Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

31 August 2013

MAKANAN SIHAT - Khasiat Ubi Kentang






Khasiat ubi kentang
KALAU kanak-kanak mungkin mereka boleh makan kentang goreng tetapi saya mesti makan nasi setiap hari,” kata seorang rakan apabila mendengar saranan menggantikan hidangan nasi kepada ubi kentang.
Sebenarnya, hidangan ubi kentang bukan hanya kentang goreng seperti yang terdapat di restoran-restoran segera yang menjadi sumber lemak, meningkatkan kolesterol, melonjakkan risiko darah tinggi dan penyebab obesiti.
Hakikatnya, bukanlah ubi kentang yang menentukan sama ada baik atau buruk untuk kesihatan. Yang penting bagaimana bahan ini disediakan untuk dimakan.
Umum mengetahui ubi kentang sumber nutrisi karbohidrat popular di seluruh dunia.
Bagi menikmati khasiat sebenar ubi kentang, anda boleh menghasilkan hidangan seperti kek coklat kentang atau sup berkrim kentang.
Tahukah anda selain membekalkan sumber karbohidrat, kentang mempunyai khasiat lain untuk kesihatan?
Kajian menunjukkan dengan mengambil kira-kira 150 gram kentang, kita dapat memenuhi keperluan vitamin C untuk satu hari. Kandungan kalium dalam kentang pula boleh melegakan hipertensi.
Pakar Kesihatan dan Kesejahteraan, Carina Lipold memberitahu, ubi kentang mengandungi banyak manfaat kesihatan sekiranya dijadikan sebahagian amalan diet.
Katanya, ubi kentang kaya dengan serat, vitamin, mineral, fitokimia, rendah kalori dan pada masa sama mempunyai indeks kekenyangan tinggi.
“Sebiji kentang bersaiz sederhana (kira-kira 150 gram) yang dikukus dan dimakan dengan kulitnya, memberi sehingga 48 peratus daripada pengambilan harian Vitamin C yang disyorkan untuk seseorang, lebih kalium atau potasium daripada pisang serta mineral penting lain.
“Secara kesimpulan, saya boleh katakan kentang adalah ubi yang banyak kebaikan dan sesuai untuk sebarang amalan diet,” katanya pada majlis pengenalan menu dengan ramuan ubi kentang oleh Lembaga Kentang Amerika Syarikat di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Gluten
Selain itu, ubi kentang dikenali sebagai makanan yang bebas gluten.
Menurut Carina, gluten merupakan bahan protein yang terdapat pada bijirin seperti gandum, barli dan rai.
Para pesakit yang menghidap penyakit gangguan gastrousus akan mendapat manfaat besar daripada kentang kerana makanan ini dinyah hidrat amat sesuai sebagai pengganti tepung yang mengandungi gluten.
Jadi tidak hairanlah, makanan ini sesuai untuk semua peringkat umur dan budaya, kentang malah menjadi makanan bayi yang baru bercerai susu.

Dalam piramid makanan, dua biji kentang bersaiz kecil sama dengan satu mangkuk nasi, dua keping roti dan satu setengah mangkuk mi.
Ubi kentang juga mengandungi potasium tinggi yang mampu mengurangkan risiko hipertensi, strok, melindungi jantung dan menolong transmisi pusat saraf serta melawan dinyah hidrat.

No comments: