BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang dan gudang penyimpanan gaharu serta peralatan sembahyang di Taman Limau Manis, di sini hangus dalam kebakaran semalam.
Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Md Sonri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.19 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
Menurutnya, tiga jentera dari balai bomba Perda, Perai dan Bukit Mertajam bersama 30 anggota bekerjasama memadamkan kebakaran.
“Lebih 80 peratus kilang terbakar termasuk sebuah lori yang diletakkan di hadapan gudang.
“Selain itu, kami turut dibantu 15 jentera sukarela yang bekerjasama memadamkan api. Api dapat dikawal dalam tempoh 40 minit,” katanya.
Katanya, 10 pekerja yang sedang bertugas berjaya menyelamatkan diri dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Tidak sebarang masalah ketika memadamkan kebakaran namun, orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian membuatkan kami menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi.
“Setakat ini, punca kebakaran dan kerugian masih disiasat,” katanya.
Seorang saksi, B Kogila, 27 berkata, dia terdengar satu letupan kuat diikuti dengan bunyi letupan kecil.
“Saya cuba meninjau apa yang berlaku dan dengar jeritan meminta tolong. Asap tebal mula kelihatan, saya segera menghubungi pihak bomba.
“Mujur pihak bomba sampai cepat dan berjaya mengawal kebakaran dengan pantas,” katanya.
sumber : Sinar Harian