Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

18 September 2014

INFO KESIHATAN - Masalah Sakit Tumit Kaki





ARKIB : 10/06/2014

PENAMPILAN seseorang individu itu pastinya lebih kelihatan anggun jika kasut yang dikenakan sesuai dengan gaya dan warna pakaian. Tambahan pula hari ini terdapat pelbagai jenis serta rekaan bentuk kasut yang menarik untuk digayakan setiap hari terutama bagi mereka yang bekerjaya.

Tetapi tahukah anda bahawa kasut yang tidak sesuai dengan bentuk kaki dan berat badan seseorang boleh menjejaskan kesihatan?

Ya, selain mengalami sakit lutut, sakit tapak kaki, dan sakit ibu jari kaki, seseorang itu juga boleh mengalami sakit tumit.

Sakit tumit juga seringkali terjadi ke atas golongan wanita kerana mereka gemar memakai kasut bertumit tinggi dalam jangkamasa yang lama.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Pemulihan, Pusat Perubatan Pemulihan KPJ Tawakkal, Dr. Saini Jeffery Freddy Abdullah, kasut yang tidak sesuai merupakan salah satu penyebab terjadinya sakit tumit dan terdapat banyak sebab yang boleh mengakibatkan kesakitan pada tumit dan antara lainnya ialah berdiri terlalu lama ataupun berjalan terlalu lama.

Tambah beliau, sakit tumit merupakan masalah kaki yang kerap berlaku kerana ia terdiri daripada masalah tapak kaki rata, tapak kaki terlalu melengkung, atau aktiviti fizikal seperti berlari yang boleh mencetuskan radang dan kesakitan pada sascia.

“Lazimnya apabila kita berbicara mengenai sakit tumit ia sebenarnya lebih dikenali sebagai plantar fasciitis di mana ia merupakan bengkak atau radang terhadap tisu yang menyokong lengkungan kaki yang dikenali sebagai sascia.

"Radang ini disebabkan oleh tiada lengkungan pada kaki serta kaki mendatar yang memberi lebih tekanan serta berulang-ulang pada plantar sascia.

“Selain itu terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kita mengalami sakit tumit seperti bentuk kaki yang leper dan rendah lengkungan bahagian dalam kaki, bentuk kaki yang mempunyai lengkungan dalam yang tinggi, dan pemilihan kasut yang tidak betul seperti tiada penyokong lengkungan tapak kaki atau bertumit tinggi," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ulas Dr. Saini lagi, sakit yang berpunca daripada plantar fasciitis biasanya berlaku pada langkah pertama berjalan atau selepas tempoh yang lama tidak berpijak dan keadaan ini sering terjadi pada waktu pagi sebaik sahaja anda bangun daripada tidur.

Dr. Saini turut menggambarkan sakit tumit yang dimaksudkan ialah sakit yang tajam, menyucuk, dan kadang kala akan berdenyut dan kesakitan tersebut akan terjadi betul-betul di bahagian tumit (sebelah dalam).

Dr. Saini turut menjelaskan, selain individu-individu yang banyak melakukan aktiviti, sakit tumit juga tidak terkecuali kepada ahli-ahli sukan di mana akan berlaku hentakan pada tumit akibat terlalu banyak berlari.

Dan sebab-sebab lain terjadinya sakit tumit ialah hentakan pada tumit akibat lompatan yang boleh menyebabkan tulang-tulang menjadi lebam dan sekiranya ia menjadi serius ia boleh berlakunya regangan.

“Sakit tumit juga boleh disebabkan oleh kekejangan otot betis, sakit tulang belakang, dan juga penggunaan terlalu banyak otot-otot betis.

“Penyakit tulang belakang juga antara punca sakit tumit di mana jika terkena pada urat saraf tulang belakang ia boleh menjalar hingga ke tumit kaki.

“Bagaimanapun sakit tumit ini bukanlah disebabkan faktor umur dan ia juga bukanlah satu penyakit usia," katanya lagi.

Beritahu Dr. Saini lagi, plantar fasciitis juga boleh membawa kepada pembentukan taji tumit pada titik di mana faskia melekat ke tumit.

Berbicara pula mengenai rawatan sakit tumit ini, Dr. Saini berkata, melakukan regangan otot kaki dan memakai kasut yang sesuai boleh membantu mengelak masalah ini.
Gabungan ortotik kasut, regangan dan urutan serta mengambil ubat anti-keradangan seperti ibu profen juga mampu merawat masalah ini.

Bagaimanapun, rawatan untuk plantar fasciitis adalah selalunya konservatif dengan penggunaan ubat-ubatan anti-keradangan dan juga menukar jenis kasut yang digunakan kepada yang lebih lembut tapaknya, tanpa tumit yang tinggi dan keras.

Adalah penting juga untuk membuat regangan serta menggunakan hot pack pada bahagian tumit bila bangun pagi dan pek ais pada waktu petang.

Nasihat daripada ahli fisioterapi ataupun doktor perlu sebelum memulakan rawatan pek ais dan hot pack serta regangan.

Juga penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat anti keradangan sebab terdapat banyak kesan sampingan.

Lazimnya doktor akan menyarankan suntikan anti-keradangan yang paling efektif iaitu 'kenacort', sejenis kortikosteroid anti radang yang sangat berkesan terus ke kawasan tumit yang sakit sekiranya sakit tersebut berlarutan.

Suntikan steroid adalah berkesan melegakan sakit tetapi tidak boleh dilakukan dengan terlalu kerap kerana boleh menyebabkan raptur plantar sascia.

"Mereka yang mengalami sakit tumit ini selalunya tidak akan pulih kepada asal 100 peratus dan pilihan terakhir yang diberikan kepada pesakit ialah menjalani pembedahan.

“Bagaimanapun pembedahan juga bukanlah satu jalan penyelesaian yang tepat kerana tidak semua yang menjalani pembedahan akan sembuh seperti sedia kala.

“Yang pasti, fisioterapi serta penggunaan kasut yang sesuai dengan ortotik yang padan ini juga mampu mengawal kesakitan ini daripada berterusan," tuturnya.

Apa-apa pun pesakit yang mengalami sakit tumit perlu berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan punca sebenar kesakitan tersebut. - Mariatul Qatiah Zakaria


Sumber: http://www.utusan.com.my



No comments: