Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

28 August 2013

HIDUP SIHAT - Bolehkah Diet Tanpa Bersenam?







HATI-HATI dengan diet yang dilakukan kerana jika tidak berhati-hati, memang berat badan akan turun mendadak tetapi masalah lain pula mungkin timbul.
Jangan tiru pelakon ‘Ally Mc Beal’, Callista Flockshart, yang melakukan diet melampau sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia.
Bagaimanapun beberapa artis tempatan dilihat dapat mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengambil diet sihat selain melakukan aktiviti fizikal.
Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah.
Tapi mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal?
Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya ‘berlapar’ tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan.
Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.
Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun.
Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik.
“Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.
Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes – jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan.
“Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan.
“Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari,” katanya.
Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad.
Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman.
“Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal,” katanya.
Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat.
Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori.
“Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang,” katanya.
Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan.
Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari.
Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.
Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat. Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.
Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan.
Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari.
Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain.
“Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam,” katanya.
Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai ‘yo-yo diet’ biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.
Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak.
“Diet sebegini amat tidak digalakkan,” katanya.
Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.
Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan.
Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang.
“Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian,” katanya.
Dalam tujuh hari seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan.
Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.
Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan.
“Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air,” katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul.
“Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing,” katanya.
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Sumber: Utusan Malaysia

No comments: