Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

30 August 2014

DALAM NEGARA - MAS akan buang 6,000 pekerja, pindah ibu pejabat ke KLIA






The Malaysian Insider 

Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) akan mengurangkan 6,000 (30%) daripada 20,000 pekerja kepada 14,000 dan akan memindahkan ibu pejabat dan operasi utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di bawah pelan pemulihan syarikat itu, kata Khazanah Nasional Berhad.
Khazanah sebagai pemegang saham terbesarnya hari ini mengumumkan pengurangan pekerja besar-besaran dilakukan selepas MAS kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta sehari bagi separuh pertama tahun kewangan semasa.
Kerugian semakin bertambah selepas syarikat itu berdepan dua tragedi besar, kehilangan Penerbangan MH370 pada Mac lalu dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.
Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar menggariskan 12 perkara bagi membolehkan MAS mencatatkan semula keuntungan dan memulihkan syarikat penerbangan negara itu.
Antara 12 perkara yang disenaraikan dalam pelan penstrukturan semula MAS juga melibatkan rombakan menyeluruh MAS, yang akan membolehkan syarikat penerbangan itu mencapai keuntungan mampan dalam tempoh 3 tahun daripada penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia, menjelang akhir 2017.
Azman berkata, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya akan terus berkhidmat setahun lagi sehingga Julai, 2015.
"Pelan ini, dilaksanakan lebih enam bulan, sebagai kewajipan Khazanah, yang kini menguasai 69.3% MAS, memiliki 100% syarikat penerbangan itu berikutan langkah membeli baki ekuiti daripada pemegang saham minoriti pada 27 sen sesaham yang dianggap sebagai munasabah dalam pasaran," katanya kepada pemberita pada satu taklimat di Kuala Lumpur hari ini.
Kabinet dan lembaga pengarah MAS sudah memberi kelulusan bagi rancangan itu yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah entiti yang lebih kukuh dan lebih cekap.
Selepas mengalami kerugian enam suku tahun berturut-turut sejak 2012, MAS tersentak pada 8 Mac apabila pesawat Boeing 777 MH370 hilang semasa dalam perjalanan ke Beijing tanpa sebarang tanda sehingga kini dan dikejutkan lagi apabila sebuah lagi pesawat B-777, MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.
MAS mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion daripada kedua-dua tragedi itu.
Semalam, MAS, yang digantung dagangan hari ini berikutan pengumuman pelan itu, melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2014, daripada kerugian sebanyak RM165.89 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Saham itu terakhir diniagakan pada 25 sen semalam.
Azman berkata, kira-kira 6,000 kakitangan akan diberhentikan kerja mengikut pelan yang termasuk skim pemberhentian sukarela (VSS) dan juga menawarkan pekerjaan kepada 3,500 pekerja MAS dalam syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah Nasional.
Aspek penting pelan itu ialah bagi kerajaan menggubal Akta MAS yang akan bertindak sebagai jaminan untuk memudahkan pelaksanaan pelan itu. – 29 Ogos, 2014.

Sumber: https://my.news.yahoo.com

No comments: