KUALA LUMPUR, 19 Mac
Duta Korea Selatan di Malaysia Cho Byungjae berkata kerajaan Malaysia menangani insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan penuh bertanggungjawab sambil menolak kritikan media antarabangsa terhadap usaha Malaysia berhubung insiden itu. Beliau berkata ia bukan satu tugas mudah untuk menyelaras, menyokong dan mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 26 negara.
Bercakap kepada Bernama di kedutaan di sini hari ini, Cho menyifatkan misi SAR yang sedang berjalan sekarang merupakan satu tugas besar dan setakat ini beliau berpendapat Malaysia menerajui usaha antarabangsa itu dengan jayanya.
“Dari segi geografi, pencarian itu meliputi wilayah dan lautan yang luas di sekurang-kurangnya 12 negara. Malah di Malaysia terdapat aset dan kakitangan lebih daripada 20 negara,” katanya merujuk kepada operasi SAR besar-besaran pelbagai negara. Sepanjang pengetahuannya, Cho berkata pasukan SAR Korea Selatan dapat berkomunikasi dengan pihak berkuasa Malaysia.
“Kami tidak mempunyai sebarang masalah. Kami berjaya berkomunikasi dengan pihak berkuasa tentera dan pihak berkuasa hal ehwal luar Malaysia dan kami tahu apa sebenarnya yang Malaysia mahu. Sepanjang pengetahuan Korea Selatan, tiada masalah,” katanya.
Ketika ditanya jika kerajaan Korea Selatan akan menggantung operasi SAR, duta besar itu berkata tidak ada pertimbangan seperti itu pada masa ini bagi Korea Selatan menarik asetnya daripada misi SAR namun tiada juga  rancangan untuk menambah aset bagi misi SAR. Ketika ini aset Korea Selatan yang terbabit dalam operasi itu ialah P-3C dan C-130 dengan 39 kakitangan.
Cho berkata aset Korea Selatan dijangka menghala ke Lautan Hindi hari ini untuk menyertai usaha mencari di koridor Selatan selepas mereka pergi ke kawasan berdekatan kepulauan Andaman semalam. Katanya sejak kehilangan penerbangan MH370, berita mengenainya menarik perhatian masyarakat dunia dan ia diterbitkan secara meluas dalam akhbar Korea Selatan walaupun tiada penumpang warga Korea Selatan dalam pesawat itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa Korea Selatan bersama-sama dengan Malaysia. Kami menyokong mereka dan kami percaya kerajaan Malaysia sedang melakukannya dengan penuh bertanggungjawab.
“Bagi masyarakat antarabangsa, saya ingin menekankan bahawa kita perlu terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam masa krisis,” katanya.
Sumber: http://bm.therakyatpost.com