MAYAT tiga remaja India ditutup dengan kain selepas kereta yang mereka dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran Desa Pinggiran Putra, Putrajaya, semalam.
- UTUSAN/RASHID MAHFOF
- UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 3 Sept. - Tiga remaja India maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran Desa Pinggiran Putra di sini pagi ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah M. Harisankar, 18, V. Thivagor,18, dan V. Thamilarasan, 18, manakala pemandu yang terselamat N. Yogen, 21.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki keempat-empat penuntut Universiti Multimedia, Cyberjaya itu terputus dua menyebabkan tiga mangsa tercampak keluar.
Kereta tersebut yang dalam perjalanan dari arah Dengkil ke destinasi yang tidak diketahui itu dipercayai dipandu laju berdasarkan keadaan kereta yang remuk teruk.
Menurut salah seorang rakan mangsa yang enggan dikenali, mangsa yang cedera ringan adalah pemandu kereta dan ketika kejadian ketiga-tiga mangsa yang maut dipercayai sedang tidur.
"Semasa kami menemui rakan yang cedera, dia memaklumkan kejadian berpunca daripada salah satu tayar kereta meletup menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan.
"Mereka adalah pelajar cemerlang, saya amat terkejut dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat, Hospital Putrajaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi memaklumkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap," katanya.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi bilik mayat Hospital Putrajaya apabila ahli keluarga mangsa yang tiba dari Melaka, Kuala Selangor, Kelang dan Puchong mahu menuntut mayat.
Dalam pada itu, jurucakap Unit Komunikasi Korporat MMU dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia mengesahkan keempat-empat mangsa adalah penuntut universiti terbabit.
"Mereka mendaftar masuk Jun lalu, Harisankar pelajar Diploma Teknologi Maklumat, Thivagor (Diploma Akaun), Thamilarasan (Yayasan Teknologi Maklumat) dan Yogen (Diploma Teknologi Maklumat)," katanya.
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment