Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

9 December 2014

FATWA - Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat




Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat. Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
Keterangan/Hujah: 
 
i. Masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi’i dalam kebanyakan urusan peribadatannya. Oleh itu amalan samak sebanyak tujuh kali yang salah satu daripadanya menggunakan tanah telah diterimapakai secara umum oleh masyarakat, sama ada untuk menyucikan najis mughallazah yang terkena pada badan, pakaian, rumah dan sebagainya.
 
Hadis Nabi S.A.W. :
 
طهوراناء أحدكم اذا ولغ فيه الكلب أن يغسله سبع مرات أولاهن بالتراب  ( رواه مسلم )
 
“Bersihkanlah bekas makanan kamu yang dijilat anjing dengan tujuh kali basuhan dan yang pertama daripadanya dengan tanah ”
 
ii. Berdasarkan zahir hadis hukum menyamak dengan tanah pada tempat yang terkena najis mughallazah, Nabi Muhammad S.A.W. tidak memperincikan bentuk dan keadaan tanah yang boleh digunakan untuk menyucikan najis mughallazah. Ini seolah-olah menunjukkan semua jenis tanah yang ada di atas muka bumi ini boleh digunakan untuk menyamak. Imam Al-Sharbini menyebutkan semua jenis tanah sekalipun debu pasir (Mughni al-Muhtaj, Juzu’ 1, Hlm 137). Tanah yang dicampur dengan benda asing tidaklah menjadi halangan asalkan ia tidak mengubah keaslian tanah dan suci.
 
iii. Dalam kehidupan yang moden pada hari ini, penemuan-penemuan baru yang masih berteraskan prinsip Islam seperti penciptaan sabun samak wajar dihargai kerana tujuannya untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di mana saja berada.
 
iv. Dari aspek tanah yang digunakan, Rasulullah S.A.W. tidak pernah menyatakan lapisan tanah yang ke berapa perlu digunakan kerana pada asasnya tanah atau pasir adalah suci.
 
v. Bagi umat Islam yang tinggal di luar Negara dan mudah terdedah dengan najis-najis mughallazah, penggunaan sabun ini adalah satu alternatif kepada penggunaan tanah yang kadang-kadang sukar diperolehi.
 
vi. Walaupun sabun ini dibenarkan untuk tujuan samak bagi menggantikan tanah, tetapi kaedah pelaksanaan samak tersebut masih terikat dengan hukum syarak.
 
vii. Penggunaan sabun tersebut dibenarkan dengan syarat pada urufnya kandungan tanah melebihi daripada bahan-bahan yang lain.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my


No comments: