Kisah ini saya petik dari suatu laman web…
Kisahnya benar² menyentuh hati. Buat wanita yang bakal bergelar isteri, jadikan
kisah ini sebuah pedoman. Buat lelaki, kisah ini boleh disampaikan buat mereka
yang berkenaan.
Akhirnya setelah
dua tahun menghilang diri, Normah kembali ke rumahnya. Seperti dahulu, dia masih
cantik bergaya. Lenggoknya masih gemalai, pinggang masih ramping, gincu masih
merah dan mekap masih tebal. Jika berselisih, aroma pewanginya masih kuat
menusuk hidung. Namun bezanya, Normah kelihatan tidak begitu ceria. Zahirnya
dia begitu anggun tapi wajahnya terlukis warna yang muram dan lesu. Tutur
katanya perlahan dan tidak bermaya seperti orang keresahan.
“Kenapa awak balik? Pergilah ikut jantan. Awak tak
ada pun saya boleh jaga anak-anak kita ni!!” jerkah suaminya, Halim sebaik
melihat Normah pulang dengan menjinjing sebuah beg besar.
Normah tidak menjawab kerana dia tahu, itu memang
salahnya. Dia cuma berdiri di pintu dan menundukkan muka. Halim sebaliknya
terus membelasah isterinya itu dengan kata-kata keras. Sudah lama geram itu
menggelodak di hati, lalu inilah masa untuk melepaskannya.
Normah masih terpaku di muka pintu. Dikesat air
mata yang bergenang. Tiada sepatah perkataan pun di balasnya kata-kata Halim
itu kerana hajatnya pulang bukanlah untuk bertengkar. Hasratnya Cuma satu,
untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak.
Jika diikutkan hati memang hendak dihalaunya
Normah, tapi disebabkan anak-anak, Halim menahan juga kemarahannya. Dibiarkan
Normah masuk ke rumah yang telah lebih dua tahun ditinggalkannya itu.
Bagi Halim, kepulangan Normah tidak membawa
apa-apa erti lagi dalam hidupnya. Malah ia cuma memulakan semula kekalutan yang
sudah dirungkaikannya, mengeruhkan hidup yang mula jernih dan memarakkan semula
api yang telah dipadamkan.
Dua tahun dahulu, Normah meninggalkan Halim dan
dua anaknya, Iffa, 5, dan Aina, 2. Yang ditinggalkan hanyalah sekeping nota
menyatakan yang dia ingin hidup bersama kekasihnya.
” Saya rasa kita dah tak ada persefahaman lagi.
Saya mahu hidup bahagia dengannya” demikian antara lain nota yang
ditinggalkannya untuk Halim.
Kesalnya dia dengan tindakan Normah tidak terkata.
Halim akui sejak akhir-akhir ini Normah sudah berubah. Kalau dulu layanannya
begitu baik, sekarang mula dingin. Pantang silap sedikit, mulalah naik angin.
Kata-katanya pula, selalu saja diiringi sindiran. Sudahlah begitu, sering pula
Normah meminta barang-barang mewah di luar kemampuan Halim. Itulah yang
menghairankan Halim.
Lama-kelamaan, Halim terhidu pula berita Normah
menjalin hubungan sulit dengan lelaki berada. Dia ada bertanya tentang hal itu,
namun Normah lantas menafikannya. Walaupun Halim menekannya dengan cerita dan
bukti-bukti, tapi Normah tetap tidak menidakkannya. Malah dituduh pula suaminya
cemburu buta. Nah, sekarang terbukti sudah kebimbangannya itu. Tapi apa yang
boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.
Sejak Normah meninggalkannya, hidup Halim tidak
terurus. Terpaksalah dia membesarkan anaknya itu sendirian. Dialah ibu dialah
bapa. Dengan gajinya sebagai penyelia kilang yang tidak seberapa dan menyewa
pula di sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, tentulah sukar untuk dia
menguruskan hidup.
Kalau kanak-kanak lain selalu bertukar pakaian,
anak-anaknya dengan baju dua tiga pasang itulah. Makan yang mewah jauh sekali,
kecuali apabila dia mendapat gaji. Rutin hidupnya, awal pagi menghantar anak-anaknya
ke rumah ibunya dan malam menjemput mereka pulang. Dialah yang memasak dan
mengemas rumah. Kadangkala adik perempuannya turut membantu menguruskan
keluarganya.
