    Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan
       melafazkan kata-kata ta‘liq.
2.    Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku
        atas perkara yang mungkin berlaku.
3.    Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

Peruntukan Undang-Undang Mengenai Ta’liq
Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

1.    Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2.    Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3.    Menyakiti tubuh badan isteri.
4.    Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut-
        turut.

LI’AN

Pengertian Li’an

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitusuami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.

Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Li’an : Ianya berlaku apabila seseorang suami bersumpah menuduh isterinya melakukan zina dan isterinya juga bersumpah menafikan tuduhan suaminya itu.

Firman Allah subhanahu wata‘ala:Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, 24:6-9)

Kesan Li’an
Berdasarkan Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menegaskan bahawa: “Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”

Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.(Riwayat Daruqutni)


ILA’

dIaitu apabila seseorang suami bersumpah dengan nama Allah SWT atau dengan menyebut sifat Allah SWT untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama empat bulan atau lebih atau dengan tidak menyebut tempoh masa. Tujuannya untuk bagi isteri merana dan susah. Perbuatan ini haram kerana menyeksa jiwa manusia.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka, diberikan tempoh untuk empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talaq (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 226-227)

Saidina Ali radiyaLlahu 'anhu berkata : Apabila seorang lelaki melakukan ila' terhadap isterinya, talaknya tidak jatuh walaupun telah berlalunya empat bulan selagi si suami belum memutuskan samada menceraikan isterinya atau dia menarik balik sumpahnya (iaitu dengan rujuk kepada isterinya dan menyelesaikan kafarahnya) (Riwayat Malik rahimahuLlah dalam al Muwatta' alam kitab talak, bab ila' nombor 2/556. Hadis yang seumpama ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu.

Hukum Ila'
Jika suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya secara mutlak atau selama lebih daripada empat bulan, beliau telah melakukan ila' terhadap isterinya. Terdapat beberapa hukum syarak berkaitan dengan ila' tersebut :

Hakim hendaklah memberi peluang selama 4 bulan kepada suami bermula dari hari ia bersumpah. Ini akan memberi peluang kepada suami untuk menarik balik sumpahnya dan membayar kafarah sumpah atau menceraikan isterinya

Jika dia tidak mahu rujuk dan tidak mahu membayar kafarah sumpah, hingga tempoh 4 bulan tadi tamat, dan suami tetap dengan sumpahnya, maka ketika itu, hakim berhak mengambil salah satu tindakan berikut :

1.    Memaksa suami menarik balik sumpahnya dan kembali menyetubuhi
        isterinya serta membayar kafarah sumpah, jika dia bersumpah
        dengan nama Allah atau bersumpah dengan salah satu sifat Allah. Jika
        dia bersumpah untuk melakukan sesuatu atau bersedekah dengan
        sesuatu, dia hendaklah melakukannya.
2.    Memaksa suami menceraikan isterinya jika dia enggan menarik balik
       sumpahnya dan tetap berpegang dengan sumpahnya.

Sekiranya suami enggan melakukan salah satu daripada perkara di atas, maka hakim berhak menjatuhkan talaq satu bagi pihaknya. Itu adalah hak hakim untuk mengelakkan kemudaratan berlaku kepada orang lain dan tidak ada cara lain melainkan dengan hakim menjatuhkan menjatuhkan talak bagi pihaknya. Ketika itu hakim menggantikan tempat suami dalam menjatuhkan talak. Masalah ini sama dengan masalah membayar hutang dan menjelaskan hak-hak yang berbentuk harta.

Tindakan tersebut dilakukan jika suami tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada melakukan persetubuhan. Jika suami mempunyai keuzuran seperti sakit atau sebagainya, dia hendaklah diminta menarik balik sumpahnya dengan lidahnya sendiri seperti ia berkata : "Jika aku mampu bersetubuh aku akan menarik balik pendirianku dan sumpahku"

Kifarah Sumpah
1.    Merdekakan seorang hamba yang mukmin, atau
2.    Memberi makan kepada 10 orang fakirmiskin sehingga kenyang, atau
3.    Memberi pakaian kepada 10 orang fakirmiskin, jika tidak mampu
4.    Berpuasa tiga hari.
Sila rujuk ayat 89 surah al maaidah yang bermaksud :...maka kafaratnya ialah Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, Atau memberi pakaian untuk mereka, Atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah kafarat penebus sumpah kamu...

Setiap orang miskin (yang 10 orang tu) mesti diberikan secupak beras (3/4 cupak Malaysia). Mesti diserahkan kepada setiap orang fakir atau miskin. Tidak boleh bawa mereka belanja makan di kedai, juga tidak boleh ditukarkan kepada wang.


