The Malaysian Insider
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya mula menyiasat kes seorang wanita memakai baju bertulis ayat Al-Quran yang gambarnya tersebar luas di media sosial sejak semalam.
Khalid berkata hasil siasatan awal mendapati wanita itu warga Korea yang baru tiba di Malaysia dan memakai pakaian yang dibelinya di India.
“@PDRMsia sudah mula siasat kes ‘makcik’ tu. Dia Korean, baru sampai sini, beli baju tu di India. Biar kita siasat lanjut. Semua bersabarlah,” katanya melalui akaun Twitter miliknya @KBAB51.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes itu dan akan bertindak mengikut undang-undang tanpa mengira bangsa dan keturunan.
"Semua kesalahan akan disiasat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita semua perlu hormat kepada sistem undang-undang kita," jelasnya.
Gambar wanita pertengahan umur memakai baju tertera ayat Al-Quran ketika sedang membeli belah di sebuah pasaraya di sini mula tersebar dan menimbulkan reaksi sensitif masyarakat tempatan di negara ini.
Mempunyai raut wajah negara Asia Timur, baju kaftan bercorak pelangi yang dipakainya itu seperti dicetak dengan ayat-ayat dari Surah Al-Fatihah.
Turut tersebar sekeping lagi gambar yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kurta putih mengangkat jari telunjuk kanan seolah-olah memberi amaran kepada wanita berkenaan sambil diperhatikan pekerja pasaraya berkenaan.
Identiti dan motif wanita memakai pakaian berkenaan bagaimanapun masih belum diketahui awam.
Putrajaya pada April lalu dilaporkan akan meminda Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 tahun ini bagi mengenakan hukuman lebih keras terhadap pihak yang menyalahguna ayat suci Al-Quran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan itu mencadangkan agar hukuman asal iaitu denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun dinaikkan kepada denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali. – 20 Julai, 2014.
Source: https://my.news.yahoo.com
No comments:
Post a Comment