Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

18 July 2014

MH17 - Juruterbang MH17 berhasrat tunai haji selepas Aidilfitri






The Malaysian Insider

Juruterbang pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, Wan Amran Wan Hussin, 50, berhasrat menunaikan fardu haji bersama kakaknya pada musim haji bulan depan.
Menurut anak saudaranya, Amaluddin Noorshah, 48, hasrat itu dinyatakan ketika Wan Amran pulang ke kampungnya untuk berbuka puasa bersama sanak saudaranya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, minggu lepas.
"Dia berkata hendak menunaikan rukun Islam yang kelima itu bersama kakaknya Wan Aini, ketika itu saya merasakan ada kelainan dari nada suaranya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Amaluddin berkata beliau tidak menjangka itulah kali terakhir dapat bertemu bapa saudaranya setelah mendapat berita tragedi MH17 itu lewat malam tadi.
"Saya mengetahuinya melalui aplikasi 'Whatsapp' yang disertai oleh ahli keluarga, lemah seluruh tubuh ahli keluarga kami mendapat tahu Wan Amran memandu pesawat terbabit," katanya.
Amaluddin tidak menyangka tragedi buruk itu akan menimpa bapa saudaranya kerana dalam pengetahuannya, Wan Amran sudah memandu pesawat Boeing selama lebih 20 tahun.
"Dia sangat rapat dengan adik beradiknya dan suka bersedekah, isteri dan dua anak lelakinya tinggal di Shah Alam," katanya.
Amaluddin mengakui hubungannya dengan bapa saudaranya itu memang rapat sejak daripada kecil lagi.
Pada sidang media khas di Hotel Sama-Sama di Sepang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine.
Beliau berkata setakat ini, Malaysia tidak dapat mengesahkan punca tragedi tersebut dan berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh berhampiran sempadan Rusia, semalam.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi waktu tempatan. – Bernama, 18 Julai, 2014.
Sumber: https://my.news.yahoo.com

No comments: