Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak
Showing posts with label Z - FATWA. Show all posts
Showing posts with label Z - FATWA. Show all posts

28 December 2014

FATWA - Had Tempoh Panggilan Muallaf




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Had Tempoh Panggilan Muallaf. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam tiada sebarang nas yang mewajibkan seseorang yang baru memeluk agama Islam dipanggil sebagai Muallaf. Sebutan dan had tempoh panggilan Muallaf ini lebih bersifat urfsemata-mata.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/had-tempoh-panggilan-muallaf

FATWA - Kedudukan Air Musoffa




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan  Kedudukan Air Musoffa. Muzakarah telah memutuskan bahawa penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kedudukan-air-musoffa

FATWA - Status Kesucian Ikan Yang DiBeri Makanan Tidak Halal




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Status Kesucian Ikan Yang DiBeri Makanan Tidak Halal. Muzakarah telah memutuskan bahawa Ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut sengaja dipelihara di dalam air najis atau sengaja diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/status-kesucian-ikan-yang-diberi-makanan-tidak-halal

9 December 2014

FATWA - Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat




Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.
     
  2. Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.
     
  3. Mengenai hukum Qada Zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.
Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Isu ini telah timbul apabila terdapat kecenderungan sesetengah syarikat atau anggota masyarakat mengagih sendiri zakat kepada asnaf zakat tanpa melalui agensi yang telah dilantik oleh kerajaan atau pemerintah. Selain itu, timbul juga persoalan tentang hukum qada’ zakat dan sejauh mana pelaksanaannya di Malaysia. Kekeliruan ini berlaku disebabkan perbezaan antara amalan semasa sesetengah syarikat dan individu dengan akta, fatwa atau peraturan yang dikeluarkan tentang perkara tersebut.
 
Perlembagaan Persekutuan telah menyenaraikan zakat di bawah bidang kuasa negeri. Semua negeri di Malaysia telah memperuntuk perkara berkenaan dengan urusan zakat ini sama ada di bawah akta atau enakmen di negeri masing-masing atau diletakkan di bawah enakmen khusus tentang zakat. Akta atau enakmen juga ada memperuntuk kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat yang dilantiknya memungut zakat daripada pemilik harta dan setiap orang yang melanggar akta atau enakmen tersebut boleh dikenakan hukuman.
 
Menurut Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Majlis atau wakilnya untuk memungut zakat. Ini bermaksud, orang yang membayar zakat atau fitrah melalui amil yang tidak dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.
 
Walau bagaimanapun, dari segi amalannya banyak syarikat korporat atau orang perseorangan yang membayar sendiri atau mengeluarkan sebahagian daripada zakat mereka kepada asnaf yang dianggap layak menerima zakat (seolah-olah mereka ialah amil yang dilantik untuk mengagihkan zakat kepada asnaf yang layak). Mereka beranggapan seksyen 16 tersebut tidak mengikat seseorang atau sesebuah syarikat untuk mengagihkan sendiri secara terus kepada asnaf zakat.
 
Penelitian yang dibuat terhadap beberapa himpunan fatwa (yang tidak diwartakan) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri pula menunjukkan tiada tegahan untuk mana-mana orang atau syarikat membayar sendiri zakat kepada asnaf yang layak menerimanya. Keputusan-keputusan fatwa ini secara amnya menguatkan lagi hujah yang membolehkan syarikat atau orang ramai membayar zakat secara terus tanpa melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Negeri.
 
Berhubung dengan qada’ zakat pula, ia bermaksud bayaran zakat yang diterima pada tahun semasa tetapi untuk bayaran zakat yang tidak dibayar pada tahun-tahun yang sebelumnya. Qada’ zakat merupakan salah satu daripada jenis zakat yang dikutip oleh PPZ Negeri, malahan ada negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang yang secara jelas menyenaraikan maklumat mengenai qada’ zakat dalam laman web mereka. Penyenaraiannya dalam jenis-jenis zakat menunjukkan ia termasuk sebagai kategori zakat yang wajib dibayar. Namun demikian tidak dipaksa pembayar membayarnya sekaligus, tetapi dinasihatkan mendahulukan bayaran zakat semasa dan sekiranya mampu maka boleh membayar zakat yang tertunggak itu secara beransur-ansur.
 
HUJAH DAN DALIL
 
1. Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Tanpa Melalui Pemerintah
 
Zakat merupakan satu kewajipan yang jelas dalam Islam. Ia bukanlah suatu kewajipan yang terbeban kepada seorang individu sahaja tetapi merupakan satu sistem dalam masyarakat Islam yang dipantau pelaksanaannya oleh pihak pemerintah dan diurus secara sistematik oleh pihak yang dipertanggungjawabkan sama ada dari segi kutipan mahupun agihan. Para fuqaha bersepakat bahawa pemerintah mempunyai kuasa untuk memungut dan mengagihkan zakat ternakan, tanaman dan buah-buahan (zakat harta zahir). Sekiranya pemerintah meminta zakat-zakat tersebut ditunaikan maka wajib bagi rakyat membayar kepadanya. Saidina Abu Bakar r.a. telah memerangi golongan yang ingkar membayar zakat-zakat tersebut dengan persetujuan sahabat-sahabat yang lain. Perkara tersebut (hak pemerintah untuk memungut zakat harta zahir) kemudiannya menjadi ijmak dalam kalangan orang Islam (kecuali satu pendapat daripada Hanabilah yang mengatakan zakat harta zahir wajib dibayar tetapi tidak wajib membayar kepada pemerintah).
 
Sementara zakat harta batin (seperti mata wang dan barang perniagaan) pula para fuqaha telah berselisih pendapat tentangnya seperti berikut:
 
Hanafiah: Pengurusan zakat harta batin diserahkan kepada pemilik harta tersebut. Zakat ini pada asalnya di bawah kuasa pemerintah, tetapi pada masa Saidina Uthman r.a. pengurusannya diserahkan kepada tuan punya harta kerana maslahah tertentu.
 
Malikiah: Wajib membayar zakat kepada pemerintah yang adil sama ada harta zahir atau batin.
 
Syafieah: Pemilik harta hendaklah mengagihkan sendiri zakat harta batin iaitu emas, perak, barang perniagaan dan zakat fitrah (menurut satu pendapat, sementara satu pendapat lagi mengatakan zakat fitrah termasuk harta zahir).
 
Hanabilah: Tidak wajib menyerahkan zakat kepada pemerintah, tetapi pemerintah boleh menerimanya sama ada harta zahir atau batin.
 
Setelah mengemukakan pandangan fuqaha di atas, Yusuf al-Qaradhawi telah membuat kesimpulan bahawa para fuqaha mazhab berselisih pendapat dalam perkara ini tetapi mereka sependapat dalam dua perkara iaitu:

1. Adalah menjadi hak pemerintah untuk meminta rakyatnya mengeluar- kan zakat pada semua jenis harta sama ada zahir atau batin, lebih-lebih lagi apabila diketahui keadaan rakyat yang mempermudah-mudahkan urusan pembayaran zakat.

2. Apabila pemerintah cuai dalam melaksanakan urusan zakat (tidak memungutnya), maka perintah berzakat tidak gugur atas pemilik- pemilik harta, mereka tetap wajib mengeluarkannya sendiri kepada asnaf yang layak (secara persendirian).

Beliau seterusnya menyatakan, berdasarkan pemerhatiannya terhadap nas-nas dan dalil-dalil syarak yang menetapkan zakat ialah urusan pemerintah atau kerajaan Islam tanpa membezakan antara harta zahir dengan batin, maka dengan itu wajiblah kerajaan menguruskan urusan zakat dari semua segi sama ada kutipan atau agihan. Inilah kaedah yang asal bagi zakat menurut pandangan beliau.
 
Kebanyakan fuqaha semasa berpandangan bahawa pihak pemerintahlah yang sepatutnya mengendalikan urusan zakat. Ia perlu dilengkapi dengan prasarana yang mencukupi sama ada dari segi perundangan, pentadbiran dan sumber kewangan.
 
Kebanyakan mereka juga berpandangan hukum fiqh yang dikaji oleh fuqaha terdahulu yang memutuskan kerajaan tidak boleh mengambil zakat harta batin adalah tidak sesuai lagi dengan suasana pada masa sekarang. Ini kerana harta yang dianggap zahir pada masa dahulu mungkin menjadi harta batin kalau mengikut suasana zaman sekarang, begitu juga sebaliknya. Oleh itu, menurut mereka cara mengatasinya ialah dengan menyerahkan urusan zakat kepada pemerintah. Pemerintah dengan perundangan yang lengkap boleh mengambil semua jenis zakat tanpa berkecuali. Antara fuqaha yang mendokong pendapat ini ialah Syeikh Abdul Wahab Khallaf, Syeikh Abdul Rahman Hassan dan Syeikh Muhammad Abu Zahrah, kemudian diikuti oleh Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa orang lagi yang menulis tentang perkara ini. Gelombang perubahan ini begitu kuat sehingga sukar ditepis lagi dan beberapa negara Islam telah merangka peruntukan undang-undang tentang zakat yang menyokong pandangan ini.
 
Berikut dinyatakan beberapa kebaikan yang diperoleh daripada penyerahan semua urusan zakat (zahir dan batin) kepada pemerintah, iaitu:
 
a. Menjamin zakat dapat dipungut daripada semua orang yang layak menunaikannya.
b. Hasilan zakat akan bertambah dengan banyak yang tentu akan menguntungkan umat Islam seluruh negara.
c. Pembelaan kepada asnaf yang layak menerima zakat akan dapatdilakukan secara teratur dan sistematik.
 
2. Hukum Qada’ Zakat
 
Para fuqaha pernah membincangkan tentang hukum zakat yang tidak sempat dibayar pada tahun semasa sehingga berlalu beberapa tahun tanpa ditunaikan hak tersebut. Adakah gugur kewajipan berzakat dengan sebab berlalunya masa? Jawapannya ialah zakat merupakan hak yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk diagihkan kepada orang fakir, miskin dan asnaf lain yang layak menerimanya. Sehubungan itu, kewajipan berzakat tidak gugur dengan berlalunya masa bahkan ia tetap wajib dan sabit terhadap orang yang mampu untuk menunaikannya.
 
Dalam hal ini Imam al-Nawawi berkata, “Apabila berlalu beberapa tahun sedangkan zakat yang sepatutnya tidak ditunaikan maka wajiblah bagi orang yang berkenaan mengeluarkan zakat kesemuanya, sama ada pada masa itu dia mengetahui kewajipan berzakat atau tidak, atau dia berada di negara Islam atau kafir. Inilah pendapat mazhab kami (Syafie)”.
 
Ibn Munzir pula berkata, “Menurut pendapat Mazhab Syafie, satu pendapat dalam mazhab Maliki dan Abu Thaur, sekiranya sesebuah negeri dikuasai oleh penderhaka dan penduduk negeri tersebut tidak menunaikan zakat selama beberapa tahun, maka apabila negeri tersebut dimenangi balik oleh pemerintah yang sah hendaklah dipungut kembali zakat-zakat yang tertunggaksebelum itu”.
 
Abu Muhammad bin Hazm pula menyatakan di dalam kitabnya al-Muhalla,“Sesiapa yang berkumpul pada hartanya dua jenis zakat atau lebih sedangkan dia masih hidup maka hendaklah ditunaikan kesemuanya pada setiap tahun mengikut bilangan yang wajib baginya, sama ada pengumpulan zakat itu terjadi kerana kejahilannya atau kelambatan amil memungut zakat atau kerana dia melarikan hartanya sebelum itu”.
 
Dalam masalah individu yang tidak membayar zakat (sedangkan beliau mampu menunaikan zakat) sehinggalah dia meninggal dunia. Jumhur fuqaha iaitu Imam Malik, Syafie, Ahmad, Ishak, Abu Thaur, Ibn Munzir, yang diriwayatkan daripada Ata’, al-Hasan, dan Zuhri menyatakan kewajipan berzakat tidak gugur dengan sebab kematian tersebut seperti kewajipan-kewajipan lain (contoh, haji dan kafarah). Sehubungan itu, zakat tetap wajib sama ada individu tersebut mewasiatkannya atau tidak.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/


FATWA - Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat




Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat. Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
Keterangan/Hujah: 
 
i. Masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi’i dalam kebanyakan urusan peribadatannya. Oleh itu amalan samak sebanyak tujuh kali yang salah satu daripadanya menggunakan tanah telah diterimapakai secara umum oleh masyarakat, sama ada untuk menyucikan najis mughallazah yang terkena pada badan, pakaian, rumah dan sebagainya.
 
Hadis Nabi S.A.W. :
 
طهوراناء أحدكم اذا ولغ فيه الكلب أن يغسله سبع مرات أولاهن بالتراب  ( رواه مسلم )
 
“Bersihkanlah bekas makanan kamu yang dijilat anjing dengan tujuh kali basuhan dan yang pertama daripadanya dengan tanah ”
 
ii. Berdasarkan zahir hadis hukum menyamak dengan tanah pada tempat yang terkena najis mughallazah, Nabi Muhammad S.A.W. tidak memperincikan bentuk dan keadaan tanah yang boleh digunakan untuk menyucikan najis mughallazah. Ini seolah-olah menunjukkan semua jenis tanah yang ada di atas muka bumi ini boleh digunakan untuk menyamak. Imam Al-Sharbini menyebutkan semua jenis tanah sekalipun debu pasir (Mughni al-Muhtaj, Juzu’ 1, Hlm 137). Tanah yang dicampur dengan benda asing tidaklah menjadi halangan asalkan ia tidak mengubah keaslian tanah dan suci.
 
iii. Dalam kehidupan yang moden pada hari ini, penemuan-penemuan baru yang masih berteraskan prinsip Islam seperti penciptaan sabun samak wajar dihargai kerana tujuannya untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di mana saja berada.
 
iv. Dari aspek tanah yang digunakan, Rasulullah S.A.W. tidak pernah menyatakan lapisan tanah yang ke berapa perlu digunakan kerana pada asasnya tanah atau pasir adalah suci.
 
v. Bagi umat Islam yang tinggal di luar Negara dan mudah terdedah dengan najis-najis mughallazah, penggunaan sabun ini adalah satu alternatif kepada penggunaan tanah yang kadang-kadang sukar diperolehi.
 
vi. Walaupun sabun ini dibenarkan untuk tujuan samak bagi menggantikan tanah, tetapi kaedah pelaksanaan samak tersebut masih terikat dengan hukum syarak.
 
vii. Penggunaan sabun tersebut dibenarkan dengan syarat pada urufnya kandungan tanah melebihi daripada bahan-bahan yang lain.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my


8 December 2014

FATWA - Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahn) Di Malaysia




Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahn) Di Malaysia


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahn) Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Sumber modal kerja untuk pemegang pajak gadai Islam (al-Rahnu) hendaklah diperolehi daripada perbankan Islam atau sumber-sumber yang halal dan bebas dari amalan riba, judi, gharar dan aktiviti lain yang tidak selaras dengan kehendak syariah;
     
  2. Pemegang al-Rahnu hendaklah mengambil perlindungan insurans Islam (takaful) dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti insurans konvensional;
     
  3. Sekiranya barang sandaran hilang atau dicuri atau musnah dan sebagainya, pemegang al-Rahnu hendaklah membayar pampasan baki nilai barang sandaran sewaktu ia ditaksirkan; dan
     
  4. Pemegang al-Rahnu digalakkan melantik Panel Penasihat Syariah dalaman bagi memantau operasi dan aktiviti al-Rahnu.

Sumber: 
http://www.e-fatwa.gov.my


FATWA - Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Al-Rahn) Di Malaysia (Cadangan Kadar Upah Simpan Barang Gadaian)




Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Al-Rahn) Di Malaysia (Cadangan Kadar Upah Simpan Barang Gadaian)


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Al-Rahn) Di Malaysia (Cadangan Kadar Upah Simpan Barang Gadaian). Muzakarah telah memutuskan bahawa bersetuju menerima cadangan kadar upah simpan barang gadaian untuk skim al-Rahn seperti berikut :-
NILAI BARANG TEMPOH (BULAN) KADAR UPAH YANG DITETAPKAN GADAIAN ( % SEBULAN )
RM100.00 - 3 bulan pertama 0.60% sebulan
RM1,000.00 3 bulan berikutnya 0.70% sebulan
RM 1,001.00 -RM 3 bulan pertama 0.65% sebulan
5,000.00 3 bulan berikutnya 0.80% sebulan
RM 5,001.00 -RM 3 bulan pertama 0.80% sebulan
10,000.00 3 bulan berikutnya 0.95% sebulan
i) Sekiranya setelah tamat tempoh yang dinyatakan, barang gadaian tersebut masih gagal ditebus, persetujuan kedua-dua belah pihak perlu diperolehi bagi menentukan tempoh lanjutan dan kadar yang dikenakan.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/

FATWA - Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya




Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa pameran jin, hantu dan keranda serta alam misteri adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam. Manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri, jin, hantu dan umat Islam tidak perlu dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.
Keterangan/Hujah: 
i. Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri memberikan gambaran nyata bahawa makhluk halus boleh ditangkap dalam bentuk asal mereka. Perkara ini amat diragui dan boleh dikategorikan sebagai muslihat sekiranya bukti hanya berasaskan andaian atau khayalan semata-mata. Malah kajian saintifik oleh Pensyarah Forensik Universiti Sains Malaysia, Kampus Kubang Kerian, Kelantan Dr Zafarina Nordin melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati ianya tidak benar dan meragukan.
ii. Mengenai bahan-bahan pameran yang ditonjolkan seperti toyol, jenglot dan seumpamanya ia merupakan pemujaan ke atas janin manusia oleh orang-orang tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja kejahatan seperti mencuri dan sebagainya. Perkara ini membayangkan sikap dan kejahatan manusia yang memuja makhluk berkenaan untuk kepentingan dirinya semata-mata, tanpa melihat kesan kepada orang lain.
iii. Perbahasan mengenai hal-hal ghaib seperti jin dan syaitan sewajarnya merujuk kepada sumber ilmu yang sahih. Perbincangan mengenainya perlu diadakan secara tertutup kerana ditakuti ianya akan didongengkan bagi tujuan untuk mendapat hasil kekayaan secara mudah seperti melalui pameran-pameran dan seumpamanya. Perkara-perkara ini boleh membawa kepada khurafat dan tahyul, sekaligus membawa kerosakan kepada akidah serta pegangan umat Islam.
iv. Persoalan jin dan syaitan adalah perkara ghaib yang hanya dapat diketahui dengan perantaraan wahyu Allah s.w.t. iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu umat Islam seharusnya mengasaskan sebarang kepercayaan atau perbincangan mengenai jin dan syaitan berdasarkan kepada dua rujukan tersebut.
v. Ayat al-Quran menjelaskan bahawa kelebihan mengawal angin, mengawal, menangkap atau membelenggu jin yang derhaka hanyalah mukjizat istimewa yang khusus hanya untuk Nabi Sulaiman a.s. Mukjizat ini tidak dimiliki orang lain walaupun Nabi Muhammad s.a.w.
vi. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya menceritakan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. tidak mampu untuk mengurung jin yang mengganggunya kerana kelebihan itu jelas hanya menjadi mukjizat istimewa Nabi Sulaiman a.s. Siapalah kita sebagai manusia biasa jika hendak dibandingkan dengan kedua-dua Rasul Allah itu.
vii. Isu pameran jin, hantu, keranda dan alam misteri yang dikemukakan merupakan isu yang jelas penyelewengannya dalam akidah Islam. Perkara seumpama ini perlu disekat dengan segera supaya umat Islam tidak terus terjebak dalam penyelewengan ini.
viii. Masyarakat Melayu memang mudah terpengaruh dengan cerita-cerita khurafat dan tahyul seumpama ini dan kita tidak mahu masyarakat kita khususnya generasi muda dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul ini.
ix. Hakikat jin, hantu, keranda, dan alam misteri merupakan perkara yang di luar kemampuan akal kita untuk mencapainya apatah lagi untuk mengajarkannya kepada orang lain.
x. Pameran jin, hantu, keranda, dan alam misteri boleh membawa mudharat kepada akidah umat Islam dan ia perlu dicegah dengan segera.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/


27 November 2014

FATWA - Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007 telah membincangkan mengenai Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat (Had al-Tahawwul 'Ani al-Qiblat). 

Muzakarah berpandangan bahawa arah mengadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi 3% bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan. 

Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa had berpaling yang dibenarkan dari arah kiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.


Sumber: 
http://www.e-fatwa.gov.my


FATWA - Hukum Memakan Sarang Burung Layang-Layang





Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Memakan Sarang Burung Layang-Layang. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus.


Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/

24 November 2014

FATWA - Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah. Muzakarah menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Muzakarah berpandangan bahawa dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.
 
Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.
 
Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
 
  1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.
     
  2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
     
  3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.
     
  4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.
     
  5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
     
  6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.
     
  7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
     
  8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.
Keterangan/Hujah: 
 
 
  1. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa hokum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli-ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi 1/3.
     
  2. Ibn Hazm al-Zahiri berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan penurunan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu. Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.
     
  3. Wasiat Wajibah perlu dilihat dari segi maksud dan hikmah serta bagaimana pelaksanaannya kerana wasiat wajibah dilihat dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadap datuk atau nenek bersama anak yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup.
     
  4. Dalam sistem pembahagian pusaka Islam, cucu tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara dan ibu saudara. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini terutama sekali sekiranya mereka masih kecil. Lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan kehidupan.
     
  5. Dalam melaksanakan Wasiat Wajibah, harus mengambil pandangan Ibn Hazm az-Zahiri demi kepentingan keluarga terutamanya anak-anak yang menjadi yatim piatu.
     
  6. Sebahagian negeri tidak mengkanunkan pelaksanaan Wasiat Wajibah kerana ia tidak mengikut pandangan Mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya negeri-negeri memfatwakan kerana asas pelaksanaannya adalah maslahah dan kebajikan insan. Dalam situasi hidup pada hari ini, maslahah ahli-ahli waris yang dalam keadaan memerlukan tetapi terhalang daripada mendapat bahagian pusaka, perlu ditentukan mengikut Maqasid Syariyyah.
     
  7. Wasiat Wajibah boleh dianggap sebagai badal atau ganti kepada faraid. Oleh itu, pelaksanaannya juga perlu didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my


FATWA - Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan  Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). 

Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. 

Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my


FATWA - Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.
 
Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.
 
Keterangan/Hujah: 
  1. Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:
    Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)
     
  2. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud :
    Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani) 
     
  3. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.
     
  4. Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.
     
  5. Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.
     
  6. Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/


FATWA - Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui. 
Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.
Keterangan/Hujah: 
  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.
  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.
  3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.
  4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;
    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;
    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;
    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan
    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/


FATWA - Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula,corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Sumber: 
http://www.e-fatwa.gov.my/


19 November 2014

FATWA - Hukum Pembinaan Kubur Secara Bertingkat





Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pembinaan Kubur Secara Bertingkat. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa dalam keadaan dharurat di mana berlakunya kepadatan penduduk dan lokasi tanah perkuburan yang terhad, pembinaan kubur secara bertingkat merupakan konsep dan kaedah yang tidak bertentangan dengan syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.
     
  3. Walaubagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti dengan lebih menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya serta mengambilkira penjimatan kos.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/