Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kaum Bidayuh adalah masyarakat yang mendiami kawasan barat daya Sarawak, terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di barat Kalimantan. Mereka terdiri daripada empat pecahan etnik iaitu:
- Selakau/Lara (Daerah Lundu)
- Jagoi/Singai (Daerah Bau)
- Biatah (Daerah Kecil Padawan)
- Bukar/Sadong (Daerah Serian)
- Kuching Tengah / Bidayuh Baru / Bidayuh Moden (Kawasan Tengah Antara Padawan Dengan Bau)
Mereka kebanyakannya beragama Kristian.
Pada zaman dahulu suku kaum Bidayuh tinggal di rumah panjang. Lazimnya penempatan rumah panjang suku kaum Bidayuh terletak jauh di kawasan pendalaman dan tanah tinggi. Ini adalah bagi tujuan keselamatan iaitu sukar untuk dikesan oleh musuh.Struktur rumah panjang kaum Bidayuh tidak jauh bezanya dengan struktur rumah panjang masyarakat Iban di Sarawak. Atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu, manakala dindingnya pula daripada buluh. Pelantar atau lantai rumah panjang pula diperbuat daripada papan atau buluh manakala tiangnya pula diperbuat daripada kayu belian.
Rumah panjang masyarakat Bidayuh terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bilik utama, awah dan tanju. Bilik utama dapat kita samakan dengan ruang utama kediaman pada masa sekarang. Di dalam bilik ini masyarakat Bidayuh lazimnya meletakkan barang-barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur di kala malam hari. Awah pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang masyarakat Bidayuh dan lazimnya ia bertutup dan beratap. Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada masa ini. Di "awah" masyarakat Bidayuh menjalankan aktiviti aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan Awah juga akan digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta-pesta tertentu seperti pesta gawai dan sebagainya. "tanju" pula adalah bahagian terluar di dalam rumah panjang masyarakat Bidayuh. Bahagian tanju agak terdedah dan lazimnya ia tidak bertutup mahupun beratap. Tanju lazimnya digunakan untuk menjemur hasil tuaian masyarakat Bidayuh seperti padi, lada, jagung dan sebagainya.
Bahasa
Bahasa Bidayuh agak unik berbanding bahasa-bahasa yang lain yang terdapat di Sarawak. Keunikan ini adalah berdasarkan sebutan,pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan. Lazimnya, bahasa Bidayuh akan berubah intonasi dan bahasa mengikut kampung dan daerah tertentu. Hal ini menyebabkan suku kaum ini sukar untuk berkomunikasi dengan satu sama lain sekiranya mereka adalah suku atau dari daerah yang berlainan. Sebagai contoh, suku Bidayuh dari kawasan Serian menyebut "makan" ialah "ma-an" manakala suku Bidayuh dari kawasan Padawan pula menyebut "makan" sebagai "man". Ada juga bidayuh yang baru dikenali sebagai Bidayuh Kuching Tengah atau "Bidayuh Moden ( Baru ), oleh kerana bahasa dan adat yang bercampur dari bidayuh bau jagoi dan bidayuh padawan.Kaum Bidayuh ini boleh ditemui dikawasan perkampungan berdekatan dengan bandar kuching iaitu : 1. Kampung Tematu Simorang 2. Kampung Semeba 3. Kampung Sudat 4. Kampung Bumbok
Pakaian Tradisional
Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat Bidayuh. Bagi Kaum wanita masyarakat Bidayuh, pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung berwarna hitam paras lutut yang dihiasi dengan manik manik halus pelbagai warna disulami dengan kombinasi warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang indah atau penutup kepala daripada kain berwarna warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh. Kaum lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora dan seluar hitam atau cawat yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit kepala pula adalah pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini.
Seni Muzik
Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh. Muzik juga memainkan peranan dalam pemberitahuan motif sesuatu upacara yang dijalankan. Umumnya muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang gong besar terbahagi daripada dua iaitu Oguong dan Kitaak, canang, Gendang atau Pedabat dan Tawak (sejenis gong kecil. Terdapat juga alat muzik tradisional yang lain seperti serunai/seruling dan gitar buluh. Namun alat muzik seumpama ini amat kurang dimainkan kerana proses pembuatannya yang agak rumit.
Senjata Tradisi
Lembing, tombak, parang ilang (parang pendek), sumpit, "jepur" (seakan samurai) dan "rira" (meriam kecil)adalah peralatan senjata yang lazimnya digunakan oleh masyarakat ini untuk berperang pada zaman dahulu kala. Manakala peralatan senjata seperti parang, cangkul dan sabit selalunya digunakan untuk aktiviti pertanian.
Kawasan ramai penduduk |
---|
Sarawak, Kalimantan |
Bahasa |
Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia
|
Agama |
Kristian, Animisme
|
Kelompok etnik berkaitan |
Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Suku_Bidayuh
No comments:
Post a Comment