Memang hidupnya sukar, tapi Halim belum tergerak
untuk berkahwin lagi. Baginya, biar susah macam mana pun, semua halangan itu
akan dirempuhinya. Tambahan pula Normah masih tidak diceraikan.
Halim juga mahu membuktikan kepada Normah bahawa
tanpa wanita itu, dia boleh menguruskan keluarga. Dan juga, kalau kemewahan yang
menyebabkan Normah meninggalkannya, Halim ingin buktikan bahawa tanpa wang yang
banyak sekalipun dia boleh hidup bahagia.
Ternyata tanpa Normah, Halim mampu membesarkan
anak-anaknya seperti ibu bapa lain. Iffa dan Aina juga kian lama kian melupakan
ibu mereka. Malah melihat gambar pun mereka benci. Bukan Halim yang menghasut
tapi kerana Normah sendiri yang bengis terhadap anak-anak.
Kerana itulah, kepulangan Normah membangkitkan
semula kemarahan Halim. Tambahan pula Halim mendapati ada sesuatu yang tidak
kena dengan perut Normah. Ia membuncit seperti sedang hamil.
Bagaimanapun dia
tidak mahu bertanya kepada wanita itu.
“Tempat awak di sana!” kata Halim menunjukkan
Normah ke arah sebuah bilik kecil. Di dalamnya ada sebuah tilam bujang yang
kusam. Bertompok sana, bertompok sini. “Nak alas, cari sendiri,” kata Halim,
lalu menyindir “itupun kalau awak ingat kat mana nak cari….” Normah
ditinggalkan sendirian.
Malam itu, Normah tidur seorang diri dalam bilik
sempit dan penuh barang-barang. Sementara Halim tidur bersama dua anaknya di
bilik lain. Bila anak-anaknya pulang, Normah cuba membelai mereka tapi Iffa dan
Aina segera menjauhkan diri. Dipujuk dengan bermacam-macam cara pun tidak
berkesan. Terpaksalah Normah membawa diri ke dalam bilik dan menangis
teresak-esak.
Begitulah keadaan mereka setiap hari. Normah
menjadi orang asing di dalam rumahnya sendiri sementara Halim meneruskan hidup
seperti biasa. Mereka tidur berasingan dan setiap pagi, anak-anak dihantar ke
rumah ibunya tidak jauh dari situ.
Ternyata telahan Halim tepat. Dari sehari ke
sehari dilihatnya perut Normah semakin membusung. Lain macam bulatnya. Setelah
didesak dan dijerkah berkali-kali, Normah terpaksa mengaku dirinya berbadan
dua.
“Aku dah agak. Patutlah awak balik…nak suruh aku
jadi bapak pada budak tu, kan? Nak jadikan aku pak sanggup?”
Halim melepaskan
paku buah keras. “Bukan macam tu bang, saya…” tapi belum pun sempat Normah
menghabiskan cakap, Halim memintas ” Saya apa?! Saya tak buat benda tak senonoh
tu? Budak tu anak aku? Tolong sikit….bila masa aku sentuh badan kau tu? Hah?”
Bagi menutup malu, Normah memakan makanan yang
tajam, pedas dan berasid untuk menggugurkan kandungannya, tetapi gagal.
Perutnya terus-menerus membesar. Gagal cara itu, dia pergi ke klinik swasta
pula. Bagaimanapun doctor tidak mengizinkan kerana risikonya terlalu tinggi.
Kata doktor, kandungannya sudah besar dan jika digugurkan, ia boleh mengundang
maut.
Semakin hari jiwa Normah semakin tertekan. Perut
kian memboyot sedangkan anak dan suami pula tidak menghiraukan kehadirannya.
Dia menjadi melukut di tepi gantang dalam rumah sendiri. Suami menjauhkan diri
bila hendak mengadu dan anak pula tidak menganggapnya ibu untuk mereka
bermanja.
Tidak ada jalan lain, Normah meminta Halim
menghantarkan dia ke rumah ibunya. Tentu saja Halim tidak membangkang. Memang
itu yang dia mahukan. Namun sambutan ibu bapanya juga mengecewakan.
