Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

17 May 2013

P SUMBER MANUSIA - Faktor Hubungan Pekerjaan

Oleh Faudzil Harun 















Perundangan

Hubungan di antara majikan dan pekerja dikawal oleh peruntukan undang-undang, perjanjian yang dipersetujui menerusi kontrak perjanjian secara lisan atau bertulis dan samada secara tersurat atau tersirat.

Undang-undang pekerjaan merupakan garis panduan perlindungan bagi majikan dan pekerja. Ia dibentuk untuk mengimbangi keperluan obligasi kedua-dua pihak dan juga menjadi manual kepada penyelesaian masalah yang berkaitan hubungan pekerjaan. 

Undang-undang pekerjaan meliputi :

  Undang-undang berkanun (Akta)
  Peraturan-peraturan kerajaan Malaysia dan kerajaan tempatan
  Keputusan Mahkamah



Kontrak Pekerjaan (Kontrak Perkhidmatan)

Terma-terma pekerjaan yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja adalah dicatatkan di dalam kontrak pekerjaan. Suatu kontrak pekerjaan tidak dapat meliputi segala aspek persetujuan interaksi majikan-pekerja kerana ia suatu yang kompleks dan bergantung kepada banyak faktor.

Peringtan:

Kontrak pekerjaan yang telah dipersetujui dan ditandatangani majikan dan pekerja tidak boleh diubah oleh suatu pihak tanpa persetujuan pihak yang kedua.


Perjanjian Kerja Bersama

Perjanjian Kerja Bersama (“Collective Agreement”) adalah suatu perjanjian kerja yang dibuat dan dipersetujui oleh majikan bersama-sama dengan kesatuan sekerja. Perjanjian ini mengandungi terma-terma dan syarat-syarat yang terpakai bagi pekerja yang diliputi oleh perjanjian tersebut.

Terma-terma dan syarat-syarat dalam Perjanjian Kerja Bersama yang dikuatkuasakan di suatu tempat kerja akan menggantikan kontrak kerja setiap pekerja yang diliputi termasuk pekerja yang bukan ahli kesatuan sekerja di tempat kerja itu. Perjanjian Kerja Bersama diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan tetapi tidak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah Sivil. 


Polisi dan Prosedur

Pada kebiasaannya dokumen yang menerangkan tanggungjawab, obligasi dan faedah pekerjaan dinamakan Buku Panduan Pekerja (“Employee Hand Book”). 

Terdapat juga organisasi yang menggariskan setiap peraturan pekerjaan dan kaedah perlaksanaan peraturan tersebut yang dikenali sebagai polisi dan prosedur. Dalam pertikaian perundangan, mahkamah boleh mengambil kira buku panduan pekerja sebagai obligasi kontrak yang mesti dipatuhi oleh majikan dan pekerja.

Peruntukan “Common Law”

“Common Law” atau Tugas-tugas Undang-undang Biasa adalah tugas-tugas asas yang tidak ditetapkan oleh kontrak pekerjaan tetapi harus dituruti berdasarkan penggunaan, adat dan keputusan-keputusan mahkamah selama ini.