Harian Metro – Mon, Jul 14, 2014
Petaling Jaya: Pertengkaran sepasang kekasih sejak beberapa hari lalu berakhir tragedi apabila seorang wanita warga India maut dipercayai ditolak kekasihnya dari tingkat 12 di Kondominium D' Aman Crimson, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mayat wanita berusia lingkungan 30 tahun itu dijumpai tersangkut di tingkat dua selepas terjatuh dari tingkat 12 kondominium terbabit.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Rosdi berkata, dia berada di kedai runcit di bawah kondominium berkenaan sebelum terdengar jeritan kuat.
Rosdi berkata, dia terkejut apabila seorang rakan memberitahu terdapat mayat wanita tersangkut di tingkat dua kondominium terbabit.
Saya tidak menyangka mangsa adalah wanita yang sebelum ini saya kerap terdengar dia dan pasangannya bertengkar.
Saya tidak menyangka pertengkaran mereka sebelum ini boleh menjadi tragedi sebegini kerana saya sering melihat wanita itu yang bekerja di sebuah kedai jahit berhampiran kondominium ini,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Menurutnya, kekasih mangsa melarikan diri dan kini sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.
Pasangan itu sudah menetap di kondominium terbabit kira-kira lapan bulan lalu dan sering bertengkar sejak akhir-akhir ini sehingga menarik perhatian jiran,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sumber: https://my.news.yahoo.com
No comments:
Post a Comment