Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

21 July 2014

DALAM NEGARA - Kegilaan pemandu Malaysia, penguatkuasa undang-undang





By BY Amin Iskandar | The Malaysian Insider


Memandu di Malaysia merupakan satu cabaran besar, terutamanya di Kuala Lumpur, tempat tumpuan rakyat Malaysia kerana peluang pekerjaan dan pelbagai sebab lagi mengapa mereka tinggal di kota angkuh ini.
Walaupun harga kenderaan di Malaysia di antara termahal di dunia, kita masih boleh melihat jumlah kenderaan yang begitu banyak di jalan raya.
Apakah rakyat Malaysia terlalu kaya?
Tidak juga, akan tetapi bayaran ansuran kenderaan di antara penyebab hutang isi rumah rakyat Malaysia menjadi terlalu tinggi.
Ramai juga yang disenarai hitam daripada membuat pinjaman bank oleh kerana gagal menyelesaikan bayaran sewa beli mereka.
Mengapa perlu memandu dan tidak menggunakan pengangkutan awam?
Kerana pengangkutan awam di Kuala Lumpur agak terbatas dan tidak menyeluruh.
Mungkin apabila projek MRT siap, kesesakan bertambah kurang.Tapi sayangnya, projek MRT masih belum menyeluruh.
Kalau MRT dapat dipanjangkan ke Shah Alam dan Klang, ia akan lebih banyak membantu.
Kesesakan tidak sepatutnya
Cuba anda memandu di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam atau Kuala Lumpur di waktu puncak.
Anda akan dapati kesesakan berlaku kebanyakannya disebabkan perkara-perkara tidak sepatutnya seperti pemandu yang mahu masuk ke jalur kiri jalan secara tiba-tiba tanpa bersedia terlebih dahulu.
Dari jalur paling kanan secara tiba-tiba pemandu seperti ini mahu ke jalur paling kiri.
Inilah salah satu sebab mengapa sering berlaku kesesakan di persimpangan untuk naik ke jambatan Kelana Jaya sehinggakan kadangkala menyebabkan kemalangan.
Apabila berlaku kemalangan, walaupun sedikit, mampu menyebabkan kesesakan parah hanya kerana kegilaan pemandu Malaysia yang memperlahankan kenderaan untuk melihat (bukan menolong).
Apabila anda ke Brickfields tidak kira siang atau malam, lain pula kegilaannya.
Kesesakan yang berlaku di Brickfields pula disebabkan kenderaan yang diletakkan sesuka hati di tepi jalan.
Sepanjang pengalaman saya melalui Brickfields, tidak pernah kelihatan polis trafik atau penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaman atau menarik kenderaan-kenderaan yang menjadi punca kepada kesesakan itu.
Berbeza jika anda meletakkan kenderaan di tepi jalan di Bangsar, belum sempat anda membayar rokok yang dibeli di kedai berhampiran, surat saman sudah melekat di cermin hadapan kereta.
Peningkatan tekanan
Apabila seringkali terperangkap dalam kesesakan, kadar tekanan akan bertambah.
Tekanan itu akan dilepaskan dengan pelbagai cara termasuklah memandu secara gila.
Ini mungkin di antara punca banyak kemalangan berlaku di Malaysia sehingga banyak nyawa yang terkorban.
Kalau di negara Timur Tengah ramai anak-anak mudanya terkorban kerana perang, di Malaysia kebanyakan anak muda terbunuh di jalan raya.
Apatah lagi cuaca panas di Malaysia kini dan rakyat tidak dibenarkan menggunakan cermin gelap yang mampu melindungi kulit daripada cahaya terik.
Hanya menteri, ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, polis, tentera dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dapat mengurangkan pendedahan kulit mereka kepada cahaya terik.
Pengguna biasa akan berdepan dengan saman JPJ jika berani menggunakan cermin gelap.
Begitulah keadilan ala Malaysia.Yang “sedap-sedap” hanya untuk segelintir rakyatnya.
Terbaru heboh dengan polis trafik ke rumah pesalah-pesalah trafik untuk menangkap mereka yang tidak membayar saman.
Memang benar saman perlu dibayar, sayangnya, kita tidak pernah dengar tangkapan sama dilakukan kepada menteri-menteri atau ahli politik yang tidak membayar saman.
Biasalah, keadilan ala Malaysia. – 22 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


No comments: