KEANGKUHAN
Keangkuhan
adalah satu lagi penyakit emosi yang membawa padah. Kamus Oxford
mendefinisikan orang yang angkuh sebagai, “berperilaku dalam cara kebanggaan
dan unggul, menunjukkan terlalu banyak kebanggaan diri dan terlalu sedikit
pertimbangan untuk orang lain.” (“behaving in a pride and superior manner,
showing too much pride in oneself and too little consideration for others”).
SOMBONG, BONGKAK,
ANGKUH DAN TAKBUR
Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai
satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji).
Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh
menghalang kita mendapat balasan syurga.
Firman Allah yang bermaksud:Sesungguhnya
mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka
jahanam sebagai makhluk yang hina (Al-Mukmin:60)
Sifat sombong atau takbur boleh dikenali
melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh
dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah
menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya.
Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah,
menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut
nasihat orang lain.
Imam Al-Ghazali berkata :
"Orang yang takbur
marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan
kasar."
Takbur batin adalah membesarkan diri dalam
hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya
lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk
kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh
keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap
Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah
bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan
memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.
Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan
mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan
mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat
demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi
berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama
manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap
diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di
sisi Allah.
Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang
yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan
menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah
kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya.
Imam Ghazali memberi
beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia,
iaitu :
1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka
lebih mulia daripada kita
kerana kanak2 belum dibebani dosa.
2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula,
anggaplah mereka juga lebih
mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada
kita.
3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia
lebih mulia kerana banyaknya
ilmu di dadanya.
4. Apabila melihat orang jahil anggaplah
mereka lebih mulia kerana berbuat
dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa
dalam keadaan mengetahuinya.
5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap
kita mulia. Tetapi, katakan,
mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa
tuanya, sedangkan kita
belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum
tentu dia akan kafir selama-
lamanya.
Ya Allah..hiasilah kami dengan sifat
mahmudah.. dan jauhkan kami dari sifat mazmumah.
Ya Allah tetapkanlah hati kami dan janganlah
Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami
Amin……