“Dua tahun kamu tinggalkan suami dan anak,
tiba-tiba baru dua bulan balik perut kamu dah besar macam ni. Huh…memang patut
pun Halim buat macam ni. Kamu derhaka pada dia!” kata bapa Normah, Haji Shafie
bila mendapati anaknya itu hamil.
Dari sehari ke sehari tekanan perasaannya tambah
menebal. Ia kian merundung bila tumbuh pula cacar di badannya. Dari kecil ia
membesar, dan dari sebiji-sebiji ia merata memenuhi badan. Di dalam cacar itu,
menguning nanah busuk dan jelik baunya. Pada waktu yang sama, Normah mengidap
darah tinggi pula.
Tekanan perasaan yang melampau itu menyebabkan
Normah dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan pakar jiwa. Bermacam-macam ubat
dan rawatan diberikan tapi ternyata begitu sukar untuk dia dipulihkan.
Disebabkan badannya terlalu lemah, doktor mencadangkan supaya Normah bersalin
melalui cara pembedahan apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan lebih
sedikit.
Pada waktu yang ditetapkan, Normah dimasukkan ke
wad. Seminggu sebelum dibedah, dia mula meracau-racau dan meraung.
Bermacam-macam dijeritkannya tanpa hujung pangkal. Dimaki hamunnya emak dan
ayah serta jururawat yang datang. Kemudian Normah menangis pula hendak balik
dan melihat anak-anak.
Dalam keadaan yang kritikal itulah ayahnya, Pak
Cik Shafie menelefon saya dan menceritakan keadaan anaknya itu secara ringkas.
” Pak cik tak mahu nak salahkan sesiapa. Dua-dua ada buat silap. Tapi sekarang
ni pak cik minta ustaz usahakanlah ubat anak pak cik tu,” katanya.
Daripada
suaranya itu saya tahu dia sedang menahan sebak.
“Saya di Sarawak sekarang ni pak cik. Dua hari
lagi saya balik. Tapi buat sementara ni, usahakan baca Yasin dulu. Bila saya
balik nanti, saya terus ke sana,” jawab saya. Sekembalinya ke Semenanjung saya
terus menziarahi Normah. Keadaannya sama seperti yang diceritakan oleh
bapanya.Mengerang kesakitan, meracau, meronta-ronta, dan bercakap tidak keruan.
Keadannya ketika itu memang menyedihkan kerana dalam keadaan perut memboyot dia
meraung seperti hilang akal.
Namun timbul pertanyaan di fikiran saya selepas
dibacakan Yasin, keadaan Normah bertambah buruk. Keadaanya ibarat mencurah
minyak ke api, makin disiram makin besar maraknya. Ibu bapa dan adik beradik
Normah menangis milihat keadaan dirinya.
“Pak cik mana suami dengan anak-anaknya?” saya
bertanya bila melihat suami dan anak-anak Normah tidak menziarahinya.
” Itulah yang saya nak cakap pada ustaz. Saya dah
pujuk, rayu dia datanglah tengok anak saya ni. Kata saya, walau besar mana pun
dosa anak saya, kalau dia menderhaka sekalipun, tapi dalam keadaan macam ni
bukankah elok kalau dia di ampunkan? Tapi dia tak mau. Jengah pun tidak,” kata
Haji Shafie kesal.
“Dia marah lagi agaknya,” saya menyambung.
“Saya tau… kalau jadi pada kita pun kita marah.
Saya bukanlah nak salahkan dia, tapi yang sudah tu sudahlah. Anak saya pun
bersalah, saya mengaku,” tambah Haji Shafie.
“Kalau macam tu,” tambah saya,” bawa saya jumpa
menantu pak cik tu. Insya-Allah kita sama-sama pujuk dia.”
Seperti yang dipersetujui, beberapa hari kemudian
saya dibawa oleh Haji Shafie berjumpa dengan menantunya itu.
“Yang sudah tu sudahlah Lim, ampunkanlah dia.
Normah tengah tenat tu,” Haji Shafie merayu.
” Dua tahun dia tinggalkan kami anak beranak.
Balik-balik, mengandung…suami mana yang tak marah, ayah ?. Mana saya nak letak
muka saya ni ? Dayus, pucuk layu , tak ada punai, tak tau jaga bini,
macam-macam lagi orang hina saya…’ tambah Halim melepaskan segala yang terbuku
di hati. Bermacam-macam lagi di rungutkan hingga tidak sanggup kami
mendengarnya.
” Ayah faham perasaan kau. Ayah tau Normah yang
salah, derhaka pada kau , tapi dia tengah tenat sekarang ni,” Haji Shafie
merayu lagi , Halim tidak menjawab sepatah pun Nafasnya saja yang turun naik
manakala muka merah padam menahan marah.
Bila keberangan nya semakin reda saya menasihatkan
Halim supaya melupakan perkara yang telah berlalu itu. “Mengampunkan orang lain
lebih baik daripada membalas dendam . Isteri awak menderita sekarang ini pun
sebab dia sudah sedar dengan kesalahan dia, jadi eloklah awak maafkan,” kata
saya.
Lalu saya ..hadis dan firman Allah berkaitan
…Ternyata Halim sudah berpatah arang berkerat rotan . ” Saya tak akan jenguk
dan saya tak akan ampunkan dia. Isteri durhaka ! ” katanya.
Sampailah hari Normah di bedah , Halim langsung
tidak menjengukkan mukanya. Iffa dan Aina juga di larang daripada menjengah ibu
mereka. Bagaimanapun , di sebabkan keadaan Normah yang tenat, makan minum tidak
menentu , bayi yang di lahirkannya meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Normah pula sejak sedar daripada pembedahan semakin teruk jadinya.
Setiap hari, terutamanya tengah malam dan senja
dia akan meracau. Yang mengaibkan , racauannya kini mendedahkan segala pelakuan
jelik yang di lakukannya selama meninggalkan Halim dan anak-anak.
Antaranya, Normah menceritakan yang dia telah mengikut
lelaki hingga ke Siam dan kemudian hidup seperti suami isteri. Selepas berpisah
dengan lelaki itu, dia bersekedudukan pula dengan lelaki lain. Tidak kurang
dengan tiga lelaki telah dia berzina.
“ Abang ..ampunkanlah saya. Saya derhaka, saya
jahat, saya malukan abang…maafkanlah saya…”dia terus menangis dan
meratap.Setiap hari bermacam-macam rahsia di dedahkannya; tentang tempat-tempat
maksiat yang pernah dia pergi bersama teman lelaki, kawan-kawan lain yang sama
saja perangai dengannya juga kekecewaannya bila dipermainkan lelaki-lelaki
terbabit.
“ Abang , Iffa, Aina…marilah tengok emak . Emak
tak jahat lagi,. Emak nak jadi baik. Emak nak jadi lawa, pandai, suka masak,
kita pergi sungai…” ratapnya lagi bercampur dengan kata-kata yang melalut.
Tidak dapat hendak di gambarkan bagaimana malunya
Haji Shafie dan isterinya setiap kali Normah menelanjangkan keburukannya
sendiri. Berbagai-bagai cara mereka lakukan supaya Normah berhenti meracau
seperti menutup mulut, memujuknya diam dan kadangkala turut sama bercakap
supaya orang-orang di sekeliling tidak mendengar , tetapi usaha itu tidak
berhasil.
Setelah hampir sebulan Normah mendedahkan
kecurangannya, keadaan wanita itu bertambah parah. Tekanan darahnya menurun dan
kerap tidak sedarkan diri. Badannya yang kurus makin melidi kerana Normah tidak
mahu menjamah makanan. Yang di lakukan sepanjang hari hanyalah menangis dan
meminta ampun kepada Halim. Setelah itu dia kembali terkulai tidak sedarkan
diri.
Haji Shafie sekali lagi menemui saya.
“Ustaz pujuklah menantu saya tu. Mintalah dia
datang jenguk Normah dan ampunkan lah kesalahan dia. Memang anak saya bersalah
, tapi dalam keadaan sekarang, Cuma keampunan suami saja yang boleh selamatkan
dia,” kata haji Shafie. Isterinya sejak tadi saya tengok tiada berhenti-henti mengesat
air mata.
” Kalau begitu, mari kita pergi jumpa Halim,” kata
saya.
Puas kami memujuknya . Alhamdulillah, setelah
berbagai-bagai alasan di beri, akhirnya Halim bersetuju. Bagaimanapun saya
lihat dia seperti terpaksa saja. Langkahnya berat dan nampak kurang ikhlas.”
Sudahlah Lim, lupakan yang lepas-lepas. Buangkan dendam, gantikan dengan
kemaafan. Insya-Allah, semua pihak akan dapat keberkatanNya,” kata saya semasa
Halim hendak memasuki kereta. Dia cuma tersenyum tawar.
Demi terpandang saja Halim datang menjenguk,
Normah dengan suara yang amat lemah memohon maaf kepada suaminya
itu.“Sa..sa..ya der…haa..ka pada abaaaang..” katanya antara dengar dengan
tidak. Sambil air mata jatuh berlinangan, dia mengangkat tangannya untuk
meminta maaf, tapi terlalu sukar. Ibunya cepat-cepat membantu.“Yalah…”jawab
Halim perlahan lantas menyambut tangan Normah. Reaksinya masih tawar. Dia belum
benar-benar ikhlas.
Petang itu kami bersama-sama membacakan surah
Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran untuk Normah yang kelihatan semakin teruk.
Bagaimana pun bila Normah meminta ampun sekali lagi, saya lihat Halim semakin
ikhlas menyambutnya. Saya tersenyum. Mungkin hatinya sudah sejuk melihat
penderitaan Normah.
Lebih kurang pukul 5.00 petang saya meminta diri
kerana ada urusan penting. Sebelum pulang saya berpesan; ” Lim, sekarang ni
awak saja yang boleh selamatkan Normah. Dia harapkan sangat keampunan daripada
awak. Selepas itu, serahkan kepada Allah. Kalau sembuh, alhamdulillah, kalau
tidak biarlah dia pergi dengan aman “.” Terima kasih ustaz,” balas Halim.
Seminggu
kemudian Halim datang ke rumah saya dan memaklumkan bahawa Normah telah
meninggal dunia. Bagaimanapun, dia membawa juga kisah yang menginsafkan
mengenai pemergian Normah.
“Ustaz,”
Halim memulakan ceritanya, “Malam tu Cuma tinggal saya dan anak-anak saja duduk
di tepi Normah. Ibu dan bapa dia ke kantin untuk makan. Bila saya bacakan Yasin
, saya tengok air mata arwah mengalir setitik demi setitik. Saya tau dia
benar-benar insaf dengan kesalahannya dulu, curang pada saya, derhaka pada
suami, tinggalkan anak-anak.”
“Sampai
di ayat salamun qaulam mirrabir rahim, saya ulang tiga kali. Setelah habis,
saya usap dahi arwah. Saya lakukannya dengan ikhlas sebab tidak sampai hati
tengok hati dia menderita.”
”
Setelah menciumnya tiga kali tiba-tiba dia nazak. Nafasnya di tarik dalam-dalam
tapi nampak susah sangat. Sekejap kemudian nafasnya laju, tapi lepas itu lambat
betul. Saya cemas. Dah dekat ke?”
“Tiba-tiba
Aina menangis Entah apa yang di gaduhkan dengan kakaknya saya pun tak tau .
Kuat betul dia menangis sampai saya tak sanggup nak dengar. Berbelah bagi juga
sama ada antara anak dan isteri yang tengah sakit, tapi bila fikirkan tangisan
budak itu mengganggu pesakit lain, saya terus ambil Aina dan pujuk dia. Susah
pula nak pujuk dia hari tu sampai terpaksa dukung dan bawa ke luar wad.”
“Namun
bila kembali ke wad, saya dapati Normah dah tidak bernafas lagi.”
“Luka
memang berdarah lagi, ustaz, tapi bila dia meninggal tanpa ada sesiapapun di
sebelahnya, menitis juga air mata saya. Yalah, kalau orang lain pergi dengan baik,
ada orang tolong bisikan syahadah, bacakan Yasin, dia pula pergi macam tu.
Agaknya itulah balasan untuk isteri yang derhaka ‘.”
Cukup
menginsafkan? Ambil iktibar dan sampaikanlah pada yang lain.
Wallahualam
Terima kasih
diucapkan kepada WRP Kasih Suci kerana berkongsi artikel yang bagus begini.
Sumber:
http://umisaiber.blogspot.com
No comments:
Post a Comment