Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

19 August 2014

DALAM NEGARA - Bila Tun Mahathir dah bersuara






..... bila Tun Mahathir dah bersuara ...
MENEGUR

Aug 18th, 2014 @ 10:54 am › chedet

1.   Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak
      yang saya telah memburukkan pemerintahannya.
2.   Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali
      menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.
3.   Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak
      ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka
      baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin
      akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan
      memperbetulkannya.
4.   Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja
      Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa
      dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-
      galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh
      kepada perintahnya.
5.   Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan
      takhtanya di pantai menghadapi laut.
6.   Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya
      apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan
      kakinya.
7.   Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”
8.   Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.
9.   Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda.
      Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
      Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati
      raja mereka.
10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana
       yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa
       mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.

11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda
       bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan
       berkata “Ya Tuanku”.
12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”
13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata
       yang benar apabila dia bogel.
14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.
15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi
       panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut
       disini:

       “Sayangkan anak tangan-tangankan
       Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”

       Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
       “Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”
16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur
       pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa
       yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang
       pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat
       terhadapnya.
17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM
       Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak
       disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur
       Tunku.
18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak
       jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana
       teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.
19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin
       kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke
       12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.
20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah
       kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua
       ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik
       akan jadi jeritan.
21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib.
       Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato
       Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.
22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum
       ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.
23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari
       prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.
24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya.
       Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.
25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan
       pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-
       undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun
       mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah
       bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua
       geng.
26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran
       sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat
       Kerajaan negara jiran.
27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk
       menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang
       saksama.
28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat
       apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan
       rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-
       galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini
       memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak
       bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja
       menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa
       usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong
       pembangunan Negara.
29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot
       barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan
       dihalang oleh dasar Kerajaan.

30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu
       minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa
       mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan
       dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.
31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan
       Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan
       antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah
       menegur pemimpin.
33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur.
       Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh
       Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana
       menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang
       bangsa dan negara saya
.

Sumber: Kelab Che Det


No comments: