Faudzil @ Ajak

Faudzil @ Ajak
Always think how to do things differently. - Faudzil Harun@Ajak

30 March 2013

OSH MANAGEMENT - Lebih 59,000 Kes Kemalangan di Tempat Kerja





Kemalangan di tempat kerja dijangka catat lebih 59,000 kes tahun ini
Written by admin  December 27, 2012 

PENDANG, 27 Dis – Kemalangan di tempat kerja dijangka meningkat melebihi 59,000 kes sehingga akhir tahun ini berikutan jumlah kemalangan yang dicatatkan sehingga Oktober lepas sebanyak 51,664 kes.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kemalangan tahun lepas berjumlah 59,167 kes meliputi kes kemalangan di tempat kerja,  berulang-alik ke tempat kerja dan akibat penyakit pekerjaan.

“Berdasarkan rekod, 38 peratus dari 51,664 kes adalah disebabkan kemalangan berulang-alik ke tempat kerja membabitkan pekerja yang menunggang motosikal berumur 40 tahun ke bawah mencatatkan jumlah paling tinggi.

“Kementerian rasa keadaan ini perlu diberi perhatian kerana usia bawah 40 tahun adalah yang paling produktif meningkatkan hasil kerja,” kata Maznah kepada pemberita selepas merasmikan bengkel bimbingan sektor perusahaan kecil dan sederhana di Pendang Lake Resort di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Datuk Dr Johari Basri.

Menurutnya banyak kempen keselamatan jalan raya dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama agensi kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan beliau berharap usaha itu dapat meningkatkan kesedaran pekerja menjaga keselamatan mereka semasa berada di jalan raya.

“Keselamatan pekerja perlu menjadi satu budaya dan tidak tertakluk kepada penguatkuasaan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan semata-mata.

“Majikan juga perlu komited memastikan tempat kerja selamat dan sihat untuk bekerja agar mereka menjadi lebih produktif,” tambahnya.

Maznah berkata banyak pekerja tidak tahu mengenai penyakit pekerjaan dan sering memandang remeh isu tersebut.

Katanya penyakit pekerjaan yang dilaporkan Perkeso tahun ini sebanyak 1,746 kes berbanding 2011 sebanyak 1,537 kes.

Menurutnya Perkeso menyediakan baucer percuma untuk pekerja membuat ujian saringan kesihatan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit dan baucer untuk tahun depan akan diedarkan pada minggu ketiga Januari ini. 
– Bernama