Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak
Showing posts with label Z - SAKIT KEBAS. Show all posts
Showing posts with label Z - SAKIT KEBAS. Show all posts

18 September 2014

KEBAS - Tangan Sakit dan Kebas





KESAKITAN pada tangan dan rasa kebas pada jari sehingga menyebabkan cawan yang dipegang ketika minum terlepas jatuh, membaca akhbar tidak lagi menyeronokkan kerana sukar untuk memegangnya, memandu kereta tidak lagi mengujakan kerana kesukaran mengawal stereng dan tidur malam tidak lagi lena kerana terjaga disebabkan sakit pada tangan. Ini semua antara aduan biasa pesakit Carpal Tunnel Syndrome (CTS) kepada doktor ketika mendapatkan rawatan.
CTS bermaksud gejala sakit dan kebas pada tangan serta jari ibu, jari telunjuk dan jari tengah disebabkan urat saraf median yang melalui terowong dalam pergelangan tangan terhimpit dan tidak berfungsi dengan baik. Apa saja keadaan yang menyebabkan pembengkakan tisu atau perubahan pada kedudukan tisu dalam terowong pergelangan tangan akan menyebabkan saraf median terhimpit dan mengganggu fungsinya.

Dalam kebanyakan kes, penyebab CTS tidak diketahui tetapi keadaan yang biasa dikaitkan dengan CTS ialah obesiti, mengandung, hypothyroidism (aktiviti kelenjar tiroid yang kurang daripada normal), artritis, kencing manis dan trauma.

Radang pada urat tendon berikutan kerja berulang seperti menaip juga boleh menyebabkan terjadinya CTS.

Penyakit yang jarang berlaku seperti amilodosis (penyusupan hepar), sarkoidosis (gangguan tidak diketahui sebabnya menyebabkan nodus limfa pada kebanyakan bahagian tubuh membesar), multiple myeloma (penyakit malignan pada sum-sum tulang) dan leukemia juga boleh menyebabkan CTS.

Selalunya, pesakit CTS peringkat awal akan berasa kebas dan semut–semut pada sebahagian tapak tangan serta ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.
Gejala ini akan lebih teruk pada waktu malam sehingga boleh membangunkan pesakit daripada tidur. Ini kerana keadaan pergelangan tangan yang membengkok ketika tidur atau disebabkan pembengkakan tisu oleh pengumpulan cecair pada pergelangan tangan ketika berbaring.

CTS boleh jadi bersifat sementara dan boleh sembuh sepenuhnya atau boleh menjadi lebih teruk dan kekal. Apabila penyakit itu menjadi lebih teruk, pesakit boleh mendapat gejala seperti rasa terbakar, kekejangan dan tangan lemah disebabkan oleh otot tangan mengecut. Kehilangan kekuatan tangan untuk memegang dan rasa sakit yang mencucuk dalam lengan menyukarkan seseorang yang mendapat CTS untuk bekerja dan melakukan kerja rumah.
Diagnosis CTS boleh dilakukan berdasarkan taburan kawasan gejala sakit dan kebas pada tapak tangan dan jari yang terbabit. Doktor akan memeriksa pergelangan tangan yang terbabit untuk melihat tanda bengkak, kehangatan, radang, cacat dan perubahan warna kulit. Pemeriksaan leher, bahu dan lengan yang terbabit penting untuk memastikan tidak ada masalah lain yang mungkin menjadi penyebab kepada gejala yang sama.

Doktor akan melakukan ujian Tinel’s iaitu dengan mengetuk dengan jari pada pergelangan tangan untuk menghasilkan rasa sesemut pada tapak tangan dan ujian Phalen’s dengan membengkokkan pergelangan tangan seketika untuk menghasilkan semula gejala sakit dan kebas pada tangan. Diagnosis adalah sangat mungkin apabila ujian kelajuan konduksi saraf yang dilakukan ke atas pesakit tidak normal. Ujian ini membabitkan pengukuran tahap kelajuan impuls elektrik apabila mereka bergerak di sepanjang saraf.

Dalam carpal tunnel syndrome, impuls menjadi lambat ketika mereka melalui terowong pergelangan tangan terbabit. Pemeriksaan otot elektromiogram ekstremitas (EMG) kadangkala dilakukan untuk mengecualikan atau mengesan keadaan yang lain yang mungkin menyerupai carpal tunnel syndrome. X-ray pergelangan tangan dilakukan untuk mengenal pasti kelainan pada tulang dan sendi.

Pemilihan jenis rawatan untuk CTS bergantung kepada tahap gejala dan kewujudan penyakit dasar yang menyebabkan terjadinya CTS. Rawatan awal selalunya dengan merehatkan tangan terbabit, pemakaian sokongan pada pergelangan tangan dan tuam ais.

Individu yang mempunyai pekerjaan yang membuatkan gejala CTS bertambah teruk perlu melakukan perubahan kepada cara kerja mereka, contohnya papan kekunci komputer dan ketinggian kerusi perlu diselaraskan untuk keselesaan optimum.

Masalah atau penyakit dasar perlu dirawat secara individu. Obesiti perlu dirawat dengan pengurangan berat badan. Bengkak pergelangan tangan yang disebabkan oleh mengandung akan menghilang selepas bayi dilahirkan. Beberapa ubat biasa diguna bagi merawat CTS iaitu Vitamin B6 (pyridoxine) dilaporkan mampu melegakan gejala CTS. Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) turut mengurangkan radang dan sakit. Kesan sampingan NSAIDs termasuk gangguan pada sistem usus dan perut. Ubat ini perlu diambil bersama makanan. Corticosteroids boleh diberi melalui oral atau secara suntikan ke dalam bahagian yang terbabit. Kebanyakan pesakit CTS merasa lega atau gembira selepas rawatan secara konservatif dan ubat-ubatan. Dalam kes tertentu tekanan yang kronik terhadap saraf median boleh menyebabkan kebas dan tangan lemah yang berkekalan. Untuk mengelak kesan yang serius daripada urat saraf dan otot terbabit, rawatan secara pembedahan mesti dipilih.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/25
Sumber: http://www.hmetro.com.my/

17 September 2014

KEBAS - Sakit Kebas Jari Tangan





Pengenalan
  • Kebas adalah keadaan di mana seseorang mengalami kekurangan  rasa (sensation).
  • Keadaan ini kebiasaannya berlaku disebabkan oleh irritasi saraf atau saraf periperi terhimpit.
  • Rasa kebas boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan dan cirinya bergantung kepada jenis dan lokasi saraf yang terlibat.
  • Rasa kebas lebih kerap dirasai pada hujung jari, tangan, tapak kaki, lengan atas dan kaki.
Rasa kebas boleh disebabkan oleh keadaan berikut;
  • Kecederaan pada saraf akibat kemalangan.
  • Saraf periferi tertekan disebabkan oleh 'herniated disc' atau oleh osteophytes yang terbentuk akibat proses degeneratif.
  • Jangkitan pada saraf periferi  seperti kayap.
  • Penyakit-penyakit seperti diabetes, migraine, multiple sclerosis, epilepsi , strok danhypothyroidism
  • Carpel Tunnel Syndrome (saraf Median tertekan di kawasan pergelangan tangan).
  • Berlakunya kekurangan vitamin dalam badan seperti kekurangan vitamin B12.
  • Kesan samping ubat, contohnya ubat penyakit tuberculosis seperti isoniazide.
  • Kerosakan saraf akibat bahan toksik seperti, pengambilan alkohol dan rokok.
Tindakan Kendiri
  • Sila berjumpa doktor sekiranya anda mengalami rasa kebas untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.
  • Sila berjumpa doktor dengan serta-merta, sekiranya anda berasa kebas dalam keadaan berikut:
    • Anda baru mengalami kemalangan yang melibatkan bahagian kepala.
    • Anda juga mengalami gejala seperti lemah anggota , susah bertutur, pening dan sakit kepala yang datang secara tiba-tiba dengan teruknya.
  • Dapatkan temujanji untuk berjumpa doktor sekiranya  keadaan kebas yang anda alami bertambah teruk, melibatkan kedua-dua bahagian badan, terjadi apabila anda melakukan aktiviti tertentu dan rasa kebas hanya pada hujung jari kaki dan tangan.
Diagnosa / Rawatan Kebas
  • Doktor akan menemuduga, membuat pemeriksaan fizikal dan melakukan ujian- ujian mengikut keperluan bagi membantu dalam membuat diagnosa.
  • Rasa kebas boleh hilang atau sekurang-kurangnya boleh dihalang untuk menjadi bertambah teruk setelah menerima rawatan khusus untuk penyakit yang menyebabkan rasa kebas terjadi.
  • Kebas yang merebak secara mendadak perlu mendapat perhatian doktor
  • Kebas yang diikuti dengan lemah anggota atau lumpuh hendaklah dirawat oleh doktor dengan segera
Semakan Akhir:26 April 2012
Penulis:Dr. Salmiah Md Sharif
Penyemak:Dr. Sri Wahyu Taher

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/