Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

19 April 2014

TRAGEDI - Maut dirempuh bas






WARTAWAN SINAR HARIAN - 17 April 2014


GEORGETOWN - Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah bas semasa melintas jalan bersama suaminya di persimpangan masuk ke Taman Desa Relau di sini, semalam.

Mangsa, Cheong Ah Poh, 73, dilaporkan mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa dikatakan bersama suaminya berjalan kaki dari Apartmen Marina Tower dekat situ dan menyeberangi jalan menghala ke Paya Terubong.

Menurut sumber, sewaktu mangsa dan suaminya sedang melintasi jalan terbabit, sebuah bas dari arah Relau dan terus membelok ke kanan jalan dan merempuh mangsa.
“Ketika itu, suami mangsa berjaya berlari ke tengah garisan putih di atas jalan berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa yang tidak sempat berpaut tangan suaminya dan dirempuh bas berkenaan dan terus rebah di atas jalan. Mangsa mati di tempat kejadian akibat mengalami pendarahan teruk di kepala,” katanya.

Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP)  mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan  parah di bahagian kepala.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu bas terbabit.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian berlaku.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


No comments: