Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

2 July 2014

PENDEDAHAN - Mahkamah New Zealand benarkan maklumat penyerang seks diplomat Malaysia didedah






The Malaysian Insider


Mahkamah Tinggi New Zealand hari ini menarik balik arahan sekatan dan mendedahkan maklumat mengenai penyerang seks diplomat warga Malaysia.
Kerajaan New Zealand (NZ) mengesahkan individu diplomat tersebut adalah dari Malaysia dan bernama Muhammad Rizulman Ismail.
Menurut laporan www.stuff.co.nz, keputusan terbaru sekaligus membatalkan keputusan awal sekatan yang dibuat di Mahkamah Daerah Wellington sebelum ini, di mana penyerang seks tersebut dilepaskan kerana imuniti politik.
Laporan www.stuff.co.nz mendedahkan diplomat Malaysia tersebut memegang pangkat dalam tentera sebagai pegawai waran dan merupakan pembantu staf portfolio pertahanan di kedutaan negara.
Diplomat Malaysia tersebut kali pertama tampil di Mahkamah Daerah Wellington pada 10 Mei dan dua hakim membenarkan sekatan.
Media di NZ sebelum ini dilarang mendedahkan maklumat penyerang seks tersebut, namun beberapa organisasi media negara itu mencabar sekatan mahkamah.
Dalam pada itu, media NZ juga mendedahkan kerajaan Malaysia menolak permohonan dari NZ untuk melepaskan imuniti diplomatik supaya dapat dibicarakan di negara tersebut.
Awal hari ini, Wisma Putra mengesahkan seorang diplomat Malaysia merupakan suspek kepada kes pencabulan seks di NZ.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tertuduh adalah diplomat Malaysia dan beliau sudah dihantar pulang.
Anifah juga dijangka mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan isu tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan NZ mendedahkan sedang mengejar pemindahan diplomat tersebut yang dituduh 'memecah rumah dengan tujuan merogol' di Wellington bulan lepas.
Diplomat tersebut yang dalam lingkungan 30-an ditahan kerana didakwa mengikuti wanita 21 tahun ke rumahnya kemudian mencabulnya. Beliau juga didakwa merompak dalam insiden yang sama.
Sementara itu, Menteri Luar NZ Murray McCully hari ini memberi amaran sekiranya diplomat tersebut tidak didakwa di mahkamah, ia akan memburukkan perhubungan negara yang terlibat dengan NZ.
"Ia akan menjejaskan cara kita mengendalikan negara yang terlibat," kata McCulluy kepada akhbar harian NZ, The Dominion Post.
Beliau juga dipetik berkata pegawai daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) berkata dengan jelasnya NZ mahukan diplomat tersebut, yang kini sudah berada di negara asalnya, menghadapi keadilan. – 1 Julai, 2014.

No comments: