MH370: MAS dan 4 lagi diperintah fail pernyataan pembelaan
The Malaysian Insider – 1 hour 15 minutes ago
MH370: MAS dan 4 lagi diperintah fail pernyataan pembelaan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan 4 lagi memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam saman yang difailkan 2 anak lelaki penumpang pesawat MH370.
Saman itu difailkan dua beradik berusia 13 dan 11 tahun, bagi menuntut ganti rugi berhubung kehilangan pesawat itu yang dinaiki bapa mereka dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac lepas.
Timbalan Pendaftar Pavani Kasi menetapkan sebelum 15 Disember ini untuk semua defendan memfailkan pernyataan pembelaan itu ketika kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini.
Prosiding hari ini dihadiri peguam Datuk Dr S Arunan dan peguam Gary Edward Chong mewakili dua beradik itu selaku plaintif.
Ketika ditemui pemberita, Arunan berkata Pavani juga menetapkan 12 Januari depan untuk pengurusan kes di hadapan hakim yang masih belum ditetapkan.
Mengenai saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes itu, Arunan berkata pihaknya masih lagi berbincang untuk memutuskan siapa yang akan dipanggil.
"Kami ada menerima emel daripada 'foreign experts' (pakar asing) yang menawarkan diri untuk membantu dalam kes ini," katanya sambil menambah semua pihak ingin tahu apa yang berlaku terhadap pesawat MH370 yang masih menjadi persoalan.
Dua beradik itu melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 38, memfailkan saman pada 31 Oktober lepas dengan menamakan MAS, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ketua pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa mereka Jee Jing Hang, 41, penumpang pesawat MH370, memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac.
Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan penerbangan yang selamat, namun memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.
Selain itu, plaintif mendakwa ketua pengarah DCA sebagai defendan kedua, yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan itu selamat, gagal dan cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.
Adik-beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen gagal dan cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan menggunakan pengenalan palsu.
Mereka juga mendakwa TUDM gagal dan cuai untuk menghantar pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah MH370.
Sehubungan itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi terhadap semua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865, dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami adik-beradik itu.
Selain itu, turut dituntut adalah ganti rugi teladan kerana mengabaikan nyawa bapa mereka, penumpang lain dan anak kapal serta meletakkan keluarga mereka dalam kecelaruan, kos, faedah dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada hari kejadian. Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi. – Bernama, 1 Disember, 2014.
Sumber: https://my.news.yahoo.com/mh370-mas-dan-4-lagi-diperintah-fail-pernyataan-063426607.html
No comments:
Post a Comment