Oleh Ravale Savarinathan
Teluk Intan: Kewujudan buaya tembaga di Sungai Perak yang sebelum ini dianggap pupus, mengejutkan penduduk apabila seekor anak buaya tembaga ditangkap secara tidak sengaja oleh seorang nelayan berhampiran Kampung Melayu, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, nelayan terbabit, Ahmad Azizi Shuib, 47, terkejut apabila mendapati anak buaya itu tersangkut pada jaring belat yang dipasang di sepanjang tebing Sungai Perak.
Ahmad yang ditemui berkata, anak buaya seberat hampir 400 gram itu ditemui terperangkap bersama ikan dan udang di dalam jaring belat yang dipasangnya pada hari sebelumnya.
“Penemuan anak buaya tembaga itu disedari ketika saya bersama tiga rakan lain sedang mengutip ikan dan udang dari dalam jaring.
Saya ketika itu terkejut apabila jari tangan kanan saya digigit ‘ikan’ di dalam jaring hingga berdarah.
“Saya bagaimanapun terkejut apabila mendapati haiwan yang disangkakan ikan itu adalah seekor anak buaya tembaga,” katanya.
Menurutnya, dia dan beberapa rakannya terkejut dengan penemuan anak buaya itu yang dipercayai baru berusia dua bulan.
Menurutnya, dia dan beberapa rakannya terkejut dengan penemuan anak buaya itu yang dipercayai baru berusia dua bulan.
“Saya kemudian membawa pulang anak buaya tembaga itu ke rumah untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
AHMAD menunjukkan anak buaya tembaga yang tersangkut pada jaring belat dipasangnya.
“Kami segera beredar dari tebing Sungai Perak kerana bimbang diserang ibu buaya berkenaan akibat menangkap anaknya.
“Saya yakin Sungai Perak menjadi habitat buaya tembaga berikutan beberapa nelayan mendakwa pernah terserempak buaya dewasa di tebing sungai,” katanya.
Namun, menurutnya, buaya tembaga di Sungai Perak belum pernah menyerang manusia walaupun ramai nelayan yang melakukan aktiviti menjaring dan memancing udang galah di situ.
Seorang penduduk, Ismail Kamaruddin, 45, berkata, dia tidak akan turun ke sungai untuk memancing ikan selepas ini.
Menurutnya, berita penemuan anak buaya ini amat memeranjatkan kerana sebelum ini dia tidak pernah tahu sungai Perak didiami buaya tembaga yang mampu mengancam nyawa manusia.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25Sumber: http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment