Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak
Showing posts with label Z - SAKIT RESDUNG. Show all posts
Showing posts with label Z - SAKIT RESDUNG. Show all posts

7 September 2013

RESDUNG – Risiko Jangkitan Otak






ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.
Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.
Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit sinusitis.
Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.
“Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.
“Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,” kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.
Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.
Sinus terletak pada bahagian muka – pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.
Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.
Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.
“Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.
“Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,” katanya.
Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.
Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.
Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.
Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.
Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan’ tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.
Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.
Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.
“Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.
“Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,” kata Dr. Amir Izwan.
Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.
Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.
Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:
“Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.
“Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.
“Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,” katanya.
Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.
Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.
Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.
Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.
Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.
Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.
Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.
Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.
“Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,” kata Dr. Amir Izwan.
Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.
Gejala resdung:
* Hidung tersumbat
* Lendir daripada hidung dan tekak
* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata
* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang
* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas
* Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.
 Punca resdung:
* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit
* Hidung bengkok
* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor
* Jangkitan gigi atas
* Ketumbuhan di dalam hidung
* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas
* Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.
Komplikasi resdung:
* Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata
* Jangkitan otak (meningitis)
* Sakit tekak yang kronik
* Jangkitan tulang muka
* Memburukkan keadaan lelah
* Berdengkur yang kronik
* Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak
* Alahan hidung atau hidung sensitif
* Selesema biasa yang melarat.
Diagnosis:
* Skop hidung untuk melihat punca resdung
* Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah
Rawatan:
Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.
* Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)
* Ubat selesema
* Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung
* Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.
Tip menguruskan resdung:
* Bagi pesakit yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop
* Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan
Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan
* Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung
* Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air
* Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap
* Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya
* Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi
* Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan
* Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.

Sumber: Utusan Malaysia

RESDUNG - 6 Punca Berlakunya Resdung




Anda mengalami tanda-tanda penyakit resdung?

Apa yang menyebabkan resdung berlaku?





  • Alahan.  Iaitu terhadap jenis makanan tertentu, habuk, parasit (demodex) dan kutu.
  • Apabila anda mengalami alahan, daging yang bertindak sebagai penapis udara didalam hidung akan membengkak. Seterusnya, ia menyebabkan pergerakan udara tak dapat dikeluarkan. Kalau udara tu tak dapat keluar, ia pastinya akan terkumpul kat dalam tu. Kesannya, kulat akan tumbuh dan kawasan dalam hidung menjadi semakin membengkak. Anda yang pernah mengalaminya pasti tahu tahap kesakitannya.
  • Struktur hidung yang tidak normal, yang mungkin diakibatkan oleh tulang hidung retak atau patah ketika kemalangan boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit resdung. Bagi sesetengah orang yang mempunyai struktur tulang hidung yang ” senget ” tidak lurus (deviated nasal septum), risiko untuk mendapat resdung adalah tinggi.
  • Kerosakan atau sakit gigi di bahagian gusi atas boleh menyebabkan penyakit resdung. Kuman atau bakteria yang berasal dari kerosakan atau sakit gigi boleh merebak dengan mudah ke rongga sinus dan menyebabkan resdung. Hal demikian kerana kedudukan gigi gusi atas amat berdekatan dengan rongga sinus. Rongga sinus yang terdapat di dalam tulang pipi (dikenali sebagai maxillary sinus) merupakan rongga yang paling kerap mendapat sinutisis akibat kerosakan gigi.
  • Di samping itu kajian menunjukkan tabiat menyelam dan menyelam di air sungai atau kolam yang kotor serta laut yang tercemar turut menyumbang dan mengakibatkan penyakit resdung ini.
  • Lebih parah lagi, resdung ni boleh merebak ke bahagian mata. Akibatnya, anda boleh hilang deria penglihatan dan ia juga boleh menjangkiti otak.Tetapi, resdung ni tak berjangkit kat orang lain atau diwarisi oleh keturunannya.

27 August 2013

SAKIT RESDUNG - Rawat Resdung (Sinusitis) Cara Betul





Resdung sangat menggangu kehidupan harian.





HIDUNG anda selalu tersumbat akibat selesema. Hingus anda berwarna kuning dan pekat. Anda juga sering batuk serta berasa penat dan pening.
Malah, pipi, sekitar mata, tulang atas gigi dan dahi sering berasa sakit seperti ada sesuatu di dalamnya yang menekan tengkorak anda.
Anda berasa anda diserang demam selesema lalu mengambil ubat selesema biasa tetapi ia masih tidak mengurangkan kesengsaraan anda.
Akhirnya anda mengheret kaki ke klinik setelah berdepan dengan pening yang teruk dan selepas diperiksa, doktor menyatakan anda menghidap sinusitis (resdung).
Sampai manakah tahap kesedaran anda? Adakah selepas pening teruk baru merujuk pada pakar atau masih membiarkannya kerana menganggap ia hanyalah masalah biasa berpunca daripada cuaca yang tidak menentu?
Ya, sinusitis bukanlah masalah yang membawa maut secara langsung tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan seharian pesakit serta keyakinan diri.
Bayangkan, bagaimana anda mahu menjadi produktif atau bersemangat jika sering bersin tidak henti serta berasa pening yang teruk sehingga menjejaskan kehidupan anda.
Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mallina Sivarajasingam berkata, ramai pesakit yang merujuk kepada pakar selepas melalui saat-saat menyusahkan itu untuk tempoh lama.
“Selesema biasa akan reda dalam tempoh tiga hari hingga seminggu dan jika berterusan, berkemungkinan pesakit mempunyai masalah resdung (sinusitis).
“Ada sesetengah kes pesakit tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti yang melibatkan perubahan altitud seperti menaiki kapal terbang dan menyelam skuba disebabkan sakit kepala vakum (vacuum headache) akibat daripada sinusitis.
“Malah, ada yang sampai ke tahap jangkitan pada sinus menyebabkan adanya polip (ketumbuhan) di dalam hidung, menyukarkan pesakit untuk bernafas.
“Lagi teruk jika kuman sinusitis merebak ke otak kerana lapisan tulang kepala tidak tebal.
“Sinusitis boleh dirawat sama ada melalui pengambilan ubat-ubatan terutamanya antibiotik bagi mematikan kuman atau ada kes perlu melakukan pembedahan sinus,” ujarnya.

Apa itu sinusitis

Terang Dr. Mallina, orang ramai sering salah faham dengan istilah sinus. Semua orang mempunyai sinus iaitu rongga-rongga di dalam tengkorak yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil dan masalah yang dihidapi dipanggil sinusitis.
Sinus terletak pada bahagian muka iaitu pipi di bawah mata, di antara dua mata, sedikit di belakang hidung serta turut meliputi bahagian dahi seseorang.
“Ia berfungsi untuk meringankan tulang di samping memberi resonan pada vokal dan lendir yang dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa disalirkan ke dalam hidung.
“Jangkitan sinusitis atau resdung berlaku apabila salur yang pengaliran lendir secara semula-jadi itu tersumbat lalu membengkak serta bernanah di dalamnya,” ujar Dr. Mallina.
Terangnya, pesakit akan merasa simptom seakan-akan selesema biasa tetapi dalam tempoh lama disertai dengan pelbagai simptom lain terutamanya pening dan sakit pada tulang di wajah iaitu di sekitar mata, pipi, atas gigi dan dahi.
Sinusitis dibahagikan kepada dua jenis iaitu akut (berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik.

Punca Sinusitis (Resdung)

Pelbagai punca menyebabkan sinusitis. Punca yang paling kerap adalah selesema biasa berlanjutan yang tidak dirawat lalu menyebabkan jangkitan bakteria pada sinus.
Rinitis yang teruk, berulang dan tidak dirawat juga boleh menyebabkan sinusitis kerana alahan pada hidung akan mengganggu bahagian sinus.
Sinusitis turut boleh berlaku jika pesakit pernah mengalami kecederaan pada tulang hidung atau keretakan pada tengkorak.
Tulang rawan yang bengkok mungkin terkena pada bahagian sinus lalu menyebabkan jangkitan kuman.
Selain itu, apa saja yang mengganggu sistem penyaliran mukus dari sinus akan menyebabkan sinusitis.
Perubahan cuaca sejuk, alahan, masalah sistem imun seperti virus HIV dan pesakit kanser yang menjalani kimoterapi juga boleh menjadi penyebab sinusitis.

Rawatan Alternatif Resdung

Sinusitis yang lebih dikenali sebagai resdung dalam kalangan orang tempatan sering dikaitkan dengan ‘ulat’ yang memakan muka.
Pelbagai cara alternatif yang dijalankan bagi mematikan ‘ulat resdung ‘ ini. Antara yang paling terkenal teknik berasap iaitu asap daripada kertas herba yang dibakar akan disalurkan pada seluruh muka.
Menurut Dr. Mallina, tidak ada masalah jika pesakit mahu berusaha melalui cara alternatif asalkan ia tidak memudaratkan.
Tetapi tegasnya, tiada teknik berasap yang digunakan dalam perubatan hospital dan dia juga tidak pernah menemui ulat di dalam rongga sinus.
“Apa yang paling hampir dengan teknik berasap tersebut adalah ubat wap mentol yang mampu melancarkan pernafasan tetapi ia hanya melegakan untuk sementara.
“Tiada masalah meneruskan rawatan alternatif asalkan tidak memudaratkan kerana saya percaya ia juga sebagai langkah psikologi untuk pesakit.
“Namun, saya syorkan pesakit juga mencuba rawatan dengan doktor kerana ia terbukti dengan kajian yang dijalankan oleh pakar,” ujarnya.
Beliau turut menolak andaian yang jerawat berpunca daripada sinusitis (resdung) kerana jelasnya, jerawat merupakan jangkitan pada lapisan luar iaitu kulit manakala sinusitis berada di dalam.
Sumber: Utusan Online