ZIHAR

Iaitu apabila seseorang suami itu
menyamakan belakang isterinya dengan belakang ibunya (atau orang yang diharamkan berkahwin dengannya). 

Maksudnya menyamakan isteri dengan emaknya sendiri tentang haram disetubuhi (macam sudah cerai). 

Maka jika selepas dia berkata demikian tiba-tiba dia diam tidak diringi dengan talaq atau cerai dalam masa kira-kira sempat berbuat demikian, nescaya dinamakan Zihar.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Orang-orang yang ziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah) Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (al-Mujadalah: 2)


Rukun Zihar
1.     Suami
2.     Isteri
3.     Perkara yang diserupakan
4.     Lafaz zihar

Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami. Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-
1.      Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram.
           Contoh punggung, perut, kemaluan, tangan, kepala, kaki, rambut,
              dan  lain-lain . 
           Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan Maliki
              mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun
              tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa
             adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan
             jumhur.
2.      Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan 
berkahwin dengan si lelaki samaada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan.

Inilah pandangan mazhab utama, juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi Rabah, As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu Thaur.

Pandangan Imam Syafie dalam 'Qawl Qadim': Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi 'Qawl Jadid' Imam Syafie meminda ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45)

Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439; Ashal al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71)

Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang.

Ulama Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu. Manakala jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439)

Syarat yang diperselisihkan :- 

Mestilah diserupakan dengan anggota wanita.
1.    Kiranya ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung
        kamu seperti belakang atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan
        Syafie mengatakan
tidak jatuh zihar.
2.    Bagaimanapun Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan jatuh zihar
       dengan syarat menyamakan dengan anggota yang tidak halal dilihat
        seperti perut, peha, kemaluan, punggung dan lain-lain yang seerti.
3.    Kiranya menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung dan lain-
        lain, 
tidaklah dianggap zihar (Lihat ashal al-Madarik 2/170; Juga
        al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab mempunyai
        dalil masing-masing.

Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)


4.   Sighah (Lafaz Zihar), Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-

      a.   Perlu kepada niat, jika ianya dibuat secara Kinayah (tidak jelas).
·                     Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti: Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.
·                     Sighah Kinayah (tidak jelas) pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermaksud zihar tapi mungkin juga tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami.
Lafaz ini telah ijma di kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mutie, 19/44)


      b.   Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang
memberi pengertian semasa.

·                     Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertian semasa seperti : Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda
·                     Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka Perut Dinda seperti perut bondaku
·                     Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti :  Awal tahun depan Punggung Dinda mesti macam seperti bonda kanda atau Kanda yakin perut Dinda memboyot seperti perut bonda Kanda dalam masa sebulan.     

Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )  

      c.   Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita
            samada secara juzu atau sepenuhnya.(Bahagian yang diharamkan
            lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). (Lihat BadaI as-Sanai , 5/2129)

Hukum Setelah Jatuh Zihar
Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit

1.    Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar
        Kifarah. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya KIFARAH
        ZIHAR adalah

        1.1    Membebaskan seorang hamba yang mukmin, jika tak mampu..
        1.2    Puasa 2 bulan berturut-turut, jika tak mampu..
        1.3    Memberikan makanan yang mengenyangkan kepada 60 orang
                  fakir atau miskin, setiap orang 1 cupak makanan,..
        1.4    Jika tak mampu juga makan tetaplah kifarah itu tertanggung
                  keatas dirinya, bila ada kemampuan wajiblah dia sempurnakan
                  seberapa yang terupaya.
                   Dalilnya adalah daripada Firman Allah SWT surahal-Mujadalah
                   ayat 58.

2.    Tidak dibenarkan  istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok), sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37)

Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir dan tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.

Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih)

1.    Hanya jatuh (sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu,
        1.1    Nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami
                  berkahwin  dengannya secara kekal sama ada secara Keturunan,
                  Susuan mahupun Musoharah.
        1.2    Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit
                  zihar iaitu Seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat
                 semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah
                 sabit zihar. 
        1.3    Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan
                  mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit,
                  begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya.
        1.4    Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar
                  kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail.
                  Dibimbangi akan terlanjur. 

Justeru, menyamakan rupa, hidung isteri dengan rupa dan hidung anak tidaklah jatuh Zihar.

Bagaimana Menyamakan Punggung Isteri dengan Punggung Anak Perempuannya, sabit jatuh Zihar.

Walaupun si suami tidak berniat.

Masalah Kejahilan tentang hukum ini,mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang,



KESIMPULANNYA 
Menjadi kewajiban suami isteri sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

Wallahu alam.


Sumber: http://suraumadrasatulfalahiyah.blogspot.com




No comments: