Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

21 June 2014

PANDUAN SUAMI ISTERI - Wahai Perempuan, Jaga Maruah Suami Kalian






Sumber: http://www.utusan.com.my

ARKIB : 23/02/2014


WAHAI PEREMPUAN, JAGA MARUAH SUAMI KALIAN

Oleh Kucing Jantan 


BRO pernah mengingatkan kaum perempuan dalam ruangan ini supaya bijak membezakan kehidupan sebelum dan selepas berkahwin. Jangan ingat antara kahwin dan tak kahwin sama sahaja, banyak bezanya.

Dulu masa gadis mereka bebas buat apa sahaja tiada siapa nak larang tetapi sekarang kita sudah ada suami, jadi kena buat perangai elok-elok jangan dok main belasah sahaja.

Minggu ini, Bro nak nasihatkan pula kepada kaum perempuan khususnya isteri-isteri orang supaya bijak menjaga maruah suami dan jangan sesekali mendedahkan aib suami, apatah lagi melakukan perbuatan yang boleh memalukan suami.

Bro dapati ramai perempuan yang tidak tahu menjaga maruah suami. Ada antaranya sanggup menceritakan segala masalah rumah tangga sama ada melalui laman sosial atau ketika berbual-bual.

Semua perkara yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri sudah menjadi pengetahuan umum. Bagi Bro, isteri seumpama ini tak tahu hukum-hakam agama atau dia sengaja berbuat demikian untuk memalukan suaminya.

Kalau hendak bergaduh suami isteri atau ada masalah rumah tangga selesaikan secara berhemah bukannya cerita kat semua orang. Bro tahulah perempuan ini emosional tetapi biarlah bertempat. 

Tak ada faedah pun hendak mengaibkan suami sendiri kerana ia hanya mendatangkan dosa.

Selain berkaitan masalah, ada pula perempuan yang buat sesuka hati walaupun sudah menjadi isteri orang. Kalau dia tu kaki mengumpat sampai beranak pinak pun perangai tu tak boleh nak ubah, satu taman perumahan dia nak ambil tahu.

Kadang kala dia bawa cerita fasal suami dia dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau membanggakan diri, tetapi orang pun tahu sejauh mana kehebatan atau kemampuan suaminya.

Malah ada pula yang memalukan suami apabila bangga tak bertempat dengan menceritakan bagaimana dia bergaduh dengan mak mentua.

Bagi Bro, perempuan yang bergaduh dengan mak mentua ni ada masalah mental. Tak kiralah apa pun mak mentua kita buat, sepatutnya kita bersabar dan berserah kepada Allah SWT.

Bro tahulah tak semua mak mentua baik, tetapi kadang kala mak mentua baik pun, ada pula menantu macam hantu. Perempuan yang suka cerita dia bergaduh dengan mak mentua ni tak faham ke dosa pahala.

Apa yang paling Bro simpati orang akan anggap suami dia tidak ada maruah kerana biarkan si isteri bergaduh dengan maknya.

Bro hanya cerita beberapa kes sebagai contoh tetapi Bro percaya banyak lagi perangai pelik yang dilakukan oleh perempuan yang tanpa mereka sedari telah mencemarkan maruah suami mereka.

Perempuan yang bergelar isteri orang sepatutnya berhati-hati, tidak kira setinggi mana pun jawatan yang mereka sandang. Begitu juga kalau mereka sekadar menjadi suri rumah, dalam situasi apa pun di mana sahaja, mereka mesti menjaga maruah suami hatta atas ranjang sekali pun.

Kalau tidak tahu hendak menjaga maruah suami, baik jangan kahwin, bujanglah sampai akhir hayat senang begitu, dosa pun tak buat. Ini tidak bila dah kahwin perangai tak mahu berubah, pakai baju masih macam gadis terdedah sana terdedah sini, mulut tak ubah dari mulut longkang jadi pula mulut `kolam kumbahan', apa saja dia rasa nak cakap dia cakap. Perempuan macam ini hanya memalukan si suaminya sahaja.

Bro akui kadang kala perempuan jadi macam tu sebab si suami tak berani nak tegur. Suami ni malas nak bising-bising, takut nanti si isteri naik hantu menjerit-jerit habis satu kampung dengar.

Lagi pun lelaki ni tak macam perempuan, nak bercakap 24 jam sehingga dalam tidur pun boleh bercakap. Lelaki lebih suka selesai masalah dengan cara berhemah dan bukannya dengan ‘memecah barang’ di rumah!

Bro mintalah kepada perempuan-perempuan supaya berusahalah untuk menjadi isteri yang baik tidak kira di mana pun kita berada termasuklah di pejabat.

Kalau mereka berperangai buruk, yang akan menerima tempiasnya ialah suami mereka, orang akan terfikir siapalah lelaki malang yang menjadi suami perempuan itu. Dah pasti mana-mana perempuan tidak mahu pandangan seumpama ini wujud.

Jadi Bro nak minta perempuan-perempuan supaya selain pandai menjaga maruah suami, jagalah juga tingkah laku.

Ingatlah apa pun berlaku apabila sudah berkahwin ‘syurga kalian di bawah telapak kaki suami’.

Berusahalah menjadi isteri solehah dan ibu mithali, jangan sekadar menjadi isteri disebabkan sudah berkahwin dan menjadi ibu disebabkan sudah mengandung. 

- JUMPA LAGI- Bro Tompok



No comments: